Pelepasan Cukai Tinggi Insurans Pendidikan, Perubatan Galak Perancangan Kewangan – LIAM

KUALA LUMPUR, 19 Okt Bernama) — Langkah kerajaan meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran premium insurans pendidikan dan perubatan kepada RM4,000 dilihat sebagai insentif perancangan kewangan yang baik.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Raymond Lew berkata langkah itu secara tidak langsung akan dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli pelan insurans perubatan dan kesihatan serta polisi pendidikan untuk anak-anak mereka.

Sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan ke atas premium insurans pendidkan dan perubatan adalah pada RM3,000.

Beliau juga turut memuji langkah meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan perubatan sehingga RM10,000, yang turut meliputi pelan insurans perubatan dan kesihatan dengan ciri pembayaran bersama.

“Dengan menggalakkan insurans perubatan dan kesihatan dengan pelan pembayaran bersama untuk keluarga, ia akan membantu pemegang polisi menguruskan kos premium perubatan dalam tempoh jangka panjang dan membantu membiayai keperluan perubatan jangka panjang mereka pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, pelan insurans pembayaran bersama membolehkan syarikat insurans menawarkan premium yang lebih rendah kerana pemilik polisi berkongsi kos perbelanjaan perubatan.

Lew berkata komitmen kerajaan untuk meneruskan Program Baucar Perlindungan Tenang dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan industri insurans dan takaful akan terus memperkasakan kumpulan B40 untuk memperkenalkan perancangan kewangan dalam keluarga mereka.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada sehingga dua juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang layak menuntut baucar RM30 untuk membiayai sebahagian daripada kos pembelian produk Perlindungan Tenang yang menawarkan perlindungan bagi kematian, kemalangan dan risiko am seperti kebakaran dan banjir.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama