Agrobank, Foodpanda Jalin Kerjasama Tawar Pembiayaan Mikro Kepada Usahawan Dari Rumah

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Agrobank dan Foodpanda Malaysia Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyediakan bantuan kewangan kepada para vendor usahawan Foodpanda dari rumah untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka menerusi peruntukan dana berjumlah RM50 juta.

Menerusi kerjasama itu, para vendor dan rakan penghantar Foodpanda di bawah program jaringan HomeChef, berpeluang dan mempunyai akses kepada Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz Agrobank, iaitu skim pembiayaan mikro bagi individu-individu yang berminat untuk memulakan perniagaan makanan sendiri dari rumah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (sebelum ini dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia Bhd) Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kerjasama itu akan meningkatkan lagi visi bank untuk menerajui sektor pertanian negara dan memenuhi keperluan komuniti agromakanan termasuk yang menjalankan aktiviti huluan dan hiliran.

“Kami boleh menyediakan kepakaran dan sokongan kewangan kepada para vendor dan rakan penghantar yang sedia ada dan berpotensi Foodpanda di bawah inisiatif HomeChef,” kata Ahmad Badli pada majlis menandatangani MoU itu di ibu pejabat Foodpanda Malaysia di sini hari ini.

“Kita menjangkakan RM10 juta daripada peruntukan itu akan digunakan pada tahun pertama. Tiada cagaran diperlukan dan setiap vendor di bawah program ini layak mendapat pinjaman sebanyak RM5,000 dengan diberi moratorium bagi enam bulan pertama.

“Pemohon akan dikenakan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus pada bulan ketujuh dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 60 bulan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia Sayantan Das berkata syarikatnya percaya usaha-usaha yang dapat memperkasakan keusahawanan untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan tempatan.

“Dengan kerjasama bersama Agrobank ini, kami dapat mensinergikan kekuatan dan perubahan yang hebat untuk bakal usahawan di platform kami.

“Foodpanda tidak hanya berfungsi sebagai pasaran pasif semata-mata yang mana para vendor boleh berhubung dengan setiap pelanggan mereka, tetapi kami turut berusaha untuk memupuk dan menyokong untuk mereka mencapai potensi penuh masing-masing,” katanya.

Vendor Foodpanda pada acara itu, Pengarah Three BG Management & Event Mohd Syaril Hassan berkata terdapat 60 vendor kecil lain di bawah syarikatnya yang mendapat manfaat daripada bantuan kewangan.

“Kebanyakan mereka terdiri daripada pemilik perniagaan berskala kecil, suri rumah, ibu bapa tunggal serta pelajar dan kebanyakan mereka beroperasi dari rumah.

“Saya percaya mereka boleh mengembangkan lagi perniagaan mereka dan pada masa sama meningkatkan status kewangan mereka dengan bantuan yang disediakan menerusi kerjasama Agrobank-Foodpanda,” katanya.

Terdapat lebih daripada 5,000 vendor HomeChef di bawah Foodpanda Malaysia yang layak menerima bantuan kewangan daripada Agrobank.

Pembiayaan tersebut boleh digunakan untuk pembelian aset tetap termasuk motosikal dan modal kerja.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/agrobank-foodpanda-jalin-kerjasama-tawar-pembiayaan-mikro-kepada-usahawan-dari-rumah/

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA