TM Lancar Fasa Pertama Perkhidmatan 5G Bagi Pelanggan Unifi Mobile

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM) kini melancarkan fasa pertama perkhidmatan 5G yang menawarkan data tanpa had kepada pelanggan pascabayar Unifi Mobile sedia ada serta pelanggan pascabayar dan prabayar baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Imri Mokhtar berkata perkhidmatan 5G itu akan memantapkan lagi kedudukan TM sebagai peneraju dalam perkhidmatan konvergens talian tetap dan mudah alih untuk segmen pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ini juga dapat mengukuhkan keupayaan mudah alih TM bagi menyediakan penyelesaian semua-dalam-satu terluas dan terpantas untuk jalur lebar tetap, perkhidmatan mudah alih dan kandungan digital yang memenuhi keperluan kehidupan dan pekerjaan digital masa kini, kata beliau.

“Memandangkan 5G kini meliputi lebih daripada 33 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia, fasa pertama ini penting bagi TM dalam memperluas capaian dan memberi peluang menawarkan perkhidmatan konvergens yang kini dinikmati oleh tiga juta pelanggan kediaman dan hampir 400,000 PMKS,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, TM akan terus berusaha untuk memantapkan seni bina rangkaian fiber negara, menyepadukan teknologi automasi dan maya bagi meningkatkan infrastruktur yang dapat menyokong jangkaan permintaan terhadap perkhidmatan dan keupayaan 5G.

TM juga baru-baru ini melancarkan 5G Sphere iaitu himpunan rakan kongsi teknologi dan penyelesaian pintar untuk membentuk ekosistem yang mempercepatkan penciptaan bersama kes-kes gunaan inovatif 5G selain merealisasikan idea-idea transformasi perusahaan menggunakan teknologi itu.

Setakat ini, program tersebut telah disertai oleh 39 rakan kongsi.

TM berkata, usahanya bersama kerajaan akan turut mempercepat ketersediaan bandar pintar, industri pintar dan aplikasi berdaya 5G selain mewujudkan masyarakat dan ekonomi digital yang lebih mampan serta inklusif.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/tm-lancar-fasa-pertama-perkhidmatan-5g-bagi-pelanggan-unifi-mobile/

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.