6 Tips Mudah Mengajar Anak Berjimat

Peningkatan kos sara hidup sekarang merupakan satu isu yang tidak habis-habis diperkatakan oleh semua orang. Dan kedengaran banyak tips untuk berjimat cermat dan mencari pendapatan sampingan.

Selain daripada kita sahaja yang membanting tulang dan mengikat perut, elok juga kita mengajar anak kita untuk berjimat agar satu keluarga selamat dari segi kewangan. Di sini kami sediakan 6 tips mudah mengajar anak berjimat.

1. Beri Wang Belanja Secukupnya

Jangan manjakan mereka dengan memberi duit belanja yang terlalu banyak. Bukan nak suruh kedekut, tetapi bagi wang belanja secukupnya sahaja. Sekurang-kurangnya ini dapat mengajar mereka bahawa bukan mudah untuk mendapatkan duit. Jadi mereka terpaksa berjimat dengan duit yang ada.

Dan kalau mereka nak duit lebih, boleh minta mereka melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, melipat kain baju, tolong basuh kereta dan sebagainya.

2. Beli Barang Guna Duit Sendiri

Zaman kanak-kanak sekarang berbeza dengan kanak-kanak zaman dahulu. Sekarang mereka lebih terdedah dengan permainan video serta gajet yang mahal-mahal. Jika anda mampu sekalipun, ajarkan mereka menyimpan untuk membeli barangan yang dihajati.

Ianya berkait dengan #1 di atas, iaitu mereka perlu menyimpan duit sebelum boleh membeli sesuatu yang mereka hajati. Cara ini akan membuatkan mereka lebih menghargai duit serta barangan tersebut kerana mereka telah bersusah-payah menyimpan.

3. Buka Akaun Simpanan

Sebaiknya buka satu akaun simpan untuk anak anda sejak dari mereka lahir lagi. Kemudian tunjukkan baki akaun mereka setiap kali anda masukkan duit simpanan mereka itu ke dalam akaun tersebut. Bila melihat baki akaun yang semakin bertambah itu, pastinya mereka akan lebih bersemangat untuk menyimpan.

Ianya terbukti berkesan semasa menyambut Hari Raya. Dah kumpul duit raya banyak-banyak tu, tunjukkan mereka berapa baki simpanan, pasti mereka berasa teruja.

4. Ajar Menabung

Yang ini paling penting. Setiap anak perlu dididik dari awal lagi untuk menabung. Untuk permulaan, anda mungkin boleh memberikan mereka tabung comel untuk mereka masukkan duit syiling. Setiap kali mereka pulang ke sekolah, tanyakan berapa balance duit yang tinggal dan galakkan mereka menyimpan duit mereka ke dalam tabung tersebut.

Apabila duit dalam tabung dah penuh, masukkan ke dalam akaun simpanan mereka dan biarkannya berkembang.

5. Tingkah Laku Ibu Bapa

Ramai yang selalu terlupa yang anak-anak kecil ini sering kali mengikut tingkah laku orang dewasa. Jadi sebagai ibu bapa yang lebih rapat serta banyak menghabiskan masa dengan mereka, anda juga haruslah menjadi contoh yang lebih baik.

Anda sendiri tak boleh bersikap boros. Biasakan bawa anak-anak membeli-belah bersama. Ajarkan mereka membandingkan harga barangan, beli hanya yang perlu dan sebagainya. Utamakan barangan keperluan daripada melayan nafsu kehendak. Jadi mereka akan lebih bijak berbelanja selepas ini.

6. Ajar Melalui Permainan

Daripada membiarkan mereka leka dengan gajet serta permainan video, apa kata tarik minat mereka dengan permainan meransang minda seperti Saidina, Monopoly dan sebagainya. Permainan ini bukan sahaja baik untuk merangsang minda mereka, tetapi ianya dapat mengajar mereka tentang ilmu kewangan pada usia yang muda. Cara ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kanak-kanak zaman sekarang terdedah kepada barangan-barangan mewah dan sering dimanjakan. Amatlah penting untuk kita ajarkan kepada mereka tentang sikap berjimat-cermat sejak dari kecil lagi. Ini untuk masa depan mereka juga, yang dikatakan akan semakin mencabar. Dengan adanya 6 tips berjimat mudah mengajar anak berjimat di atas, diharapkan mereka akan celik tentang betapa pentingnya ilmu kewangan.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.panduansaya.com/kewangan/cara-mengajar-anak-anak-tentang-kewangan-duit/
  2. http://info.gerobokanim.com/5-tips-ini-akan-ajar-anak-kecil-hargai-duit/
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.