Hasil Tambahan Cukai SST Yang Dinaikkan Beri Manfaat Lebih Ramai Rakyat – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Hasil tambahan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dinaikkan kepada 8.0 peratus berupaya memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai, penambahbaikan infrastruktur di bandar dan penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk yang semakin menua di negara ini.

Sebelum ini kadar SST ialah pada 6.0 peratus dan kadar baharu cukai itu (8.0 peratus) yang berkuat kuasa 1 Mac, 2024 tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, langkah itu merupakan tindakan yang betul kerana ia akan memberi lebih banyak hasil dan merapatkan jurang belanjawan Malaysia dengan berkesan.

“Ia akan melengkapkan langkah-langkah lain kerajaan seperti rasionalisasi subsidi dan reformasi pencen, yang akhirnya mengurangkan defisit fiskal.

Langkah itu juga dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengawal kewangannya supaya lebih berdaya tahan dan memastikan defisit dan paras hutang berada dalam trajektori yang lebih rendah seperti yang ditetapkan dalam Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam.

Ini seterusnya akan meningkatkan kredibiliti kerajaan dan boleh meningkatkan keyakinan pelabur, tambahnya.

Ia juga akan memperluaskan skop perkhidmatan bercukai termasuk pembrokeran, pengunderaitan dan karaoke, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Melabur semula dalam sektor penjagaan kesihatan ketika Malaysia ke arah negara menua  

Hasil yang lebih tinggi bermakna kerajaan mampu untuk menetapkan lebih banyak perbelanjaan.

Sehubungan itu, Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia Raja Kumaran mencadangkan supaya kerajaan memulangkan kembali kepada sektor penjagaan kesihatan untuk bersedia menghadapi populasi yang semakin tua.

Beliau berkata lebih banyak pelaburan perlu diketepikan untuk menjadikan infrastruktur di bandar lebih mesra, mudah diakses dan perkhidmatan ‘sedia diguna untuk golongan berusia’ bagi menampung segmen tersebut.

Raja berkata membangunkan pendidikan yang komprehensif untuk menyokong celik kesihatan dalam kalangan penduduk yang semakin tua juga penting kerana dilaporkan bahawa penduduk yang semakin tua di Malaysia berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding 30 tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengunjurkan bahawa Malaysia akan mencapai status negara menua lebih awal daripada yang dijangkakan di tengah-tengah penurunan nisbah kadar kelahiran kasar dan kadar kematian kasar di negara ini.

Ini telah memberi kesan kepada struktur penduduk Malaysia, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berdasarkan kadar kelahiran kasar dan kadar kematian kasar negara ini, secara purata 14.4 orang dilahirkan dan 5.1 orang yang mati bagi setiap 1,000 penduduk pada 2020, dengan nisbah 2.8 kelahiran bagi setiap satu kematian.

Beliau berkata pada sepuluh tahun lalu, secara purata 17.2 orang dilahirkan dan 4.6 orang yang mati bagi setiap 1,000 penduduk, dengan nisbah 3.7 kelahiran bagi setiap satu kematian.

Sebelum ini, DOSM berkata Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus penduduknya adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Memperluaskan bantuan tunai untuk B40 and M40

Sementara itu, Mohd Afzanizam mengesyorkan hasil tambahan daripada cukai itu diperuntukkan kepada program pemberian tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang bertujuan membantu rakyat Malaysia menghadapi peningkatan kos sara hidup dan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk golongan miskin dan isi rumah miskin tegar.

“Apa yang boleh dilakukan ialah dengan menambah peruntukan.

“Namun, ini secara jelasnya sangat bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan yang mana keperluan untuk menaikkan cukai dan merasionalkan subsidi adalah wajar,” jelasnya.

Sejumlah sembilan juta individu yang layak atau 60 peratus daripada populasi dewasa di negara ini akan mendapat manfaat daripada STR 2024, dengan kerajaan meningkatkan peruntukan STR 2024 kepada RM10 bilion berbanding RM8 bilion untuk tahun sebelumnya.

Kadar maksimum STR dinaikkan kepada RM3,700 pada tahun ini berbanding RM3,100 pada tahun lalu, manakala kadar minimum STR untuk golongan belia juga akan dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

Pada Januari, Perdana Menteri berkata bagi tahun ini program SARA akan memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM700 juta, meningkat lima kali ganda, berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM130 juta pada tahun lepas.

Program itu juga turut ditambah baik dengan memperluaskan penerima yang layak kepada golongan miskin berbanding golongan miskin tegar pada tahun lepas.

Anwar berkata kenaikan dalam jumlah peruntukan itu bertujuan menambah baik SARA sebagai bantuan subsidi bersasar kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.