Kerajaan Belum Putuskan Hala Tuju NGV Negara

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Kerajaan belum memutuskan sebarang pelan hala tuju bagi kenderaan gas asli (NGV) di negara ini berikutan permintaannya semakin berkurangan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata bagaimanapun kerajaan bersedia meneliti potensi NGV melalui perbincangan seperti menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara dengan mengambil kira penilaian Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai penyelia tunggal bahan api itu di Malaysia.

“Kerajaan berpandangan penggunaan NGV perlu ditentukan berdasarkan pasaran tanpa campur tangan kerajaan,” katanya ketika menjawab usul mengenai ‘Haja Tuju Kenderaan Asli Asli (NGV) di Malaysia’ semasa sesi Kamar Khas Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata bahan api itu dibangunkan bertujuan mencapai sekuriti bekalan bahan api, namun permintaan NGV telah berkurangan secara ketara sejak 2015 didorong peningkatan perkhidmatan e-hailing.

Sektor pengangkutan mendominasi segmen NGV terutama dalam kalangan pemandu teksi.

Susulan ketiadaan permintaan daripada pengguna, Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV), anak syarikat Petronas kini menjual bahan api itu pada RM1.05 seliter, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran RM2.77 seliter, katanya.

Hanifah berkata permintaan NGV kini telah beralih kepada alternatif mesra alam seperti Euro 4M, di samping peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Kerajaan sedang berusaha memastikan kenderaan EV mampu dimiliki oleh semua golongan, katanya.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) mencadangkan hala tuju NGV di Malaysia dengan kerajaan melihat potensi penggunaan NGV yang sedia ada sementara menunggu sektor EV matang untuk memastikan negara mencapai komitmen pelepasan karbon sifar bersih 2050.

Beliau berkata infrastrutur sedia ada membolehkan kerajaan memperluas dan memajukan NGV.

Kini hanya terdapat 67 stesen NGV di Malaysia berbanding 179 stesen pada 2014, katanya.

Beliau berkata jumlah NGV turut susut kepada 30,000 buah daripada lebih 70,000 pada tahun yang sama.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Perodua Mahu Hasilkan 500 Unit eMO-II Sebulan, Sasar EV Termurah

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berhasrat mengeluarkan 500 unit kenderaan elektrik (EV) sebulan yang dikenali sebagai eMO-II bermula tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata model EV ini dijangka dijual pada harga antara RM50,000 dan RM90,000 seunit.

“Kami akan membuat pengumuman lanjut mengenai sistem pengecasannya kerana kami merancang untuk memiliki stesen pengecas EV setiap 40 hingga 50 kilometer, sama ada pengecas tetap atau pengecas mudah alih yang masih dalam kajian.

“Kami juga sedang melihat nilai penjualan semula, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kami ingin mengekalkan nilai kenderaan terpakai,” katanya selepas memperkenalkan prototaip eMO-II EV di Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata Perodua berhasrat menghasilkan EV termurah di Malaysia memandangkan julat harga model baharu itu yang rendah tetapi kompetitif.

“Berdasarkan kajian kami, pada suku pertama 2025, syarikat EV lain yang kini menjual EV tidak akan dapat menjual pada harga yang lebih rendah (daripada kami) kerana ia mungkin menjejaskan perkara lain. Jadi bagi kami, kami masih berharap untuk menjual EV termurah di sekitar (Malaysia),” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata ia akan membantu Perodua menghasilkan EV pertama Malaysia yang dijual di bawah RM100,000.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementeriannya optimis Perodua akan mencapai sasaran untuk menghasilkan EV tersebut menjelang akhir 2025.

Projek EV Perodua dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan pembuat kereta itu pada 2023.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata prototaip eMO-II telah dipertingkatkan berbanding model sebelumnya iaitu dari segi reka bentuk dan ciri-ciri serta lebih terperinci seperti yang dirancang syarikat untuk masa depan EV.

“Sila ingat bahawa ini masih lagi model prototaip dan terdapat banyak lagi ciri-ciri serta penambahbaikan yang akan kami tambah pada produk siap kami, yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat,” katanya.

— BERNAMA