Malaysia Wajar Contohi Usaha Thailand Bangunkan Tenaga Kerja Wanita Dalam Pekerjaan : Pengarah TDRI

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Organisasi di Malaysia digalakkan untuk mencontohi Thailand dalam membangunkan tenaga kerja wanita bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

Pengarah Perkhidmatan Perisikan Ekonomi Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand (TDRI) Dr Kirida Bhaopichitr berkata wanita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan kepada tenaga kerja.

“Di Thailand, 46 peratus ketua pegawai kewangan adalah wanita manakala 24 peratus ketua eksekutif adalah wanita. Ini menunjukkan bahawa penyertaan wanita sangat kukuh di Thailand.

“Penyertaan wanita di peringkat teratas membantu menarik lebih banyak tenaga kerja wanita,” katanya dalam perbincangan panel di Forum Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2023.

 Beliau berkata penyertaan wanita dalam tenaga buruh Thailand adalah tinggi iaitu 80 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 25 hingga 50 tahun.

Bagaimanapun, mereka meninggalkan alam pekerjaan ketika mencecah 50, menurunkan kadar penyertaan sebanyak 10 peratus disebabkan komitmen seperti menjaga orang tua mereka.

Ini memberikan “banyak implikasi” pada peringkat dasar di peringkat kerajaan dan perniagaan. Sebagai contoh, sama ada perkhidmatan pusat jagaan harian orang dewasa atau taska boleh disediakan untuk meringankan beban pekerja dan mengekalkan mereka dalam alam pekerjaan.

Forum itu memberi tumpuan kepada tema pemerkasaan dan kepimpinan, dan menekankan kepentingan menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam sektor ekonomi dan perniagaan.

Pemimpin wanita dari sektor awam dan korporat, media, persatuan wanita, institusi rasmi global dan pertubuhan bukan kerajaan berkumpul dalam forum itu, memudahkan akses pertemuan seumpamanya kepada pemimpin-pemimpin wanita terbilang dari seluruh dunia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA