RMJDT: Bila Duit Ringgit Masuk Dunia Blockchain

Bullish Aim Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dipengerusikan dan dimiliki oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melancarkan secara rasmi RMJDT, sebuah stablecoin yang disokong ringgit di Zetrix (dahulunya dikenali MyEG), rangkaian blockchain yang menyokong Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI). Stablecoin ialah sejenis mata wang kripto yang direka supaya nilainya stabil kerana ia disandarkan kepada aset lain.

Ramai yang dengar saja perkataan coin, terus teringat Bitcoin, Dogecoin yang harganya berubah setiap hari. Tapi RMJDT ni lain. Mari kita cuba fahamkan perlahan-lahan.

Apa Benda Sebenarnya RMJDT?

RMJDT bukan mata wang baharu menggantikan Ringgit, dan Johor bukan ada duit sendiri.

Bayangkan duit Ringgit biasa, tapi versi digital sepenuhnya dan hidup atas teknologi blockchain. Nilai dia 1 RM = 1 RMJDT, jadi tidak ada turun naik ganas macam aset digital/kripto.

Kalau Bitcoin tu macam saham yang naik turun ikut pasaran, RMJDT ni lebih macam duit e-wallet cuma bukan duduk dalam akaun bank, tapi dalam blockchain.

Jadi, dia bukan token untuk orang beli dan jual (trade), tapi lebih kepada duit versi digital yang boleh digunakan dalam ekosistem blockchain.

Jadi RMJDT Boleh Jual Beli Dekat Luno?

Jawapan: Tidak.

Kenapa?

  • Ia bukan token spekulasi.
  • Tujuan dia bukan “beli murah jual mahal”.
  • Platform kripto macam Luno hanya senaraikan aset berstatus pelaburan (yang dikawal oleh Suruhanjaya Sekuriti).

RMJDT ni berada dalam kategori stablecoin transaksi, bukan “asset to trade”.

Untuk rekod, RMJDT bukan stablecoin Ringgit pertama di Malaysia. Sebelum ini kita sudah ada MYRC, iaitu stablecoin yang disandarkan 1:1 kepada Ringgit Malaysia dan diterbitkan oleh BLOX.

Apa yang berbeza nanti adalah bagaimana setiap stablecoin ini digunakan, diintegrasikan dengan ekosistem kewangan dan sejauh mana ia diterima oleh orang ramai.

Cuba Bayangkan Beberapa Situasi Harian

1) Bayar Barang atau Servis dalam Blockchain

Contoh: beli servis AI, cloud computing atau aplikasi yang beroperasi atas blockchain. Lebih cepat, tak perlu tunggu clearance bank.

2) Hantar Duit ke Kawan / Freelance / Bisnes

Pindahkan duit, tapi tanpa bank sebagai orang tengah. Tangan ke tangan… tapi digital.

  • Transaksi cepat
  • Kos rendah
  • Sesuai kalau hantar ke luar negara

3) Urusan Rentas Sempadan (Import/Export)

Peniaga kecil yang beli barang dari China, Vietnam, Indonesia boleh bayar dalam stablecoin ringgit tanpa nak pening pasal kadar pertukaran matawang (FX fees).

4) Ekonomi Digital Tempatan Boleh Berkembang

Kalau lebih banyak aplikasi guna blockchain, kita perlu:

  • mata wang digital yang stabil
  • dikawal selia
  • tidak volatile macam kripto spekulatif
PerkaraKripto (Bitcoin/Ethereum)RMJDT
NilaiNaik turunTetap ikut Ringgit
TujuanPelaburan / buat untung daripada pergerakan hargaTransaksi digital
Boleh jual beli di Luno?YaTidak
VolatilityTinggiRendah
Perumpamaan…Saham digitalDuit blockchain

RMJDT Cara Baru Guna Wang

Malaysia sedang mengambil langkah ke arah ekonomi digital yang lebih moden. Rakyat biasa mungkin tak perasan pun istilah teknikal di belakangnya tapi yang mereka akan alami cuma satu: urusan kewangan menjadi lebih senang.

Zetrix disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai syarikat penyedia perkhidmatan digital / blockchain / gov-services (dah tukar nama dari MYEG ke Zetrix AI). Saham Zetrix nampak naik lebih 5% pagi ni, macam pasaran tengah “masuk” cerita blockchain dan RMJDT. Tapi ini cuma pergerakan harian, bukan signal confirm beli, siapa berminat masih kena buat kajian fundamental dan analisis risiko dulu.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI