Pelantikan Hong Leong Islamic Bank Dan Hong Leong Bank Sebagai Ejen ASNB

Dari Kiri ke Kanan: Encik Jasani Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB; Encik Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB; Datuk Dr. Md Hamzah Md Kassim, Pengerusi HLISB; YBhg Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan PNB; YBhg Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB and Encik Mohammad Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB.

Kuala Lumpur, 30 Mei 2018 – Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) telah dilantik sebagai ejen terbaharu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk menawarkan dana-dana unit amanah ASNB.

Datuk Dr. Md Hamzah Md Kassim, Pengerusi HLISB dan Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menghadiri majlis perasmian tersebut. Turut hadir ialah Encik Domenic Fuda, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Encik Jasani Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB dan Dato ‘Abdul Rahman Ahmad, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB.

Pelantikan itu disempurnakan dengan termeterainya perjanjian antara ASNB dan HLB pada 5 Januari 2018 manakala HLISB pada 14 Disember 2017.   Mulai 1 Jun 2018, kedua-dua HLB dan HLISB akan mula menawarkan semua 12 dana ASNB yang terdiri daripada enam dana harga tetap dan enam dana harga berubah.

“Kami sangat teruja kerana melalui kerjasama strategik dengan ASNB, kami kini dapat menawarkan pelaburan yang pelbagai dan mampu menjana pulangan jangka panjang, konsisten dan kompetitif kepada pelanggan kami,” kata Datuk Dr. Md Hamzah.  “Dana ASNB adalah pelaburan yang baik sebagai tambahan kepada portfolio seseorang pelabur.  Kami percaya bahawa lebih ramai pelanggan kami akan mendapat lebih nilai dengan melanggan dana-dana ASNB dengan lebih mudah dan cekap melalui saluran perbankan kami yang meluas,” katanya.

Selaras dengan visi Bank “Digital at the Core”, HLB dan HLISB juga akan menyediakan kemudahan menambah pelaburan untuk dana-dana ASNB yang berharga tetap melalui Hong Leong Connect dan platform internet bank-bank tersebut dalam tempoh terdekat.

Tan Sri Abdul Wahid dalam ucapannya berkata, “PNB mengalu-alukan pelantikan ini dan berharap kerjasama dengan HLB dan HLISB sebagai ejen bank berdaftar akan membantu ASNB berhubung dengan lebih ramai pelanggan melalui rangkaian Hong Leong yang luas. ASNB hari ini mempunyai 12 dana unit amanah dan menguruskan 228.8 bilion unit dalam edaran yang dimiliki oleh 13.3 juta pemegang akaun, ini dilihat mampu membantu merealisasi matlamat pengembangan aset di bawah pengurusan PNB. Dan inisiatif ini akan meningkatkan bilangan ejen ASNB kepada 10 institusi dengan rangkaian cawangan sebanyak 2,572 di seluruh negara.”

“Menuju ke hadapan, adalah menjadi harapan kami agar dana unit amanah ASNB akan lebih mudah untuk dilanggani oleh orang ramai.  Dan selaras dengan penjenamaan semula unit amanah ASNB harga berubah baru-baru ini, kerjasama ini dilihat menyokong usaha ASNB  membantu pemegang unit amanah yang baru dan sedia ada dalam membuat keputusan pelaburan yang sesuai dengan matlamat peribadi, tempoh masa dan toleransi risiko masing-masing untuk mencapai pulangan maksimum.”

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index