Kerajaan Jangka Terima Tambahan RM3 Bln Hasil Menerusi Kenaikan Cukai Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Kerajaan menjangkakan menerima tambahan sebanyak RM3 bilion hasil tahun depan melalui peningkatan lapan peratus terhadap kadar cukai perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata jumlah tersebut merupakan anggaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan (MoF)

“Seperti mana yang telah disebut, MoF buat masa ini mengunjurkan akan menerima RM3 bilion daripada langkah berhubung dengan cukai perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas program perbincangan pasca Belanjawan 2024 di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus ketika ini.

Bagaimanapun, bagi tidak membebankan rakyat, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi, kata Perdana Menteri.

Sementara itu, menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan MoF, kerajaan dijangka mengutip RM35.8 bilion atau 1.8 peratus cukai jualan dan perkhidmatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seiring dengan penggunaan yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap sentimen pengguna dan perniagaan.

— BERNAMA  

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian