Rakuten Trade Raikan Ulang Tahun Pertama Sebagai Syarikat Teknologi Kewangan Pelopor

[Dari kiri ke kanan] Presiden Rakuten Securities, Inc. Encik Yuji Kusunoki dan Pengarah Urusan Rakuten Trade Sdn Bhd Encik Kaoru Arai.

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2018 – Syarikat Teknologi Kewangan (Fintech) Terbaik tahun ini, Rakuten Trade Sdn Bhd (“Rakuten Trade”) menyambut ulang tahun pertamanya bulan ini bersama lebih 12,000 pelanggan, dengan kira-kira 40% daripada mereka merupakan pelabur saham pertama kali di pasaran Malaysia.

Rakuten Trade, broker saham digital sepenuhnya yang pertama di negara ini berkata pencapaian ini menandakan satu mercu jaya penting bagi syarikat baharu tersebut dan membuktikan kekuatan model perniagaan Fintech yang pertama di pasaran.

Pengarah Urusan Rakuten Trade, En. Kaoru Arai, berkata, “Pertumbuhan kukuh kami dalam industri menunjukkan bahawa pelabur yang lebih celik digital di Malaysia bersedia untuk mencuba pengalaman perdagangan baharu. Hampir 80% daripada pelanggan kami berusia bawah 40 tahun dan kebanyakan daripada mereka merupakan pedagang aktif. Di samping bilangan pelanggan yang semakin bertambah, kami terus mencatatkan tahap urus niaga yang kukuh dari segi jumlah dan juga nilai dagangan.”

Beliau menambah bahawa pertumbuhan syarikat juga dicapai berbekalkan sokongan yang diterima daripada Kenanga Investment Bank Berhad dan juga Rakuten Securities, Inc., di samping badan pengawal selia tempatan, rakan perniagaan dan kakitangan Rakuten Trade.

Semasa taklimat media tersebut, En. Yuji Kusunoki, Presiden, Rakuten Securities, Inc. dan En. Kaoru Arai mengumumkan bahawa syarikat akan melancarkan produk inovatif keduanya tidak lama lagi – kemudahan Dagangan Kontra. Ini akan melengkapi kemudahan Tunai Terdahulu yang kini disediakan oleh Rakuten Trade.

Rakuten Trade berkata pelanggan juga tertarik dengan sistem ganjaran Rewards Eco System, yang pertama sepertinya di Malaysia, yang membolehkan pelanggan memanfaatkan mata ganjaran daripada tiga penyedia mata kesetiaan terbesar negara ini – AirAsia BIG, B Infinite (sebahagian daripada Berjaya Group) dan BonusLink di bawah satu platform.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun pertama, Rakuten Trade juga mengumumkan bahawa pada hari Jumaat, 25 Mei 2018, semua pelanggan akan dapat menikmati kadar broker sifar* bagi semua dagangan yang berjaya disempurnakan.

Rakuten Trade ialah hasil usaha sama antara bank pelaburan bebas terulung di Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad dan Rakuten Securities, Inc, Jepun, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Rakuten (“Rakuten”), pemimpin inovasi global. Kumpulan Rakuten memperkasakan masyarakat, sambil menyediakan perkhidmatan yang mudah digunakan dan inovatif kepada pelanggan di seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Rakuten Trade atau membuka akaun, sila lawati www.rakutentrade.my atau muat turun iSPEED.my app menerusi Google Play Store atau Apps Store.

Mengenai Rakuten Trade Sdn Bhd (“Rakuten Trade”)

Rakuten Trade (楽天トレード) ialah hasil usaha sama antara Rakuten Securities, Inc. di Jepun dan Kenanga Investment Bank Berhad di Malaysia. Dipilih sebagai Syarikat FinTech (Teknologi Kewangan) Terbaik 2018, Rakuten Trade telah menggegar dunia industri perbankan pelaburan pada 19 Mei 2017 apabila dilancarkan secara rasmi sebagai broker saham digital pertama negara di Malaysia. Platform FinTech mereka memberi peluang kepada pelabur untuk menikmati pengalaman pembrokeran saham dalam talian sepenuhnya dari pembukaan akaun, saluran pasaran secara langsung, pelaksanaan dan penjelasan dagangan, laporan penyelidikan dan juga ganjaran. Ini menjadikan proses urus niaga dagangan lebih mudah dan lebih cekap bagi pelabur kerana ini sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan utama untuk melaksanakan jual beli berasaskan idea mereka sendiri. Rakuten Trade juga merupakan broker dagangan saham pertama untuk melancarkan sistem ganjaran yang tersendiri bersama tiga daripada syarikat program kesetiaan utama negara. Pelanggan menerima mata Rakuten Trade apabila mereka menggunakan kemudahan Rakuten Trade, daripada pembukaan akaun, perdagangan kepada merujuk rakan dan keluarga mereka. Mereka juga dapat memanfaatkan tajaan global Rakuten Group dengan kelab bola sepak Sepanyol FC Barcelona  di mana pelanggan dapat menerima lebih mata Rakuten Trade apabila kelab bola sepak tersebut memenangi perlawanan. Mata Rakuten Trade boleh ditukarkan dengan mata AirAsia BIG, B Infinite dan / atau BonusLink. Rakuten Trade buat masa ini menawarkan pelanggan pengalaman perdagangan saham digital sepenuhnya pada yuran broker yang jauh lebih rendah. Rakuten Trade memegang Lesen Perkhidmatan Modal Pasaran (“CMSL”) daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menjual beli sekuriti tersenarai dan memberikan nasihat pelaburan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.