6 Cara Untuk Bebas Daripada Cengkaman Hutang

Memang tidak dinafikan bahawa hutang adalah merupakan sebahagian daripada hidup kita. Setiap manusia pastinya pernah berhutang, sama ada sikit atau pun banyak. Yang lebih membimbangkan, Kakitangan Kerajaan Belanja Lebih Daripada 1/2 Gaji Untuk Bayar Hutang dengan jumlah hutang penjawat kerajaan adalah RM236 bilion bersamaan dengan 20% daripada hutang isi rumah di Malaysia.

Bukan itu sahaja, statistik daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa 47% pemuda mempunyai hutang kad kredit yang tinggi manakala 38% mempunyai pinjaman peribadi.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita bebas daripada cengkaman hutang yang besar ini?

1. Dana Kecemasan

Pertama, mulakan dengan “dana kecemasan”. Amaun untuk dana kecemasan akan membolehkan kita gunakannya apabila ia benar-benar diperlukan dan sewaktu kecemasan. Kita boleh memulakan dana kecemasan dari sekarang dengan memasukkan RM50 ke RM100 sebulan.

Sekiranya kita mempunyai lebihan wang, jangan membazir tetapi masukkan ke dalam tabung ini.

2. Langsaikan Semua Hutang Kecuali Hutang Rumah

Kedua, sila pastikan semua hutang anda diselesaikan kecuali hutang rumah anda. Anda boleh memulakannya dengan menyenaraikan semua hutang anda dan bayar satu persatu. Satu perkara yang pasti, jangan bimbang tentang kadar faedah melainkan jika terdapat dua pinjaman dengan imbangan pembayaran yang sama.

Jika demikian, utamakan pembayaran pinjaman dengan kadar faedah yang tertinggi dahulu. Jika kadar faedah kad kredit melebihi kadar faedah pinjaman peribadi, setelkan hutang kad kredit terlebih dahulu.

3. Penjimatan Perbelanjaan

Langkah seterusnya adalah dengan membuat “penjimatan perbelanjaan” selama 3 hingga 6 bulan. Ini adalah satu langkah untuk membina dana kecemasan yang penuh. Bermakna, jika anda ingin melakukan penjimatan, pastikan ia bersamaan dengan perbelanjaan anda pada bulan itu. Dengan cara ini, ia dapat membantu anda bebas daripada membuat sebarang hutang “baru”.

Sebagai contoh, senaraikan belanjawan bulanan anda dan bayangkan, jika anda mempunyai penjimatan yang setara dengan perbelanjaan anda dan didarabkan dengan jumlah bulan yang dikehendaki anda. Wow …. Itu adalah “perbelanjaan penjimatan” anda.

4. Bijak Melabur

Keempat, anda seharusnya mula melabur sekurang-kurangnya 15% daripada pendapatan anda untuk persaraan. Ini memberi manfaat kerana dengan dana yang mencukupi, anda sudah boleh mula meletakkan 15% pendapatan untuk persaraan yang kita mahukan. Pelaburan hartanah, saham, unit amanah, komoditi dan Tabung Haji adalah contoh pilihan pelaburan yang ditawarkan di pasaran.

Sila pilih SATU yang sesuai dengan anda terutamanya risiko yang mampu anda hadapi. Dengan ini, anda dapat merancang dana persaraan anda untuk jangka masa yang panjang dan secara tidak langsung dapat menjadikan anda seorang “Jutawan” pada masa hadapan.

5. Selesaikan Hutang Rumah

Kelima, apabila anda telah menyelesaikan semua hutang anda dan mempunyai simpanan anda sendiri, barulah habiskan pembayaran pinjaman rumah secepat mungkin. Ini merupakan langkah terakhir untuk anda “bebas” hutang. Jangan biarkan ia melarat daripada setahun ke setahun, kerana kita sedia maklum bahawa hutang rumah ada yang sampai 35 tahun lamanya.

6. Sedekah Menambah Rezeki

Akhir sekali, rezeki boleh berlipat kali ganda dengan kita bersedekah. Tolong jangan bersifat tamak dalam berkongsi rezeki yang telah dikurniakan kepada kita. Percayalah bahawa dengan memberikan sedekah, Allah akan memberikan sesuatu sebagai balasannya tanpa disangka-sangka.

Satu perkara yang pasti, kita tidak akan menjadi miskin dengan amalan bersedekah. Dan sentiasa beringat bahawa tangan yang membantu adalah lebih baik daripada tangan yang menerima.

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Anda Nak Beli Rumah, Tapi Adakah Anda Tahu Tahap Kewangan Anda?

Takut-takut ianya kurang memuaskan, nanti nak apply pinjaman tak lepas pula.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.