Kakitangan Kerajaan Belanja Lebih Daripada 1/2 Gaji Untuk Bayar Hutang

Mengikut statistik, Malaysia mempunyai lebih kurang 1.6 juta kakitangan kerajaan. Ada yang kata jumlah ini terlalu tinggi, betul ke?

Dan untuk rekod, nisbah jumlah kakitangan awam Malaysia adalah 1 kepada 19.37, berbanding Singapura (1 kepada 71.4), China (1 kepada 108.3), Indonesia (1 kepada 110) dan United Kingdom (1 kepada 118).

Ini bermakna, daripada 20 orang yang kita kenal, pastinya salah seorang daripadanya adalah kakitangan kerajaan.

Jom kita selami kupasan daripada Kapital.my.


Bulan lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan satu laporan bertajuk Hutang Kakitangan Kerajaan: Risiko dan Pertimbangan Polisi.

Menurut laporan tersebut lebih daripada separuh gaji kakitangan kerajaan digunakan bagi tujuan membayar hutang, ianya lebih tinggi berbanding purata peminjam di Malaysia (⅓ gaji digunakan untuk membayar hutang).

Selepas mengambil kira perbelanjaan keperluan dan bayaran hutang, kakitangan kerajaan dilihat mempunyai simpanan yang terhad untuk berdepan sebarang kecemasan.

Perkara ini lebih merisaukan bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan,mereka hanya ada 15% (bersamaan RM360 – RM586) sahaja baki gaji untuk perbelanjaan lain seperti bil telefon, pakaian dan aktiviti riadah. Adakah lebihan ini mencukupi?

Dilaporka bahawa lebih kurang ⅔ kakitangan kerajaan berpendapatan di bawah RM5,000. Mengikut pecahan geografi pula, lebih kurang separuh kakitangan kerajaan tinggal di kawasan bandar dengan kos sara hidup yang lebih tinggi.

Kredit: BNM

Kakitangan Kerajaan Suka Ambil Pinjaman Peribadi?

Pinjaman peribadi merupakan penyumbang utama hutang kakitangan kerajaan. 34% daripada jumlah hutang berbentuk pinjaman peribadi.

Jika kita lihat senario hari ini, pinjaman peribadi sudah sangat sinonim dengan kakitangan kerajaan. Antara puncanya adalah kelulusan yang mudah serta kadar faedah yang lebih rendah ditawarkan kepada mereka.

Menurut seorang pegawai bank, operasi “gali lubang tutup lubang” merupakan perkara biasa dalam kalangan kakitangan kerajaan. Setiap tahun, sejurus kenaikan gaji, mereka akan mengambil hutang peribadi baru dan menutup hutang peribadi  lama, lebihan baki pula digunakan untuk berbelanja.

Kredit: BNM

Walau bagaimana pun, hutang kakitangan kerajaan tidak memberikan impak yang besar kepada institusi kewangan. Hal ini kerana sebahagian daripada bayaran hutang mereka telah ditolak secara automatik oleh agensi tertentu seperti Angkasa.

Setakat Februari 2018, jumlah hutang penjawat kerajaan adalah RM236 bilion bersamaan 20% daripada hutang isi rumah di Malaysia. 62% daripada RM236 bilion tersebut merupakan hutang daripada institusi kewangan bukan bank seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) .

Baca: Hutang Isi Rumah Masih Membimbangkan Walaupun Terkawal

Melihat kepada hutang kakitangan kerajaan yang semakin tinggi, BNM mencadangkan beberapa polisi bagi mengawal perkara ini.

i) Mempercepatkan pelaksanaan undang-undang Akta Kredit Pengguna bagi meningkatkan kebajikan dan perlindungan pengguna

Akta Kredit Pengguna sedang dirangka oleh kerajaan dan BNM bagi tujuan menguatkan perlindungan kepada pengguna dan menyelaraskan rangka kerja pengawalseliaan dan pengawasan terhadap aktiviti kredit pengguna.

ii) Merangka strategi nasional bagi meningkatkan literasi kewangan

Pengetahuan kewangan yang tinggi akan membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang bijak.

BNM dengan kerjasama AKPK telah menjalankan pelbagai prorgram seperti Money Sense dan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) bagi meningkatkan literasi kewangan kepada beberapa kumpulan sasaran.

Image result for karnival kewangan
Kredit: Harian Metro

Pada tahun 2016, BNM dan beberapa agensi kerajaan merangka strategi nasional bagi meningkat literasi kewangan bagi tujuan berikut:

  1. Memupuk sikap ambil berat terhadap kewangan daripada usia muda
  2. Menggalakkan gaya hidup kewangan yang sihat
  3. Menyemai sikap dan tingkah laku kewangan yang positif dalam kalangan kumpulan sasaran
  4. Membuat perancangan kewangan jangka masa panjang dan merancang persaraan
  5. Memperkasakan individu untuk menguruskan risiko dan pulangan

iii) Mencari strategi yang lebih mampan bagi isu pemilikan rumah

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan bekalan rumah mampu milik dan menambah baik pasaran sewaan sebagai alternatif kepada pemilikan rumah.

Bagi mempromosikan pasaran sewa yang lebih baik, kerajaan sedang merangka Akta Sewaan Kediaman dan memperkenalkan Tribunal Penyewaan.

iv) Memperkukuhkan “underwriting practices” di antara pemberi pinjaman institusi bukan bank kepada penjawat awam

Pemberi pinjaman institusi bukan bank perlu meletakkan had kepada jumlah pinjaman yang boleh dipohon oleh kakitangan kerajaan.

v) Meningkatkan prospek pertumbuhan pendapatan

Pendapatan merupakan faktor penting dalam menilai kemampuan kewangan individu. Dengan pendapatan yang lebih tinggi, kakitangan kerajaan mempunyai  daya tahan yang lebih tinggi terhadap musibah kewangan.

Sumber: Kapital.my

Banyak Usaha Sedang Dijalankan, Tapi Kalau Diri Sendiri Masih Tak Sedar – Susah Juga

Kita boleh lihat bagaimana pelbagai usaha sedang dijalankan oleh pihak kerajaan bagi membantu orang ramai mencapai tahap celik kewangan yang tinggi, namun ianya seolah menemui jalan buntu.

Lihat saja statistik berikut yang menggerunkan:

1. Orang Kita Tiada Perlindungan

Mengikut statistik, Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful. Ianya adalah satu statistik yang sangat menyedihkan. Perlindungan merupakan perkara yang paling asas semua orang patut ada, tapi masih ramai lagi yang tidak mempunyainya.

2. Orang Kita Tiada Simpanan

Kita disarankan untuk mempunyai simpanan sebanyak 3-6 bulan daripada gaji bulanan kita. Kalau kita mempunyai gaji sebanyak RM3,000, pastikan ada simpanan sebanyak RM9,000 ke RM18,000 untuk bersedia dengan sebarang musibah.

Tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri menyatakan bahawa: 3 daripada 4 rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan RM1,000 jika berlaku kecemasan.

3. Orang Kita Mudah Terpedaya Dengan Skim Cepat Kaya

Bila bercerita tentang pelaburan, memang best. Boleh dikatakan topik yang paling hangat untuk dijadikan perbincangan adalah pelaburan. Habis tu kenapa kita pergi join skim cepat kaya? Baca saja berkenaan Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah.

Hampir sejuta rakyat Malaysia yang tertipu dengan skim-skim penipuan. Ini yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan agak-agaknya banyak lagi tak?


Belajar Ilmu Pengurusan Dan Perancangan Kewangan Daripada Afyan Mat Rawi, Perancang Kewangan Yang Terbaik

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.