Nilai Kekayaan 10 Jutawan Ini Susut USD152 Bilion Pada Tahun 2021

Terdapat ramai jutawan di dunia ini dan segelintir daripada mereka mempunyai nilai kekayaan luar biasa sehingga mencecah berbilion dollar. Namun, tahun 2021 mungkin bukanlah tahun yang baik bagi mereka. Pada tahun ini, ramai jutawan menyaksikan nilai kekayaan mereka menyusut dengan banyak. 

Tahun 2021 menyaksikan nilai kekayaan 10 taikun dengan kejatuhan terbesar menyusut sebanyak USD152 bilion. Enam daripadanya terdiri daripada jutawan dari negara China. 

Jom kita lihat siapakah gerangan 10 jutawan tersebut.

1. Colin Zheng Huang

Gambar : Bloomberg Finance

Warganegara : China

Susut Nilai Kekayaan: USD40.2 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD22.4 bilion

Huang adalah pengasas platform e-dagang Pinduoduo. Jutawan ini kehilangan 64% daripada kekayaannya tahun ini apabila saham Pinduoduo jatuh dengan drastik. Huang secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai pengerusi pada bulan Mac 2021. 

Sahamnya jatuh 21% selepas pendapatan suku tahunan pada bulan November tidak menepati jangkaan.

2. Jack Ma

Gambar: Getty Image

Warganegara : China 

Susut Nilai Kekayaan: USD21.4 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD37 bilion

Jack Ma pernah menjadi individu terkaya di China. Tahun 2021 bukanlah tahun yang baik bagi syarikatnya kerana pihak kerajaan mengambil tindakan keras terhadap syarikatnya. 

Pada awalnya, pengawal selia China membatalkan IPO kumpulan fintech Alibaba Ant Group yang dirancang pada November 2020. Kemudian, syarikat tersebut dikenakan denda sebanyak USD2.8 bilion pada bulan April. Alibaba dikenakan denda tersebut kerana didakwa melanggar peraturan anti-monopoli. 

Modal pasaran Alibaba telah turun sebanyak 46% setakat tahun ini, lalu menyebabkan nilai kekayaan Jack Ma susut sebanyak USD37 bilion.

3. Hui Ka Yan

Gambar: Bloomberg Finance

Warganegara : China 

Susut Nilai Kekayaan: USD18 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD9.1 bilion

Hui Ka Yan telah kehilangan berbilion dollar di tengah-tengah krisis kewangan yang berterusan di China Evergrande Group. 

Kumpulan syarikat hartanah gergasi tersebut yang diasaskannya gagal membayar hutang kepada para pelabur. 

Baru-baru ini Hui dilaporkan telah menyuntik USD1 bilion daripada poketnya sendiri untuk memastikan syarikat tersebut kekal bertahan. Beliau juga dilaporkan terpaksa menjual saham yang dicagarkannya. Beliau kini berada di bawah tekanan baru untuk mempercepatkan penstrukturan semula liabiliti Evergrande yang bernilai USD300 bilion.

4. Zhang Yong

Gambar: Bloomberg Finance

Warganegara : Singapura 

Susut Nilai Kekayaan: USD15.9 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD7.6 bilion

Zhang ialah pengasas dan pengerusi Haidilao, rangkaian hotpot terbesar China yang juga mempunyai banyak cawangan di seluruh dunia. Didorong oleh pertumbuhan pesat tahun-tahun sebelumnya, gergasi restoran ini membuat tindakan berisiko dengan menggandakan cawangan kedainya sehingga hampir 1,600 buah. 

Namun, pandemik yang melanda seluruh dunia memberi impak besar terhadap rangkaian restoran tersebut. Pada bulan November, syarikat itu mengumumkan akan menutup 300 kedai menjelang akhir tahun 2021. 

Setakat 15 Disember 2021, saham syarikat susut 71% menjadikan nilai kekayaan Zhang jatuh sebanyak 68%.

5. Tadashi Yanai

Gambar: South China Morning Post

Warganegara : Jepun

Susut Nilai Kekayaan: USD14 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD30.4 bilion

Tadashi Yanai kehilangan kira-kira satu pertiga daripada nilai kekayaannya tahun ini selepas saham empayar pakaiannya iaitu Fast Retailing yang berpangkalan di Tokyo jatuh kira-kira 34%. Fast Retailing merupakan pemilik kepada jenama popular Uniqlo dan Theory. 

Walaupun pendapatan untuk tahun ini sehingga Ogos 2021 meningkat 6% dan keuntungan sebelum cukai melonjak lebih daripada 70% daripada tahun 2020, syarikat tersebut menerima impak yang tinggi daripada COVID-19 contohnya seperti kilangnya yang terletak di Vietnam. 

Selain itu, Fast Retailing turut mempunyai isu dengan pembekalnya di Myanmar di mana rampasan kuasa tentera di negara tersebut mencetuskan pergolakan yang ganas. Syarikat tersebut juga terpalit dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia kerana menggunakan buruh paksa minoriti tempatan di wilayah Xinjiang, China. Walaubagaimanapun, Fast Retailing menafikan semua dakwaan tersebut. 

6. Lei Jun

Gambar: Bloomberg Finance

Warganegara : China

Susut Nilai Kekayaan: USD14 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD16.3 bilion

Lei Jun merupakan pengasas dan pengerusi Xiaomi, salah satu jenama telefon pintar paling popular di dunia. Xiaomi bergelut dengan isu rantaian bekalan iaitu kekurangan cip global. Persaingan sengit dengan pengeluar telefon pintar lain juga mengecilkan market share Xiaomi. 

Ia mencatatkan kadar pertumbuhan jualan paling perlahan sejak awal 2020 dalam pendapatan suku ketiganya pada November 2021. 

7. Masayoshi Son

Gambar: Getty Image

Warganegara : Jepun

Susut Nilai Kekayaan: USD13.6 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD25.1 bilion 

Masayoshi Son merupakan pengasas dan ketua pegawai eksekutif gergasi pelaburan Jepun iaitu Softbank Group. Ketidakpastian yang melanda firma di China memberi impak besar kepada kumpulan tersebut. 

Softbank Group melabur di dalam beberapa syarikat teknologi China seperti Alibaba dan Didi Global. Serangan kerajaan China terhadap syarikat-syarikat teknologi ini serta kejatuhan beberapa IPO berprofil tinggi Softbank membawa kepada kerugian sebanyak USD7.3 bilion. 

Kejatuhan nilai saham telah menyebabkan nilai kekayaan Son merosot sebanyak 35%. 

8. Daniel Gilbert

Gambar: Associate Press

Warganegara : Amerika Syarikat

Susut Nilai Kekayaan: USD13.2 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD29.6 bilion

Tahun 2021 merupakan tahun yang kurang baik bagi saham syarikat Daniel Gilbert iaitu Rocket Companies. Jutawan ini pernah menjadi salah seorang daripada 10 individu terkaya dunia apabila kekayaannya melonjak sehingga USD80 bilion pada Mac 2021. 

Namun, saham syarikat susut 62% setakat 15 Disember 2021 kerana kelembapan perolehan dan keuntungan syarikat. Rocket melaporkan pendapatan bersih USD1.4 bilion daripada perolehan sebanyak USD3.1 bilion dari Julai sehingga September 2021, berbanding pendapatan bersih USD3 bilion daripada perolehan USD4.6 bilion untuk tempoh yang sama pada 2020.

9. Zhang Bangxin

Gambar: VCG

Warganegara : China

Susut Nilai Kekayaan: USD11.3 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD1.2 bilion 

Zhang merupakan pengasas bersama dan pengerusi firma perkhidmatan pendidikan TAL Education. Meskipun industri ini berkembang ketika pandemik, kerajaan China menyalahkan syarikat tutor di negara tersebut dengan menyatakan ia memberi tekanan kepada ibu bapa dan pelajar. 

Saham syarikat seperti TAL Education merudum apabila pengawal selia memperkenalkan peraturan baru yang lebih ketat. Nilai kekayaan Zhang merosot sebanyak 90%. 

10. Zhong Huijuan

Gambar: Visual China Group

Warganegara : China

Susut Nilai Kekayaan: USD10.4 bilion

Nilai Bersih Kekayaan : USD10 bilion

Zhong adalah pengasas, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif pengeluar ubat China Hansoh Pharmaceutical. Beliau menjadi salah seorang wanita terkaya di dunia selepas syarikatnya disenaraikan pada tahun 2019.

Selepas itu, saham syarikat meningkat sebanyak 130%. Walaubagaimanapun, pada tahun 2021 saham syarikat telah jatuh lebih 50% dan kini berada di bawah harga penyenaraian IPO. 

Kesannya, kekayaan Zhong telah susut 51% tahun ini. 

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.