Mahasiswa Perlu Kuasai Literasi Kewangan Dan Agenda Kelestarian Global

TANJONG MALIM – Mahasiswa perlu menguasai literasi kewangan dan memahami agenda kelestarian global bagi melengkapkan diri sebagai generasi yang berdaya saing, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata kedua-dua aspek itu menjadi fokus utama penganjuran program RHB Ocean Harmony dan RHB MySiswa Brand Challenge 2026 yang menghimpunkan mahasiswa daripada sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata program yang berlangsung selama tiga hari itu bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya platform pembelajaran yang memberi pengalaman sebenar kepada mahasiswa dalam aspek pemasaran, perbankan digital, literasi kewangan serta kesedaran terhadap isu kelestarian.

“Jika anda melihat program ini sebagai satu acara, ia hanya akan menjadi sebuah acara. Namun jika anda melihatnya sebagai pengalaman pembelajaran, anda akan memperoleh nilai yang jauh lebih besar daripada apa yang telah disediakan sepanjang program ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan RHB Ocean Harmony dan RHB MySiswa Brand Challenge 2026 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Menurut beliau, MySiswa Brand Challenge diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab, selain memberi pendedahan mengenai keselamatan transaksi digital dan ancaman penipuan kewangan yang semakin kompleks.

“Literasi kewangan bermula dengan kesedaran. Mahasiswa perlu memahami produk kewangan yang digunakan, mengurus kewangan secara berhemah serta melindungi maklumat peribadi daripada disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata program berkenaan merupakan platform pembangunan bakat mahasiswa yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar industri.

Beliau berkata penganjuran RHB Ocean Harmony dan MySiswa Brand Challenge 2026 berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang untuk menguji kebolehan menghasilkan idea, strategi dan penyelesaian yang inovatif melalui dua kategori utama pertandingan yang dipertandingkan.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan pemikiran kritikal, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah, malah memberi pengalaman pembelajaran yang amat bernilai kepada mahasiswa dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sebenar,” katanya.

Pada majlis sama, sesi penyampaian hadiah turut diadakan bagi menghargai pencapaian peserta dalam dua kategori utama pertandingan. Bagi kategori MySiswa Brand Challenge, gelaran juara dimenangi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penghargaan, plak dan Geran Pelaksanaan bernilai RM2,000.

Sementara itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul juara kategori Ocean Harmony sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penghargaan, plak dan Geran Pelaksanaan bernilai RM2,000.

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM111,595 daripada RHB Islamic Bank Berhad kepada UPSI menerusi Inisiatif Kad Prihatin Siswa bagi menyokong kebajikan pelajar universiti tersebut.

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA