Abang Johari Saran Wujudkan Mekanisme Kawal Inflasi Agar Pekerja Dapat Manfaat Penuh Kenaikan Gaji

KUCHING, 19 Mei (Bernama) — Satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengawal inflasi secara efektif untuk memastikan pekerja memperoleh manfaat sepenuhnya daripada kenaikan gaji, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebarang kenaikan gaji untuk pekerja yang diumumkan kerajaan mahupun pihak swasta tidak akan bermakna sekiranya ia hanya membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.

“Yang penting kalau gaji naik, bermakna penggunaan tempatan anda boleh naik. Ia akan merancakkan lagi ekonomi, tetapi hanya threatnya (ancamannya) ialah inflasi. Kita tidak mahu naik gaji, tapi dari segi kuasa beli masih sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk “Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi” di sini, hari ini.

Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan mempertimbangkan secara menyeluruh cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) agar kadar gaji minimum ditetapkan pada RM2,102 sebulan berbanding RM1,500 ketika ini.

Rafizi berkata secara dasarnya jelas bahawa pendekatan kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup adalah memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan rakyat.

Abang Johari berharap kerajaan persekutuan khususnya Bank Negara dan Kementerian Kewangan mengambil kira implikasi peratusan kenaikan gaji kepada aliran wang dalam pasaran.

“Dasar ekonomi kita mesti seimbang dan pihak bank hendaklah memberi input kerana sebenarnya inflasi adalah permintaan mengatasi penawaran. Kalau anda naikkan faedah, aliran wang dalam pasaran akan kurang bermakna mahu tak mahu (bekalan) barang akan menurun,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak telah menjalankan kajian berhubung kenaikan gaji berdasarkan produktiviti yang memberi penekanan kepada kemahiran dan pembangunan tenaga kerja. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA