Pemberhentian Pekerjaan Memerlukan Surat Penyelesaian Cukai Daripada LHDNM

Pekerja yang akan berhenti bekerja perlu tahu apa tindakan yang perlu diambil oleh mereka supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera dan amaun tidak dikurangkan akibat kegagalan melaporkan pendapatan terdahulu sebelum berhenti kerja. 

Majikan sektor awam dan swasta bertanggungjawab di bawah subseksyen 83(3) dan (4) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh yang ditetapkan berhubung pemberhentian kerja atau pemberhentian disebabkan kematian dan pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia bagi tujuan mendapatkan Surat Penyelesaian Cukai (SPC).

SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh LHDNM kepada majikan berkaitan hal-ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja / bersara / hendak meninggalkan Malaysia atau pekerja yang meninggal dunia.

Tindakan yang perlu dilakukan oleh majikan adalah:

  1. memaklumkan kepada LHDNM tidak kurang 30 hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja / bersara / pekerja dijangka meninggalkan Malaysia; atau tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan kematian pekerja berkenaan
  2. menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran LHDNM sehingga tempoh 90 hari dari tarikh Borang CP21, CP22A, atau CP22B (yang mana berkenaan) diterima oleh LHDNM
  3. membayar semua atau sebahagian amaun wang yang ditahan kepada LHDNM apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut

Rekod pematuhan cukai seseorang pekerja adalah komponen penting yang akan disemak oleh LHDNM sebelum SPC dikeluarkan. Pekerja perlu memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan suatu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan borang nyata (Borang B, BE, BT, M atau MT).

Pekerja yang mempunyai pendapatan penggajian dan potongan cukai bulanan (PCB) boleh memilih untuk tidak mengemukakan borang nyata kepada LHDNM berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2014. Jika pilihan telah dibuat, iaitu tidak mengemukakan borang nyata, maka PCB yang telah dipotong oleh majikan adalah dianggap sebagai Cukai Muktamad.

Maklumat lanjut berhubung syarat kelayakan dan layanan ke atas cukai muktamad ini boleh diperoleh di Portal Rasmi LHDNM, www.hasil.gov.my > Perundangan > Nota Amalan > Nota Amalan No. 1/2021: Layanan Cukai Ke Atas Cukai Muktamad.

Pekerja juga disarankan supaya menyemak rekod pematuhan cukai mereka terlebih dahulu dengan LHDNM sebelum majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B. Rekod dan dokumen percukaian bagi mana-mana pendapatan dan tuntutan pelepasan yang dibuat perlu disimpan sekurang-kurangnya tujuh (7) tahun dari akhir tahun di mana pendapatan dan tuntutan itu dikaitkan.

Justeru, amat penting bagi setiap pekerja memastikan rekod pematuhan cukai mereka setiap tahun adalah lengkap dan teratur.

Majikan diberi pengecualian untuk tidak mengemukakan Borang CP22A dan CP22B kepada LHDNM sekiranya pendapatan seseorang pekerja tertakluk kepada PCB atau jika saraan bulanan pekerja adalah di bawah amaun minimum yang layak dikenakan PCB, dengan syarat pekerja berkenaan akan terus bekerja atau tidak bersara daripada mana-mana penggajian di Malaysia.

Borang CP21 pula tidak perlu dikemukakan sekiranya LHDNM berpuas hati bahawa seseorang pekerja tersebut dikehendaki meninggalkan Malaysia secara kerap berhubung dengan penggajian yang dilakukannya.

Majikan hendaklah menggunakan borang yang disediakan oleh LHDNM bagi tujuan pemakluman:

Borang CP21Pemberitahuan pekerja meninggalkan Malaysia
Borang CP22Pemberitahuan pekerja baharu
Borang CP22APemberitahuan pemberhentian kerja atau pemberhentian disebabkan kematian bagi pekerja swasta
Borang CP22BPemberitahuan pemberhentian kerja atau pemberhentian disebabkan kematian bagi pekerja agensi kerajaan

Borang tersebut boleh dimuat turun dan dikemukakan kepada LHDNM dengan mengikut langkah mudah seperti berikut:

  1. Layari Portal Rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my;
  2. Klik menu Borang > submenu Muat Turun Borang > Lain-lain Borang > Borang CP21 / CP22A / CP22B; dan
  3. Lengkapkan maklumat serta kemukakan ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan pekerja atau ke cawangan LHDNM yang berhampiran jika tiada nombor cukai pendapatan.

LHDNM juga telah menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B yang boleh diakses di Portal Rasmi LHDNM, www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-SPC.

Selaras dengan pindaan ke atas subseksyen 83(3) dan (4) ACP 1967 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021, Borang CP21, CP22A dan CP22B hendaklah dikemukakan oleh majikan menggunakan borang yang ditetapkan oleh LHDNM di bawah seksyen 152 ACP 1967.

Bagi memastikan majikan menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan selepas berkuat kuasanya pindaan ACP 1967 berkenaan, LHDNM telah memberikan kelonggaran kepada majikan untuk menggunakan dan mengemukakan borang kertas bagi Borang CP21, CP22A dan CP22B sehingga tempoh 31 Disember 2021 seperti berikut:

Jenis BorangKaedah Pengemukaan Borang Kertas
Borang CP21, CP22, CP22A dan CP22B
(versi SELAIN borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967)
Secara tangan
Melalui pos
E-mel
Borang CP21, CP22, CP22A dan CP22B
(versi borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967)
Secara tangan
Melalui pos
E-mel

Pemberian kelonggaran bagi kaedah pengemukaan di atas adalah sebagai persediaan kepada pihak majikan untuk mengemas kini dan menambah baik sistem pembayaran gaji (payroll system) sedia ada supaya memenuhi kehendak dan tanggungjawab di bawah ACP 1967.

Mulai 1 Januari 2022, kaedah yang dibenarkan untuk mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B (versi borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967) adalah secara dalam talian melalui e-SPC, serahan tangan dan pos sahaja. Sehubungan itu, Borang CP21, CP22A dan CP22B yang dikemukakan seperti perkara di bawah akan dianggap tidak boleh diterima oleh LHDNM dan majikan hendaklah mengemukakan semula borang berkenaan berdasarkan ketetapan yang dibenarkan:

  1. Borang yang menggunakan format sendiri atau borang versi selain borang yang ditetapkan di bawah seksyen 152 ACP 1967.
  2. Borang dikemukakan melalui e-mel atau faksimile.

Majikan dikehendaki menggunakan borang yang ditetapkan dan mengemukakannya mengikut kaedah yang dibenarkan selepas tempoh kelonggaran yang diberikan berakhir bagi memastikan maklumat yang dikemukakan kepada LHDNM adalah lengkap dan teratur.

Pengemukaan Borang CP21, CP22A dan CP22B secara dalam talian (e-SPC) amatlah digalakkan.

Kelewatan atau kegagalan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B tanpa alasan yang munasabah merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya di bawah subsekyen 120(1) ACP 1967.

SPC akan dikeluarkan mengikut Piagam Pelanggan LHDNM iaitu dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh Borang CP21, CP22A dan CP22B diterima serta tertakluk kepada penerimaan dokumen dan maklumat yang lengkap. SPC juga akan dihantar kepada majikan dan disalinkan kepada pekerja untuk makluman.

Oleh yang demikian, kerjasama yang diberikan oleh majikan dan pekerja terhadap permohonan SPC ini amatlah penting bagi membolehkan LHDNM dapat memproses permohonan tersebut dengan lancar.

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.