Sina Amini dan ‘Team Transformers’ Diumumkan sebagai Pemenang Utama Maybank GO Ahead. Challenge (MGAC) 2019

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2019 /PRNewswire/ — Selepas pertandingan 10 hari yang sengit, Pemenang Utama Maybank GO Ahead. Challenge (MGAC) 2019 diumumkan di The Party di Kuala Lumpur. Dengan penganjuran ke-8 tahun ini, MGAC, program pemerolehan dan perekrutan bakat pelbagai disiplin Maybank yang memenangi anugerah masih merupakan platform perekrutan inovatif untuk mencari, membina dan memupuk bakat global yang pelbagai.

Pasukan Juara Maybank GO Ahead. Challenge 2019, Team Transformers meraikan kemenangan mereka bersama-sama Daniel Wong Liang Yee, Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan, Nora Abd Manaf, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan dan Mohd Suhail Amar Suresh, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Maybank

Sina Amini dari Iran muncul Juara Global MGAC 2019 dan dianugerahkan peluang untuk menjalani latihan selama dua minggu di mana-mana pejabat Maybank di seluruh dunia. Sementara itu, ‘Team Transformers’ yang terdiri daripada Finalis dari Malaysia, Kemboja, Filipina dan Thailandmuncul sebagai Juara Global, dan membawa pulang perjalanan berbayar untuk menghadiri Festival Masa Depan Chicago – sebuah persidangan inovasi yang mengumpulkan semua penginovasi terkemuka Chicago. ‘Team Dark Knight’, dengan Finalis dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Iran, dan Kemboja merupakan pemenang tempat kedua dan memenangi perbelanjaan yang ditanggung sepenuhnya ke Sidang Kemuncak Web di Lisbon, Portugal di mana syarikat Fortune 500, syarikat baharu perintis dan pemceramah bertaraf dunia akan berkumpul lewat tahun ini. Pemenang ketiga jatuh kepada pasukan ‘The Guardians of the Galaxy’ yang terdiri daripada finalis dari Hong Kong, Singapura, dan Filipina yang akan menghadiri Festival Fintech Singapura.

“MGAC telah mengajar saya bahawa anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu jika anda memberi tumpuan penuh kepadanya dan anda harus terbuka untuk menghadapi cabaran baharu. Simulasi yang kami alami telah mengajar kami untuk berdaya tahan walaupun keadaan bukan dalam kawalan kami, namun bimbingan daripada pasukan Maybank dan penilai kami sudah pasti membantu kami untuk bergerak maju dan berkembang sebagai individu dan satu pasukan,” kata Lee Dai Wei, Ketua Pasukan Team Transformers.

Ganjaran terunggul bagi Finalis yang disenarai pendek ialah tawaran bersyarat untuk menyertai Maybank dalam program saluran peringkat kemasukannya, Program Perantis Maybank Global (GMAP), program latihan pelatih bergilir dua tahun untuk menjalankan tugasan antarabangsa di mana-mana 18 pejabat Maybank di seluruh dunia.

“MGAC sudah pastinya mengajar saya banyak perkara di setiap peringkat – dari peringkat kampus hingga ke peringkat akhir dunia yang saya rasakan seperti 60 tahun dihimpunkan dalam 10 hari. Pengalaman dan keluk pembelajaran yang curam yang saya tempuhi dalam 10 hari lalu benar-benar membuka mata saya dan ia pengalaman yang luar biasa. Saya berhutang kepada Malaysia kerana ia merupakan negara pertama yang saya datangi selepas meninggalkan Iran. Saya sentiasa kembali ke Malaysia kerana ia negara yang banyak membantu saya berkembang pada tahun-tahun yang lalu – dan itu sangat penting untuk saya. Saya teruja untuk terus belajar dan bersedia untuk memulakan perjalanan dengan Maybank Malaysia,” kata Sina Amini, Juara Global MGAC 2019.

Dengan pendekatan serba baharu untuk pengambilan progresif, MGAC 2019 ditakrifkan semula menerusi gamifikasi program untuk meningkatkan pengalaman pengguna para peserta. Cabaran Pilihan Bertema, peserta MGAC 2019 juga diberikan kebebasan untuk membentuk pengalaman mereka sendiri dalam pertandingan ini – bermula dengan pemilihan rakan sepasukan mereka hinggalah kepada cabaran yang mereka ambil – yang menambah lebih kedalaman kepada pertandingan. Pembezaan utama yang diperkenalkan ialah Mod Kebangkitan semula, yang menawarkan para peserta yang tidak melepasi Peringkat Kampus dan Kebangsaan peluang kedua untuk menjadi sebahagian daripada Pertandingan Akhir Global melalui pencalonan daripada finalis lain. Bertujuan untuk memberikan peserta pengalaman sendiri untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan dalam persekitaran yang mencabar, Pertandingan Akhir Global memberikan peserta akhir peluang untuk menguruskan kitaran perniagaan penuh syarikat daripada pelbagai industri.

MGAC 2019 telah menyaksikan kenaikan sebanyak 300% dalam penyertaan dari tahun sebelumnya, yang jelas mencerminkan populariti pertandingan dan pendekatan baharunya di kalangan generasi baharu yang diambil bekerja. Pada tahun ini, Maybank menerima lebih daripada 35,000 permohonan daripada lebih 105 negara.

Sumber: Maybank

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI