China Mengukuhkan Kedudukannya Sebagai Kuasa Ekonomi Dunia Dengan Projek Belt And Road Initiative

The Silk Route atau lebih dikenali sebagai Jalan Sutera dalam Bahasa Melayu adalah merupakan satu jalan perdagangan yang sangat penting bagi China yang ditubuhkan sekitar 2000 tahun yang lalu. Jalan ini adalah jalan yang menghubungkan dunia barat (eropah) dan timur dalam dunia perdagangan.

Kebanyakan pedagang dari barat membawa barang dagangan seperti emas, perak dan kapas kepada dunia timur manakala China membawa sutera untuk dijual ke negara barat. Sutera merupakan barang dagang yang sangat penting kepada dunia barat kerana negara barat tidak mampu menghasilkan sutera.

Kredit Gambar: CGTN

Setelah berlaku banyak revolusi dalam ketamadunan dunia dengan bangkitnya kuasa besar yang baru, laluan ini telah berubah kerana menjadi rebutan kuasa besar yang ingin berkuasa dan akhirnya ia telah berpisah dan tidak menjadi milik China sepenuhnya.

Ketika era moden, jalan sutera tidak lagi penting dalam dunia perdagangan kerana jalan perdagangan telah luas terbentang disebabkan kemudahan teknologi perdagangan yang dimiliki pada hari ini.

Pada tahun 2013, dunia dikejutkan dengan pengumuman yang dibuat oleh Xi Jinping yang pada ketika itu baru sahaja menjawat jawatan Presiden China. Beliau membuat pengumuman di Kazakhstan bahawa beliau akan mengembalikan Jalan Sutera bagi zaman moden ini.

Xi Jinping ketika itu ingin meningkatkan ekonomi mana-mana negara yang pernah terlibat dalam jalan perdagangan tersebut.

Kredit Gambar : Brain Societies 

Sebanyak 65 buah negara yang terlibat dengan projek yang digelar sebagai Belt and Road Initiative ini dimana kebanyakan negara tersebut merupakan negara kelas ketiga. China ingin membangkitkan jalan sutera tersebut semula untuk mengembangkan ekonomi negara mereka yang kini dilihat semakin berkembang di negara sendiri. Dianggarkan sebanyak 60% GDP dunia akan terlibat dalam projek ini.

Sebanyak 138 negara yang menerima pelaburan Belt and Road Initiative dan Pakistan, merupakan negara terbesar yang terlibat dalam projek tersebut dengan anggaran sebanyak $60 bilion. China telah membangunkan Infrastruktur yang penting kepada negara tersebut termasuk kemudahan jalan raya,landasan kereta api dan juga kemudahan stesen jana kuasa hidroelektrik.

Malaysia juga turut menerima pelaburan Belt and Road Initiative dari China dalam pembinaan landasan kereta api ECRL dan juga projek Forest City. Selain negara Asia, China turut mengembangkan projek ini kepada negara di benua Afrika dan Eropah Timur yang bersetuju untuk menerima pelaburan kewangan dari China.

Negara Afrika merupakan negara miskin, mengalu-alukan kedatangan pelaburan dari China disebabkan China tidak meletakkan syarat yang ketat kepada mereka. Tidak seperti negara barat yang memberi pinjaman kepada negara tersebut melalui IMF dan bank dunia yang banyak memberi kesan kepada ekonomi mereka pada masa hadapan. China dilihat lebih lunak dengan mereka dari segi syarat perdagangan. Disebabkan perkara tersebut, banyak negara Afrika bersetuju menerima pelaburan dari China.

Belt and Road Initiative ini telah menarik perhatian negara barat yang sejak dari dulu menganggap China sebagai pesaing mereka dalam dunia perdagangan. Kebanyakan negara barat menganggap pelaburan China di negara yang terlibat dalam Belt and Road Initiative adalah salah satu penjajahan moden yang dilakukan secara halus. Negara barat menuduh China bukan mahu melabur secara serius tetapi lebih kepada menyebarkan pengaruh kepada negara tersebut.

Kredit Gambar: SCMP

Mereka mengambil contoh apabila kerajaan Sri Lanka yang tidak mampu membayar wang pinjaman kepada China, mereka terpaksa memajak pelabuhan Hambantota kepada China selama 99 tahun. Disebabkan Belt and Road Initiative ini memberi kesan kepada negara barat terutamanya negara G7, mereka telah membina satu projek yang dikenali sebagai Build Back Better World untuk menyaingi projek Belt and Road Initiative ini.

Walaupun begitu, projek Build Back Better World ini hanya ada pada atas kertas dan tidak mempunyai  pe rancangan yang jelas kerana ia baru bermula tahun ini.

Berbanding dengan Belt and Road Initiative, China telah mempunyai cadangan dan pelaksanaan yang jelas dimana China dipercayai telah melabur lebih $4 trilion setakat ini dan projek ini dijangka siap pada tahun 2049. Projek ini dijangka akan mengangkat 7 juta penduduk miskin keluar dari kemiskinan dan ia memberi satu impak positif yang sangat besar kepada negara yang terlibat dalam projek ini.

Sumber Rujukan:

China Power

Al Jazeera

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.