Bank Menasihatkan Pelanggan Mengemas Kini Pelayar Web Dan Sistem Pengendalian Mudah Alih

Bagi melindungi akaun perbankan daripada ancaman siber, bank-bank ahli Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) hari ini menggesa pelanggan untuk memastikan pelayar web dan peranti mudah alih mereka menggunakan versi terkini bagi mengurangkan risiko kelemahan keselamatan siber dan melindungi diri daripada penipuan.

Dengan mengemas kini pelayar web dan peranti mudah alih kepada versi terkini, pelanggan akan menerima tampalan keselamatan terbaru yang dapat memperkukuh perlindungan terhadap ancaman siber dan perisian hasad.

Industri perbankan menggesa semua pelanggan untuk menaik taraf kepada versi pelayar web dan sistem pengendalian (OS) mudah alih yang terkini. Peranti yang menggunakan versi lama atau tidak lagi disokong lebih terdedah kepada ancaman dan mungkin tidak lagi menerima kemas kini keselamatan penting daripada pembangun seperti Apple, Google dan Mozilla.

Bagi mengurangkan risiko perisian hasad, bank mungkin akan memperkenalkan langkah pengesahan tambahan, mengurangkan had transaksi atau mengenakan sekatan lain kepada pelanggan yang menggunakan versi tidak disokong. Bank juga boleh menyekat transaksi yang berpunca daripada versi tersebut secara proaktif bagi melindungi pelanggan. Lapisan perlindungan tambahan ini membantu meningkatkan keselamatan, sekali gus melindungi dana pelanggan dan memastikan ketenangan fikiran kewangan mereka.

Untuk mengemas kini ke versi terkini, pelanggan dinasihatkan mengikuti langkah-langkah mudah berikut:

Pada pelayar web

  1. Buka pelayar web dan pergi ke ‘Tetapan’ atau ‘Bantuan’
  2. Semak kemas kini yang tersedia. Jika ada, muat turun atau pasang versi terkini
  3. Mulakan semula pelayar web untuk melengkapkan pemasangan

Pada peranti mudah alih

  1. Buka aplikasi Tetapan dan pergi ke Sistem atau Kemas Kini Perisian (untuk Android) atau Umum (untuk iOS)
  2. Semak kemas kini yang tersedia. Jika ada, muat turun atau pasang versi terkini
  3. Ikuti arahan pada skrin untuk melengkapkan pemasangan

Langkah-langkah ini mungkin berbeza bergantung kepada tetapan pengeluar peranti.

Bagi melindungi diri, bank menggesa pelanggan supaya hanya memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi rasmi. Pelanggan yang menggunakan peranti lama atau usang digalakkan untuk menaik taraf kepada model yang lebih baharu supaya dapat menerima tampalan keselamatan secara berkala.

Sistem pengendalian mudah alih semasa yang disokong oleh Google dan Apple masing-masing ialah Android versi 13 dan ke atas, serta iOS versi 18 dan ke atas. Untuk mengetahui OS terkini yang disokong, pelanggan boleh melayari endoflife.date/android dan endoflife.date/ios.

Bagi pelayar web, versi berikut dan ke bawah dianggap tidak selamat oleh pembangun pelayar tersebut — Google Chrome versi 140, Firefox versi 141 dan Safari versi 18.5. Pelanggan boleh melayari browser-update.org untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai versi pelayar web.

Industri perbankan kekal komited untuk memastikan perkhidmatan perbankan yang lebih selamat dan terjamin. Sepanjang tempoh peralihan ini, pelanggan akan diberikan panduan berkaitan keperluan pelayar web dan OS mudah alih serta garis masa pelaksanaannya. Selain itu, sesetengah bank, dengan kerjasama rakan peranti terpilih, akan menawarkan harga diskaun atau pakej gabungan kepada pelanggan yang layak untuk menaik taraf peranti mudah alih mereka.

Untuk mendapatkan bantuan, pelanggan boleh menghubungi bank masing-masing melalui cawangan, pusat panggilan atau saluran rasmi media sosial. Bagi maklumat penuh mengenai keperluan versi pelayar web dan OS mudah alih setiap bank, pelanggan digalakkan untuk menghubungi bank mereka secara terus.

Pelanggan yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan digesa untuk mengaktifkan ‘Kill Switch’ dengan segera bagi menghentikan sebarang atau kerugian lanjut. Mereka juga digalakkan menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau talian hotline penipuan 24 jam bank masing-masing untuk mendapatkan bantuan.

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.