Ramai Pekerja Malaysia Bakal Terlepas Refund Cukai Beribu-Ribu!

Puluhan ribu pekerja bergaji tetap di Malaysia dikhuatiri kehilangan bayaran balik cukai (refund) bernilai ribuan ringgit setiap tahun hanya kerana sebab gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) semasa musim e-Filing tahun depan!

Walaupun Potongan Cukai Bulanan (PCB) telah dipotong setiap bulan dari gaji, dan juga mungkin telah membayar zakat serta layak untuk pelbagai pelepasan cukai, kegagalan menghantar BNCP bermakna Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) tidak dapat mengambil kira semua maklumat penting dalam pengiraan cukai sebenar.

Sebenarnya, pekerja bergaji tetap di Malaysia memang dibenarkan untuk tidak mengemukakan BNCP, kerana terdapat peruntukan yang membenarkan Potongan Cukai Bulanan (PCB) dianggap sebagai cukai muktamad, tertakluk kepada syarat tertentu. Baca lagi: Soalan Lazim PCB Sebagai Cukai Muktamad.

Namun begitu, apa yang ramai tidak sedar ialah keputusan untuk tidak menghantar BNCP boleh menyebabkan pembayar cukai kehilangan peluang menuntut pelepasan dan rebat cukai yang sah.

Potongan Cukai Bulanan (PCB) dah dipotong.
Zakat dah dibayar.
Ada pelbagai Pelepasan cukai yang layak dituntut.

Namun, tanpa penghantaran BNCP semasa musim e-Filing, semua potongan dan pelepasan tersebut tidak dapat diambil kira dalam pengiraan cukai sebenar.

Mari kita lihat satu contoh untuk memahami betapa besar kesannya dari sudut kewangan peribadi.

Contoh: Gaji RM12,000 Sebulan (Anak 2 Orang)

1. Pendapatan & Potongan Asas

Pendapatan kasar setahun
RM12,000 × 12 = RM144,000

Anggaran PCB setahun
RM18,000 (anggaran munasabah untuk gaji RM12k, ikut jadual PCB semasa)

Zakat (2.5%)
RM300 × 12 = RM3,600


2. Pelepasan Cukai

  • Individu: RM9,000
  • Anak: RM4,000
  • KWSP: RM4,000
  • Insurans/Takaful Nyawa: RM3,000
  • Insurans/Takaful Perubatan & Pendidikan: RM4,000
  • PERKESO: RM350
  • PRS: RM3,000
  • SSPN: RM8,000

Jumlah pelepasan = RM35,350


3. Pendapatan Bercukai

RM144,000 − RM35,350
= RM108,650


4. Kiraan Cukai

  • RM70,000 pertama → RM3,700
  • Baki RM38,650 × 19%RM7,343.50

Jumlah cukai kasar = RM11,043.50


5. Tolak Rebat Zakat

RM11,043.50 − RM3,600
= RM7,443.50 (cukai sebenar kena bayar)


6. Kiraan Refund LHDN

PCB dipotong: RM18,000
Cukai sebenar: RM7,443.50

Refund = RM10,556.50

Kenapa Bayaran PCB Selalunya Lebih Tinggi Daripada Cukai Sebenar?

PCB yang dipotong setiap bulan selalunya lebih tinggi daripada cukai sebenar, menyebabkan pembayar cukai sebenarnya layak menerima refund yang besar.

Apabila berlaku perubahan dalam kehidupan seperti kenaikan gaji, perkahwinan, pertambahan anak atau mula membuat bayaran takaful dan simpanan SSPN, tetapi maklumat tersebut tidak dikemas kini dengan majikan, pengiraan PCB akan terus dibuat berdasarkan data lama, yang lazimnya menyebabkan potongan cukai lebih tinggi daripada cukai sebenar yang sepatutnya dibayar.

PCB dikira tanpa ambil kira pelepasan peribadi sebenar

PCB majikan dikira berdasarkan:

  • gaji bulanan
  • status bujang/berkahwin
  • bilangan anak (jika dimaklumkan)

tetapi tidak mengambil kira perkara seperti:

  • sumbangan KWSP tambahan
  • bayaran insurans / takaful
  • simpanan SSPN
  • caruman PRS
  • bayaran zakat

Semua ini hanya boleh dituntut apabila BNCP dihantar.

Cukai sebenar yang perlu dibayar masih boleh dikawal dengan baik jika pelepasan cukai dimanfaatkan sepenuhnya dan BNCP dihantar. Ini membuktikan bahawa perancangan cukai bukan tentang mengelak bayaran, tetapi tentang mengurus pendapatan secara bijak, sah dan berdisiplin, supaya duit yang terlebih ditolak dapat kembali semula ke poket kita.

Ingat, andalah wira negara!

Peringatan penting: Bayaran balik cukai akan diproses oleh LHDN selalunya dalam 30 hari bekerja selepas e-Filing dihantar (atau sehingga 90 hari jika manual) selama syarat borang lengkap dan maklumat bank tepat. Sumber: https://www.hasil.gov.my/en/individual/individual-life-cycle/payment/tax-refund/

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama