PM Anwar Umum Penubuhan Malaysia Centre For 4IR

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penubuhan Pusat bagi Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Malaysia Centre for 4IR), sebuah pusat bebas dalam ekosistem global Forum Ekonomi (WEF) yang akan menumpukan kepada dua keutamaan iaitu transformasi digital dan GovTech serta peralihan tenaga. 

Beliau berkata pusat itu merupakan yang pertama di rantau ASEAN yang bakal menjadi platform bagi pemimpin kerajaan dan perniagaan, ahli akademik dan pakar untuk mewujudkan hab inovasi dan kepakaran bagi memanfaatkan potensi teknologi baru muncul. 

“Menjadi harapan saya agar pusat ini dapat mempercepat lagi transformasi Malaysia menjadi negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi, inklusif dan peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya menerusi ucapan beliau yang dirakam terlebih dahulu pada pelancaran pusat itu di sini, hari ini. 

Mengenai transformasi digital dan GovTech, Anwar berkata, pusat itu yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation akan menumpukan kepada bidang untuk mempercepat fasa pertumbuhan seterusnya agenda transformasi digital Malaysia dan peranan yang boleh dimainkannya untuk memudahkan usaha bagi transformasi digital ASEAN. 

Selain itu, katanya, pusat tersebut juga akan menyokong Dasar Tenaga Malaysia 2022-2040, untuk mengemudi peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi hijau sambil mengimbangi isu seperti jaminan tenaga, kemampuan dan kemampanan alam sekitar.

Malaysia Centre for 4IR yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Presiden Forum Ekonomi Dunia, Børge Brende, menyertai komuniti 18 pusat seumpama itu di seluruh dunia.  

 Ia akan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan ekonomi digital di Malaysia, dengan tumpuan untuk menyokong transformasi digital dan kemajuan dalam sektor yang berkembang pesat termasuk peralihan tenaga hijau.

Anwar berkata, menyedari potensi transformatif 4IR, WEF telah menubuhkan Pusat bagi 4IR sebagai platform untuk menyokong pemimpin bukan sahaja dalam merealisasikan manfaat trajektori teknologi yang sentiasa berkembang tetapi juga usaha kerajaan untuk rangka kerja dasar baharu, model tadbir urus tangkas dan peraturan fleksibel untuk merangsang inovasi sambil menyediakan keselamatan sosial dan perlindungan yang mencukupi kepada rakyat.

“Dengan lebih 60 inisiatif, 300 pakar dasar dan kerajaan serta lebih 450 inovator dan perintis teknologi yang tersedia dalam ekosistem tersebut, perkongsian ini adalah tepat pada masanya ketika Malaysia mengembangkan ekonomi digitalnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha mengembangkan ekonomi digital merupakan agenda penting bagi kerajaan.

“Pelan Tindakan dan Dasar Ekonomi Digital Malaysia untuk Revolusi Perindustrian Keempat telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan manusia bagi memastikan kita dapat memanfaatkan teknologi sambil memelihara nilai manusia, sosial dan budaya untuk kelestarian masa depan,” katanya.

Anwar berkata pelan tindakan itu selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bertujuan untuk mengeksploitasi peluang yang potensi yang tersedia daripada 4IR dan mempersiapkan pembangunan sosioekonomi Malaysia bagi kemampanan dan kemakmuran jangka panjang, sejajar dengan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di persada global, dan ditambah dengan nilai Malaysia MADANI, saya yakin kami mampu mempercepat transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital maju dengan mengukuhkan infrastruktur kami, memudahkan inovasi dan mewujudkan ekosistem bagi kita semua untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih tinggi kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Mac Pada 1.7 Peratus Kekal Terkawal, Bersifat Sementara – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, masih terkawal dan bersifat sementara dengan kenaikan itu sebahagian besarnya didorong oleh faktor kos luaran dan bukannya daripada permintaan domestik yang menyeluruh.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan data hari ini yang menunjukkan inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan indeks meningkat kepada 136.4 daripada 134.1 pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bacaan inflasi terbaharu itu mencerminkan tanda-tanda awal tekanan kenaikan harga, namun ia kekal terhad dan bersifat sementara.

