thyssenkrupp Airport Solutions Meterai Kontrak Perkhidmatan Terbesar Seumpamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha

ESSEN, Jerman dan DOHA, Qatar, 2 Mei 2019 /PRNewswire/ — thyssenkrupp Elevator meraikan kejayaan terkininya, setelah memperoleh kontrak perkhidmatan yang terbesar dalam seluruh sejarah perniagaan Penyelesaian Lapangan Terbangnya: Syarikat akan bertanggungjawab untuk pengendalian dan penyelenggaraan 90 jambatan masuk penumpang, termasuk satu jambatan masuk VIP yang digunakan secara eksklusif oleh Keluarga Diraja dan Pegawai-pegawai Kerajaan Kanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar. Kontrak ini turut melibatkan penyediaan perkhidmatan untuk lebih 500 unit sokongan pesawat yang membantu sebaik sahaja kapal terbang diparkir.

Berserta penyelenggaraan jambatan masuk penumpang, thyssenkrupp Elevator telahpun memasang 234 lif, 105 eskalator dan 52 pejalan kaki bergerak di lapangan terbang tersebut.

Kontrak baharu ini bernilai tiga angka juta euro.

“Kami berbesar hati untuk terus meluaskan jalinan kerjasama kami bersama Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan berupaya untuk terus mengurangkan masa penghubung untuk sejumlah besar penumpang dengan memastikan penyelesaian mobiliti kekal beroperasi,” kata Peter Walker, Ketua Pegawai Eksekutif di thyssenkrupp Elevator. “Tatkala penduduk dunia terus bertambah dan dunia globalisasi kita menjadi semakin terhubung, mobiliti orang ramai yang cekap di dalam lapangan terbang menjadi isu kebimbangan utama, menjadikannya sama penting dengan penerbangan sebenar.”

Latar belakang kami:
Dengan jualan mencecah €7.6 bilion pada tahun fiskal 2017/2018 dan mempunyai pelanggan di 150 negara, thyssenkrupp Elevator mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah syarikat lif yang terkemuka di dunia dari bawah dalam masa hanya 40 tahun mengaplikasikan keupayaan kejuruteraan unik thyssenkrupp. Menerusi lebih 50,000 kakitangan berkemahiran tinggi, syarikat menawarkan produk dan perkhidmatan yang pintar serta inovatif. Portfolionya melibatkan lif penumpang dan barang, eskalator dan laluan pejalan kaki bergerak, jambatan masuk penumpang, lif tangga dan platform serta penyelesaian perkhidmatan tersuai untuk semua produk.

Sumber: thyssenkrupp Elevator AG

Pautan Berkaitan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI