Luno Malaysia Sasar Pilihan Staking Baharu Berdasarkan Peningkatan Minat Aset Digital Patuh Syariah

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Platform mata wang kripto iaitu Luno Malaysia merancang untuk memperkenalkan lebih banyak pilihan staking pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memperluaskan penawaran aset digital patuh syariah di negara ini.

Staking berfungsi untuk membantu pelabur mengembangkan pegangan mata wang kripto mereka di pasaran. Dengan mengunci sejumlah mata wang kripto pada blockchain untuk suatu tempoh, maka pengguna akan meraih ganjaran tambahan pada tindakan pelaburan itu.

Pegawai Am Kanan Luno Malaysia Amalina Tarmizi berkata pelancaran aset staking tambahan sudah menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju pembangunan Luno, dengan pengumuman lanjut akan dibuat sebaik sahaja syarikat bersedia untuk melancarkan produk baharu.

“Kami mempunyai beberapa pelan yang sedang dalam perancangan dan ya, semuanya telah berada dalam pelan hala tuju kami. Kami sudah pasti akan membuat pengumuman sebaik sahaja segala-galanya siap,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Aplikasi Luno menampilkan kategori khusus yang membolehkan pengguna menyemak sama ada sesuatu aset diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pada Oktober, Luno memperkenalkan staking patuh Syariah untuk Solana (SOL) dan Cardano (ADA), sekali gus memperkukuh keyakinan dalam kalangan pelabur Muslim yang ingin memastikan pelaburan mereka sejajar dengan prinsip-prinsip Islam. Pada masa ini, Luno menawarkan perkhidmatan staking untuk enam aset digital, iaitu Ethereum (ETH), Solana (SOL), Cardano (ADA), NEAR Protocol (NEAR), Cosmos (ATOM) dan Polkadot (DOT). Daripada jumlah itu, Ethereum, Solana dan Cardano diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Platform itu menyenaraikan 23 aset digital secara keseluruhan, dengan 22 daripadanya tersedia untuk diniagakan.

Amalina menjelaskan staking membolehkan pengguna menempatkan aset digital yang disokong ke dalam dompet staking, di mana token berkenaan membantu mengesahkan transaksi blockchain dan menjamin keselamatan rangkaian, sebagai balasannya pengguna akan memperoleh ganjaran.

Sejak diperkenalkan staking SOL dan ADA, Amalina berkata Luno telah menyaksikan peningkatan ketara dalam kalangan pengguna Malaysia yang menyertai staking, terutamanya pelabur Muslim memandangkan pensijilan patuh Syariah telah mengukuhkan keyakinan bahawa pelaburan mereka adalah halal dan selaras dengan prinsip Islam bahawa “mencari yang halal adalah satu kewajipan untuk semua Muslim.”

Beliau berkata selain daripada aspek pematuhan, pensijilan itu mencerminkan komitmen Luno terhadap ketelusan dan tadbir urus yang beretika, memastikan dana staking digunakan hanya untuk tujuan staking dan bukan untuk aktiviti yang tidak berkaitan.

“Ketelusan adalah sangat penting, terutamanya dalam kelas-kelas aset yang masih baharu. Kami menjalani semakan Syariah yang menyeluruh untuk menunjukkan perkhidmatan kami beroperasi seperti yang dinyatakan dan dana-dana pelanggan diuruskan secara bertanggungjawab.

“Sebagai platform yang dikawal selia di bawah SC, Luno mematuhi semua keperluan pematuhan, mengemukakan laporan secara berkala dan memanfaatkan pengawasan kawal selia dan ketelusan operasi untuk membina kepercayaan dalam kalangan para pengguna,” katanya.


Sentimen Pasaran Mata Wang Kripto di Malaysia

Mengulas mengenai landskap kripto secara lebih meluas, Amalina berkata pelabur Malaysia kekal aktif walaupun berlaku turun naik pasaran yang berterusan.

“Walaupun terdapat turun naik, kami melihat penglibatan yang konsisten. Ini mencerminkan asas pelabur yang lebih matang dan yakin,” katanya.

Beliau berkata tingkah laku pelabur telah berkembang sepanjang tahun, beralih daripada spekulasi jangka pendek kepada pelaburan yang strategik untuk jangka panjang.

“Sebelum ini, trend adalah mengejar keuntungan secara cepat. Tetapi kini lebih ramai pelabur melihat kripto sebagai kelas aset jangka panjang, menumpukan kepada pertumbuhan yang berterusan dan bukannya keuntungan segera. Ini menunjukkan pasaran kripto Malaysia semakin matang sambil kekal dinamik,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Amalina berkata Luno menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam sektor itu, sebahagiannya dipacu oleh minat institusi yang meningkat di peringkat global dan serantau.

“Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, kami telah menyaksikan perubahan yang kukuh dalam penerimaan institusi. Pemain- pemain besar sedang memasuki pasaran dan kami berharap momentum ini akan bertambah kukuh menjelang 2026. Semoga kita akan melihat lebih banyak penyertaan institusi dalam industri kripto,” tambahnya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Luno, Halogen Capital dan Kenanga Investors Teroka Stablecoin yang Dipaut kepada Ringgit untuk Penyelesaian Dana yang Ditokenkan

Kuala Lumpur, 24 September 2026 – Bursa aset digital terkemuka Malaysia, Luno Malaysia Sdn. Bhd. (“Luno”), hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Halogen Capital Sdn. Bhd. (“Halogen Capital”) dan Kenanga Investors Berhad (“Kenanga Investors”) di LIDAC 2026 di Kuala Lumpur bagi meneroka penggunaan UMYR sebagai instrumen penyelesaian on-chain bagi dana pasaran wang yang ditokenkan. UMYR ialah stablecoin yang dipaut kepada Ringgit dan disokong sepenuhnya oleh rizab.

Kerjasama ini menyatukan tiga entiti yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC): Luno, sebuah Pengendali Pasaran Diiktiraf (Bursa Aset Digital) yang berdaftar, serta Halogen Capital dan Kenanga Investors, yang masing-masing merupakan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) dan mengendalikan dana serta mandat yang ditokenkan.

(Dari kiri ke kanan) Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis, Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad; Hann Liew, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halogen Capital; dan Scarlett Chai, Pengurus Negara (Malaysia), Luno, mengumumkan satu kerjasama strategik untuk meneroka penggunaan stablecoin UMYR yang nilainya dipautkan kepada Ringgit Malaysia dan disokong sepenuhnya oleh rizab, sebagai instrumen penyelesaian transaksi berasaskan blockchain (on-chain) bagi dana pasaran wang yang ditokenkan (tokenised money market funds).

Inisiatif ini bertujuan untuk menunjukkan keupayaan penyelesaian Penyerahan-semasa-Pembayaran (Delivery-versus-Payment, DvP) secara masa nyata bagi langganan dan penebusan dana, sekali gus memendekkan tempoh penyelesaian berbanding sistem penyelesaian konvensional.

Mengenai Inisiatif Ini

UMYR dicadangkan untuk diterbitkan oleh entiti penerbitan khusus yang diasingkan (ring-fenced) dalam kumpulan Luno serta disandarkan pada nisbah 1:1 oleh Ringgit yang disimpan dalam akaun berasingan di Malaysia dengan rakan perbankan yang dikawal selia.

Di bawah inisiatif yang dicadangkan:

  • Luno (Penerbit) akan menerbitkan (mint) dan menebus (burn) UMYR pada nisbah ketat 1:1 berdasarkan Ringgit yang diterima atau dibayar keluar, mengurus proses penyertaan institusi dan pengurusan senarai dompet yang diluluskan (wallet whitelisting), serta menyediakan penyelarasan rizab harian yang disokong oleh pengesahan rizab pihak ketiga bebas.
  • Halogen Capital dan Kenanga Investors (Rakan Dana) akan mengambil bahagian sebagai pengurus dana dalam inisiatif ini dengan menerima UMYR bagi penyelesaian langganan dan penebusan untuk dana pasaran wang yang ditokenkan masing-masing, sambil mengekalkan tanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dana, pengurusan daftar unit serta segala tanggungjawab kepada pelabur di bawah lesen CMSL masing-masing.

Inisiatif ini direka sebagai pengaturan tertutup (closed-loop) antara perniagaan dengan perniagaan yang melibatkan peserta institusi yang telah diluluskan. Tiada pelanggan runcit akan didaftarkan, terlibat atau diberikan perkhidmatan sepanjang pelaksanaan inisiatif stablecoin ini.

Pengurus Negara (Malaysia) Luno, Scarlett Chai  berkata: “Ketika ekosistem aset digital Malaysia beralih daripada pembinaan asas kepada keupayaan institusi, infrastruktur seperti UMYR amat penting. Dengan menyediakan instrumen penyelesaian yang disandarkan Ringgit secara 1:1 dan diasingkan sepenuhnya, kami menunjukkan bagaimana kecairan on-chain dan penyelesaian DvP masa nyata boleh beroperasi dengan lancar dan bertanggungjawab dalam rangka kerja kawal selia sedia ada Malaysia bersama peneraju industri berlesen.”

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halogen Capital, Hann Liew berkata: “Sebagai antara peneraju awal dana ditokenkan di Malaysia, kami melihat penyelesaian sebagai komponen penting seterusnya. Jadi, menguji UMYR sebagai instrumen penyelesaian yang khusus amat selari dengan visi kami untuk pengurusan dana moden. Beroperasi dalam rangka kerja yang dikawal selia bersama rakan berlesen SC memastikan kami dapat menawarkan operasi dana yang lebih pantas dan selamat kepada peserta institusi.”

Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis berkata: “Inisiatif ini akan terus memperkukuh usaha kami dalam bidang tokenisasi aset. Digandingkan dengan infrastruktur penyelesaian generasi baharu, kami percaya inisiatif ini akan membawa industri lebih dekat untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat tokenisasi, dengan memanfaatkan asas yang telah dibina melalui pelancaran Myrra dan dana ditokenkan pertama di Malaysia. Sambil meneroka peluang ini, tanggungjawab fidusiari kami kekal tidak berubah, dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak pengawal selia.”

Apa Maknanya kepada Pasaran Modal Malaysia

Kolaborasi ini merupakan satu langkah penting dalam pengujian infrastruktur aset digital yang dikawal selia bersama ekosistem pengurusan dana sedia ada di Malaysia. Ciri-ciri utama inisiatif yang dicadangkan termasuk:

  • Penyelesaian lebih pantas: Penyelesaian DvP masa nyata untuk langganan dan penebusan dana berbanding tempoh penyelesaian konvensional.
  • Disokong sepenuhnya oleh rizab: UMYR direka untuk disandarkan pada nisbah 1:1 oleh Ringgit yang disimpan dalam akaun berasingan di Malaysia, dengan penyelarasan rizab harian dan pengesahan bebas.
  • Inovasi yang bertanggungjawab: Dengan menguji UMYR bersama pihak yang dikawal selia, pembangunan masa depan penyelesaian on-chain di Malaysia dapat dibina berasaskan kawalan yang telah diuji, bukannya andaian yang belum terbukti.

Membina Infrastruktur Aset Digital Terkawal Selia untuk Malaysia

Inisiatif ini memperkukuh rekod Luno sebagai bursa aset digital pertama yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Luno dipercayai oleh lebih 1 juta rakyat Malaysia serta menawarkan senarai aset digital terbesar yang diluluskan SC di negara ini. Dengan menggabungkan instrumen penyelesaian UMYR yang dipaut kepada Ringgit dan disokong sepenuhnya oleh rizab dengan dana ditokenkan yang diuruskan oleh institusi pasaran modal berlesen, inisiatif ini bertujuan menunjukkan bahawa penyelesaian berasaskan blockchain boleh beroperasi dalam rangka kerja kawal selia Malaysia, bukan di luarnya.

Kolaborasi ini mewakili hasrat komersial pihak-pihak yang terlibat untuk bekerjasama, namun tidak merupakan komitmen untuk melancarkan UMYR atau inisiatif ini. Sebarang penyertaan tertakluk kepada libat urus kawal selia dan pelaksanaan perjanjian muktamad.

Kolaborasi ini diumumkan pada Persidangan Aset Digital Institusi Luno (LIDAC), persidangan aset digital utama Malaysia bagi institusi. Diadakan di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur, persidangan tersebut meneliti fasa seterusnya industri aset digital Malaysia, yang merangkumi stablecoin, tokenisasi, aset dunia sebenar, kustodian dan pematuhan.

Acara itu menghimpunkan lebih 500 pengurus dana institusi, penasihat kewangan, pengawal selia, pemimpin pematuhan dan perintis Web3 dari seluruh rantau untuk membincangkan amalan terbaik dalam aspek kustodian, pematuhan dan pengurusan risiko. Berasaskan kejayaan edisi sulung pada tahun 2025, program tahun ini mencerminkan kematangan pasaran yang beralih daripada pembinaan asas kepada pembangunan infrastruktur, tadbir urus serta keupayaan institusi yang diperlukan bagi menyokong penerimagunaan berskala besar secara bertanggungjawab.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook dan Instagram rasmi Luno Malaysia.

Disclaimer: This material is solely for general information purposes. It has not been reviewed by the Securities Commission Malaysia (“SCˮ). This information contained herein does not constitute any investment advice. Past performance is not indicative of future performance.