“Trend peningkatan baru-baru ini sebahagian besarnya didorong oleh kesan limpahan daripada konflik Asia Barat yang berterusan melalui kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi dan bukannya sebarang perubahan bermakna dalam keadaan permintaan domestik.

“Apa yang penting, tekanan inflasi kekal terhad, dipacu oleh sektor pengangkutan dan perkhidmatan tertentu, manakala penggunaan teras kekal stabil, mencerminkan permintaan yang kukuh dan pemindahan kos yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek menjelaskan keadaan ini mencerminkan kejutan yang lazimnya disebabkan oleh harga minyak, di mana harga menyesuaikan diri ke paras lebih tinggi dalam jangka pendek tetapi tidak berkembang menjadi inflasi yang berterusan tanpa adanya kesan pusingan kedua.

“Berikutan itu, ketika momentum inflasi cenderung meningkat, struktur pendasar terus memaparkan persekitaran ketidaktentuan yang rendah dengan tekanan luar sementara berbanding kemunculan rejim inflasi yang ketara atau (bersifat) sistemik,” katanya.

Ditanya sama ada inflasi akan kekal dalam julat atau paras semasa, Mohd Sedek berkata walaupun berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat, ini masih berpotensi meningkat dan bergantung kepada sejauh mana kos dilepaskan kepada pengguna.

“Buat masa ini, pelepasan kos itu masih hanya sebahagian, dengan syarikat-syarikat menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik susulan konflik Asia Barat.

“Di peringkat domestik, sokongan dasar terutama kawalan harga bahan api RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), terus (menjadi mekanisme) mengekang inflasi berkaitan bahan api dan mengelak kesan limpahan secara meluas,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sedek menyifatkan titik perubahan penting terletak pada kesan pusingan kedua dengan kemungkinan inflasi meningkat jika kos input terus wujud dan syarikat bertindak melepaskannya menerusi kenaikan harga, terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Sebaliknya, jika keadaan permintaan kekal stabil dan penampan dasar kekal utuh, pelepasan kos dijangka terus terkawal dan membolehkan inflasi kekal dalam julat rendah dan mampu diurus,” katanya.

Mohd Sedek juga menekankan, risiko utama terhadap prospek inflasi Malaysia bagi tempoh berbaki 2026 adalah tertumpu kepada kejutan kos luaran serta pelarasan dasar.

Sementara itu, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata walaupun inflasi kekal dalam jajaran terurus, terdapat tanda-tanda tekanan harga mula meluas.

Beliau berkata inflasi mungkin kekal dalam jajaran 1.0 hingga 2.0 peratus dalam tempoh terdekat tetapi memberi amaran risikonya sedang condong ke arah menaik, terutamanya jika tekanan kos terus disalurkan kepada pengguna.

“Inflasi sepatutnya kekal terkawal dalam tempoh terdekat tetapi risiko luaran seperti harga minyak dan gangguan bekalan boleh memacunya lebih tinggi. Dasar monetari masih mempunyai ruang untuk kekal menyokong tetapi adalah lebih baik untuk meneruskan sikap berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi 2026 Malaysia pada 1.8 peratus walaupun terdapat sedikit peningkatan pada Mac.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2026 kami pada 1.8 peratus, sambil terus mengambil kira potensi tekanan tolakan kos menurutnya dalam nota kajian hari ini.

Bank pelaburan itu berkata konflik AS-Iran telah melonjakkan harga minyak global dan mampu memberi kesan ke atas inflasi domestik jika ia berterusan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tekanan tolakan kos memerlukan pemantauan rapi, kerana harga minyak yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada logistik, utiliti dan kos pengeluaran yang lebih luas, dengan potensi limpahan kepada harga pengguna,” tambahnya.

— BERNAMA