Grab Sumbang RM9.9 Bilion Kepada KDNK Malaysia Pada 2023 — EconWorks


KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Perkhidmatan atas permintaan, Grab termasuk perkhidmatan e-panggilan dan penghantarannya menyumbang sebanyak RM9.9 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2023, menurut laporan baharu oleh firma perunding ekonomi tempatan, EconWorks.

Firma perunding itu berkata angka tersebut bersamaan kira-kira 0.5 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2023.

Ia berkata, sebanyak 88 peratus daripada sumbangan nilai tambah ini datang daripada pemandu Grab dan rakan niaga yang beroperasi dalam pelbagai perkhidmatan di bawah jenama berkenaan.

Pada 2023, katanya, rakan pemandu menyumbang sebanyak RM4.6 bilion dalam nilai tambah yang mewakili 0.25 peratus daripada KDNK Malaysia.

Syarikat itu berkata, ekosistem Grab menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan, menyediakan aliran pendapatan untuk rakan pemandu, rakan niaga dan pekerja-pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh mereka.

“Ini bermakna satu daripada 64 individu dalam tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti berkaitan Grab.

“Peluang pendapatan yang disediakan Grab menyumbang tambahan RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah. Peningkatan pendapatan oleh rakan pemandu dan rakan niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat Malaysia​,” kata firma perunding itu satu dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan EconWorks Dr. Wan Khatina Nawawi berkata sepanjang 12 tahun beroperasi di Malaysia, Grab memberi sumbangan yang ketara serta manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh Malaysia.

“Bagi setiap RM1 yang dijana melalui transaksi Grab, sebanyak RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi yang lebih luas.

“Ini menggariskan impak positif ekosistem Grab terhadap jutaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Menurut Wan Khatina, laporan ini menyerlahkan kelebihan persekitaran perniagaan Malaysia yang menyokong dan kini memberi tumpuan kepada ekonomi digital selain membolehkan syarikat platform seperti Grab berkembang maju selain menyumbang secara bermakna kepada ekonomi.

“Dengan mengukur sumbangan ini, kajian berkenaan memberikan pandangan menyeluruh tentang bagaimana Grab dan pihak berkepentingan berinteraksi dengan ekonomi Malaysia yang lebih luas dan mempermudahkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA