Tiga Agensi Bermandat Bumiputera Dijajar Semula Bagi Lonjakkan Penyertaan Ekonomi Bumiputera Secara Mampan

CYBERJAYA, 20 Mei (Bernama) — Tiga agensi bermandat bumiputera di bawah kawal seliaan Kementerian Ekonomi dijajar semula selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk memperkasa dan melonjakkan penyertaan ekonomi bumiputera secara strategik, mampan dan berkesan, kata menterinya, Rafizi Ramli. 

Beliau berkata ia akan dijayakan melalui kerjasama pintar dan inovatif antara sektor awam dan swasta, sejajar dengan prinsip Kerajaan MADANI yang memberikan keutamaan kepada inklusiviti, keberkesanan dan kelestarian.

“Penjajaran semula strategi dan pelaksanaan bagi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dilaksanakan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang telah dijalankan awal tahun ini.

“Inisiatif penjajaran semula ini juga dilakukan susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang telah menggariskan strategi untuk memperkukuh peranan agensi mandat bumiputera dalam penyampaian agenda bumiputera,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di sini hari ini.

Lebih 500 orang termasuk wakil perusahaan bumiputera pelbagai saiz, pemimpin korporat, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan hadir pada majlis itu.

Rafizi berkata menerusi penjajaran semula ini, YP, TERAJU dan Ekuinas akan memainkan peranan yang khusus dalam ekosistem keusahawanan bumiputera. 

Katanya YP akan fokus kepada pembangunan bakat untuk meningkatkan kelas pencipta nilai bumiputera manakala TERAJU akan bertindak sebagai ‘super-scaler’ dalam memacu pertumbuhan dan memperluas skala syarikat bumiputera kepada tahap lebih tinggi dan kompetitif di arena global.

Beliau berkata Ekuinas pula akan terus memacu penciptaan kekayaan dan penglibatan ekonomi bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat.

“Menjelang 2030, hasil daripada penjajaran semula ini, ketiga-tiga agensi terlibat telah diberikan sasaran yang perlu dicapai. 

“YP perlu menyediakan 10,000 bakat bumiputera yang bersedia untuk bersaing dan menjadi pemain industri, TERAJU pula disasarkan untuk menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta membangunkan dan meningkatkan keupayaan sebanyak 1,000 syarikat,” katanya.

Beliau berkata Ekuinas akan menyokong lebih banyak syarikat usahawan bumiputera yang mempunyai rekod prestasi dan keuntungan yang cemerlang. 

Melalui dana berjumlah RM800 juta, katanya Ekuinas akan melabur untuk menyokong pertumbuhan syarikat, memastikan mereka terus berkembang dan mencapai kejayaan yang lebih besar di pasaran.

Pada majlis itu, Rafizi turut menyaksikan beberapa pertukaran dokumen penyataan persefahaman antaranya antara TERAJU dan Leave a Nest bagi peluang kolaborasi dan rangkaian melalui ekosistem strategik, akses pembiayaan dan sokongan pembuatan prototaip.

Selain itu, TERAJU juga bakal berkolaborasi dengan Malaysian Institute of Economic Research bagi program pemudahcaraan melalui depositori Korporat Bumiputera, khidmat rundingan dan khidmat nasihat. 

Ia juga akan berkolaborasi dengan SIRIM Bhd bagi program pemudahcaraan melalui khidmat rundingan dan khidmat nashat yang memfokuskan kepada produk teknologi dan perkhidmatan.

TERAJU juga akan berkolaborasi dengan institusi kewangan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bhd, MIDF Bhd, MBSB Bank Bhd, Sabah Credit Corporate, Maybank Islamic Bhd, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, Credit Guarantee (CGC), Exim Bank, PERNAS, Development Bank of Sarawak bagi mewujudkan kemudahan pembiayaan bernilai RM1 bilion untuk syarikat bumiputera.

— BERNAMA

TAG: Rafizi Ramli, penjajaran, bumiputera, Yayasan Peneraju, TERAJU, Ekuinas

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index