Apa Nak Jadi? 70% Rakyat Malaysia Tak Celik Kewangan

Percaya atau tidak, hampir 70 peratus rakyat Malaysia memerlukan sokongan daripada segi ilmu kewangan. Kajian terbaru tersebut dibuat melalui Multiply, platform celik kewangan oleh Creador Foundation.

Menurut kajian yang telah dilakukan itu, daripada 3,333 maklum balas yang diterima, 21 peratus menganggap diri mereka tidak mempunyai asas dalam menguruskan kewangan peribadi. Manakala hanya terdapat dalam 48 peratus daripada responden mempunyai sedikit pengetahuan dalam menguruskan wang.

Selebihnya dalam kelompok 31 peratus mempunyai ilmu dan faham konsep kewangan dengan baik.

Menurut tinjauan tersebut, hal yang perlu diberikan perhatian adalah cara menguruskan belanja dan juga simpanan. Sebanyak 41 peratus daripada responden berkata mereka tidak mampu untuk menguruskan pendapatan bulanan mereka dan sering bimbang jika gaji mereka tidak cukup untuk bertahan sehingga bulan seterusnya.

Sementara itu, 6 peratus daripada mereka bergantung kepada kad kredit untuk menampung kekurangan belanja setiap bulan dan 48 peratus tidak mempunyai simpanan kecemasan, contohnya ketika jatuh sakit ataupun jika kehilangan pekerjaan.

Memang tidak dapat dinafikan tahun ini adalah tahun yang sangat mencabar untuk semua orang dan tidak mengejutkan juga ramai bimbang dengan keadaan kewangan masing-masing. Tetapi, melalui kajian tersebut, tidak semua hasil tinjauan menunjukkan sudut yang negatif.

Sebilangan besar responden seramai kira-kira 53 peratus berkata mereka melakukan perancangan belanja lebih awal, Sebanyak 31 peratus daripada responden pula memiliki insurans sekiranya berlaku kemalangan dan 52 peratus memiliki sedikit simpanan jika diperlukan, sebagai contoh untuk membaiki kereta.

Kajian tersebut juga melihat dan menilai cara rakyat Malaysia menggunakan instrumen kewangan untuk menguruskan kewangan. Terdapat 32 peratus daripada responden berkata mereka lebih selesa untuk membiarkan baki wang mereka dalam akaun simpanan berbanding membuat pelaburan untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Ini menunjukkan bahawa tanpa ilmu kewangan dan tahu bagaimana untuk menghasilkan wang, masih ramai yang lebih memilih jalan selamat dan yang kurang memberikan pulangan lumayan seperti di akaun simpanan meski pun tahu kadar faedah rendah yang ditawarkan.

Kesimpulannya, kajian ini memberitahu kita bahawa ilmu kewangan sangat penting walaupun hanya pada peringkat asas. Kita perlu tahu bagaimana wang berfungsi sama ada melalui simpanan, pelaburan atau pun instrumen kewangan yang lain.

Tanda-tanda anda memiliki masalah kewangan:

1. Selalu meminjam wang daripada rakan-rakan dan ahli keluarga tetapi tidak membayar semula.

2. Sering bergaduh dengan pasangan tentang wang.

4. Selalu withdraw duit simpanan dalam ASB atau Tabung Haji.

5. Kerap mendapat surat amaran bank sebab lewat bayar hutang.

6. Tiada simpanan atau tabung kecemasan sebanyak 3-6 bulan gaji.

Ilmu kewangan penting bukan sahaja untuk bertahan dalam hidup, tetapi untuk mencapai tahan kebebasan kewangan.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: The Edge Markets

Anak muda biasanya tanya soalan-soalan berikut:

  • Nak melabur tapi tak tahu nak melabur dekat mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan, yang mana sesuai dengan saya?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?

Dapatkan jawapan kepada semua soalan ini dan banyak lagi, di dalam buku yang penuh dengan maklumat ini.

Anda perlu baca buku ini kerana:

  • Daripada beribu-ribu artikel yang telah MajalahLabur keluarkan, ini adalah rumusannya. Yang terbaik daripada yang terbaik!
  • Inilah buku yang menggabungkan kesemua ilmu, rahsia dan tips berharga; dalam bahasa santai yang semua orang boleh faham.
  • Lepas dah habis membacanya, anda dah tahu nak pilih pelaburan yang bersesuaian dengan jiwa dan tak perlu lagi nak ikut orang lain.
  • Dengan ilmu yang betul, barulah duit tak hilang dan pelaburan semakin berkembang.

Link Pembelian:
MPH Online
Kinokuniya
Lazada
Shopee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari