Forever 21, Syarikat Gergasi Pakaian Dari Amerika Syarikat Yang Jatuh Bankrap

Perniagaan tidak menjanjikan pulangan yang lumayan kepada pengasasnya. Jatuh bangun sesebuah perniagaan itu adalah seiring dengan cara pengurusan sesebuah syarikat. Kini sebuah lagi syarikat pakaian yang berasal dari Amerika Amerika Syarikat sedang mengalami masalah dan terpaksa diisytihar bankrap.

Pemiliknya telah mengalami kerugian sebanyak $4.3 bilion kerana perniagaan yang dilakukannya mengalami kemerosotan yang sangat teruk. Selain daripada itu, persaingan yang sengit juga memainkan peranan dalam kejatuhan perniagaan.

Pasangan imigran yang berjaya buktikan bahawa American Dream boleh dikecapi jika kita berusaha bersungguh-sungguh

Syarikat yang dimaksudkan adalah sebuah syarikat pakaian yang terkenal di Amerika Syarikat yang bernama Forever 21. Syarikat ini merupakan syarikat gergasi pada era tahun 1990-an kerana dapat memonopoli semua jenis pakaian terutamanya para remaja yang suka berfesyen dengan kos yang murah.

Syarikat ini diasaskan oleh pasangan suami isteri warga Korea Selatan yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1981. Pasangan ini merupakan contoh terbaik apa yang dikatakan sebagai American Dream itu sebagai realiti. American Dream bermaksud sesiapa sahaja tidak kira di mana beliau dilahirkan tetapi apabila diri menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat, beliau boleh mencapai kekayaan di bumi bertuah itu.

Do Won Chang dilahirkan di Korea Selatan daripada ibu bapa yang berasal daripada Korea Utara. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat susah dan hanya mendapat pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja.

Ketika di Korea Selatan, beliau bekerja sebagai seorang pemborong kopi ke kedai-kedai makan di kawasan Seoul secara kecil-kecilan. Pada usia 25 tahun, beliau telah berhijrah ke Amerika Syarikat untuk mencari rezeki di sana.

Setibanya di California, beliau hanya datang sehelai sepinggan dengan tidak pandai berbahasa Inggeris dan tidak mengenali sesiapa di sana, kerana dia di sana sebagai seorang imigran yang ingin mencari kehidupan yang baru.

Setelah tiba di Amerika Syarikat, beliau melakukan 3 kerja dalam satu hari; iaitu sebagai pembantu di kedai makan, bekerja sebagai pencuci dan juga di stesen minyak sebagai pump attendant. Setiap hari beliau bekerja sebanyak 19 jam.

Ketika bekerja sebagai pump attendant, beliau yang begitu kagum dengan pelanggan yang membawa kereta mewah datang mengisi minyak di tempat beliau bekerja. Beliau tanpa segan silu bertanya kepada mereka apakah pekerjaan mereka sehingga boleh memiliki kenderaan seperti itu.

Mereka rata-rata menjawab kejayaan mereka adalah kerana mempunyai gedung pakaian. Sejak peristiwa itu, beliau berazam untuk membuka gedung pakaiannya sendiri.

Gedung beli belah yang pertama dibuka oleh pasangan Korea ini yang berukuran 900 kaki persegi

Setelah 3 tahun bekerja, beliau dan isteri berjaya menyimpan sebanyak $11 ribu. Pada masa itu, beliau berjaya membeli sebuah kedai yang berukuran 900 meter persegi. Tuan kedai tersebut telah menjual kedai itu kerana tidak berjaya mendapat jualan yang diharapkan setelah 3 tahun membuka kedai tersebut. Tuan kedai itu telah berputus asa dan terus menjual kedai itu kepadanya.

Do Won Chang mengambil kedai tersebut dan berhasrat untuk mengembangkan kedai itu, walaupun tahu keadaan kedai itu tidak strategik. Beliau mengambil kelemahan itu sebagai pembakar semangat untuk memberi keutamaan dan fokus kepada pelanggan mereka yang datang ke kedai tersebut.

Pada tahun pertama perniagaan, mereka telah memperolehi jualan sebanyak $700,000 dan mereka telah menjadi kaya-raya dengan hanya membuka gedung perniagaan pakaian.

Sejak daripada itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan terus pandang ke depan untuk berjaya dalam kehidupanya. Pada permulaan perniagaan, beliau hanya memfokuskan pelanggan kepada golongan keturunan Korea Amerika untuk datang ke kedai mereka.

Pelbagai barangan dan pakaian yang berkaitan dengan Korea dipamerkan di dalam kedai, tetapi sedar bahawa untuk lebih berjaya, kena ikut trend fesyen terkini yang digemari oleh masyarakat sekeliling mereka.

Selepas beberapa tahun kemudian, mereka telah menukar nama Fashion 21 kepada Forever 21. Beliau juga telah berkerjasama dengan pengilang kawasan setempat untuk membuat baju mereka dengan harga yang sangat murah sedangkan gedung pakaian lain menumpukan pengilang dari luar kawasan.

Do Won Chang mengambil kesempatan itu untuk bekerjasama dengan pengilang tempatan bagi mendapat stok dan design terbaru pakaian mereka sebelum pesaing  mereka dapat memenuhi permintaan yang tinggi terhadap pakaian tersebut. Beliau telah berjaya membuka cawangan baru setiap 6 bulan sekali.

Selepas mendapat kejayaan yang begitu besar pada dekad 1980-an, beliau mengambil keputusan untuk membuka gedung pakaiannya di pusat membeli belah yang popular, dan telah membuka gedung pakaianya yang pertama pada tahun 1989.

Ketika itu beliau mempunyai 11 gedung pakaian yang berukuran lebih kurang 5,000 kaki persegi. Semua pusat gedung beli belah yang dimilikinya berada di California sehinggalah pada tahun 1995, mereka membuka di luar California iaitu di Miami.

Do Won Chang meluaskan lagi empayar perniagaan dengan membuka cawangan yang pertama di luar negara iaitu di Kanada pada tahun 2001. Pada tahun ini juga, beliau telah memperkenalkan satu jenama iaitu Forever XXI yang memfokuskan kepada golongan yang mahukan pakain ekslusif. Gedung pakaian untuk jenama ini sangatlah besar iaitu berukuran lebih kurang 24,000 kaki persegi sehingga 36,000 kaki persegi.

Pada tahun 2003, syarikat telah melancarkan laman web sendiri untuk memudahkan pengguna dan pelanggan mereka mencari barang-barangan kesukaan mereka sebelum masuk ke gudang untuk membuat pembelian. Pada tahun 2006, mereka telah memperkenalkan pakaian koleksi untuk lelaki termasuk jeans dan denim.

Pada tahun 2010, mereka semakin maju dan kini memiliki  550 buah gedung di seluruh dunia dan pasangan ini telah diisytiharkan sebagai bilionaire pada kedudukan nombor 79 daripada 400 orang yang paling kaya di Amerika Syarikat.

Kemuncak kejayaan yang dimiliki oleh syarikat ini adalah pada tahun 2015, di mana syarikat ini telah berjaya mendapat jualan sebanyak $4.4 bilion daripada 600 gedung jualan mereka dan kekayaan yang dimiliki oleh pasangan ini adalah sebanyak $5.9 bilion.

Namun, syarikat ini telah mengalami penurunan jualan akibat persaingan dengan pasaran online. Walaupun Forever 21 mempunyai laman web mereka sendiri, mereka tidak mengambil berat tentang ancaman yang diberi oleh pesaing mereka melalui pasaran online terutama butik daripada Amazon, Fashion Nova, Asos, Missguided and Lulus.

Selain itu juga, faktor yang menyebabkan jualan di gedung Forever 21 tidak begitu memberangsangkan adalah disebabkan strategi yang dilakukan oleh pesaing rapat mereka iaitu H&M yang jauh lebih mesra pengguna berbanding dengan Forever 21.

Tote bag sebelah kiri merupakan keluaran syarikat H&M manakala sebelah kanan merupakan syarikat Forever 21. H&M mendakwa syarikat Forever 21 menciplak idea tentang bag ini

Kemudiannya, mereka telah diselubungi dengan pelbagai kes makhamah daripada pelbagai pihak terutamanya dari syarikat pesaing mereka daripada segi rekabentuk pakaian. Syarikat Forever 21 dipercayai telah meniru syarikat lain sehingga menjadi satu kes mahkamah.

Pesaing rapat mereka iaitu H&M telah mendakwa Forever 21 meniru reka bentuk beg sebelum mereka mengeluarkan beg tersebut yang sama seperti H&M.

Menafikan bahawa syarikat ini sedang mengalami pelbagai musibah dan bankrap, mereka tidak mendedahkan angka jualan untuk syarikat tersebut pada tahun 2018. Ramai yang percaya dengan pengurangan bilangan stok di gedung pakaian mereka dan penutupan gedung di luar negara, ianya sebagai langkah untuk mengatasi masalah kewangan.

Namun, baru-baru ini Forever 21 terpaksa mengisytiharkan diri mereka bankrap dan pasangan suami isteri ini telah hilang gelaran bilionaire kerana harta keseluruhan yang dimiliki oleh keluarga ini hanyalah berjumlah $800 juta sahaja.

Inilah nasib perniagaan jika kita tidak berubah mengikut kehendak pasaran dan mengikuti trend, tidak mustahil perniagaan yang besar pun boleh gulung tikar.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.