Kenapa Ada Suratcara Hibah Yang Tidak Disahkan Oleh Mahkamah Syariah?

“Arwah habiskan beribu ringgit untuk buat dokumen hibah. Hasratnya nak hibahkan rumah yang kami duduk ni kepada saya, sebab arwah ada anak-anak dari perkahwinan sebelumnya. Jadi mengikut faraid mereka juga ada hak terhadap pusaka arwah. Walaubagaimanapun oleh kerana anak-anak arwah semuanya dah besar dan mempunyai keluarga (dan kehidupan) sendiri, jadi arwah fikir saya sebagai isteri dan surirumah sepenuh masa lebih memerlukan rumah ini. Sebab itu arwah semasa hidup buat dokumen hibah ni. Sekarang arwah dah tiada, tiba-tiba Mahkamah Syariah kata hibah yang dibuat itu tak sah pula!”

Biasanya masalah ini terjadi apabila si pembuat (atau penerima) hibah tidak memahami konsep sebenar hibah. Tak betul-betul tahu dan faham rukun dan syarat yang mesti dipenuhi untuk Mahkamah Syariah mengesahkan satu-satu kes hibah tersebut.

Apakah dia rukun dan syarat sah bagi satu-satu kes hibah tersebut?

Rukun Hibah

1. Pemberi Hibah (Wahib) – Pemberi hibah mestilah seorang yang waras, akil baligh dan tidak dipaksa untuk menghibahkan hartanya.

2. Penerima Hibah (Mawhub Lahu) – Penerima hibah perlulah seseorang yang boleh menguruskan harta; berakal, dewasa & tidak cacat akalnya. Kalau nak hibahkan harta pada anak di bawah umur perlu melantik seorang pentadbir yang akan menguruskan harta tersebut.

3. Harta Yang Dihibahkan (Mawhub) – Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, milik si pemberi hibah, mampu diserahkan kepada penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.

4. Aqad Hibah (Ijab & Qabul) – Lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.

Syarat Luzum – Al-Qabd

Perbuatan secara fizikal sebagai simbolik penerimaan oleh penerima hibah yang membenarkan berurusan atau bertasarruf dengan harta yang diterima.

Jadi untuk satu-satu dokumentasi hibah itu sah dan diterima dalam Mahkamah Syariah, semua rukun dan syarat ini mesti dipenuhi. Jika ada satu sahaja yang tiada, maka Mahkamah Syariah boleh terus menolak pengesahan dokumen hibah tersebut.

Biasanya apa yang terjadi adalah, masyarakat yang ingin membuat dokumentasi hibah tidak betul-betul selidik organisasi, syarikat mahupun individu yang mendakwa mereka pakar dalam menyediakan dokumen hibah.

Adakah mereka benar-benar arif, berpengalaman dan mempunyai autoriti menguruskan dokumentasi hibah? Jika yang mendakwa mempunyai kepakaran itu adalah sebuah syarikat, adakah mereka mempunyai panel penialain syariah dan perundangan yang akan menilai setiap dokumentasi yang dibuat itu sah serta patuh kepada undang-undang?

Yakinkah kita dengan bantuan dan perkhidmatan yang akan dihulurkan oleh individu atau syarikat tersebut selepas berlaku kematian si pembuat hibah?

Oleh itu sangat penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat untuk membuat apa-apa jua bentuk perancangan harta; baik wasiat,  hibah atau waqaf, semak secara teliti dengan siapa kita dapat konsultasi dan perkhidmatan.

Ini kerana hibah, wasiat atau apa sahaja dokumen perancangan harta yang kita buat sekarang, kesannya ialah jangka panjang selepas kematian kita. Semasa hidup memang dokumen-dokumen tersebut belum dilaksanakan lagi, jadi proses undang-undangnya kita tidak tahu dia sah atau tidak.

Dokumen ini semua akan dilaksanakan selepas kematian kita. Ketika itu, kalau dokumen tidak dapat disahkan oleh Mahkamah Syariah, maka warislah yang akan terbeban dan si mati yang telah membuat hibah semasa hayatnya hanya membazir wang sahaja.

Kesimpulannya, semak dan pastikan dahulu dengan siapa kita berurusan sebelum membuat apa-apa bentuk perancangan harta. Jika berurusan dengan peguam, pastikan peguam tersebut betul-betul arif dan berpengalaman menguruskan kes harta pusaka.

Jika mahu betul-betul selamat, lebih mudah berurusan dengan syarikat amanah yang memang mempunyai autoriti dan pengalaman yang luas menguruskan harta pusaka. Di Malaysia, kita mempunyai beberapa syarikat amanah yang patuh syariah yang menyediakan perkhidmatan perancangan harta.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah syarikat amanah patuh syariah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.