Hap2py Tidak Dibenarkan Kendali P2P Di Malaysia – SC

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang tidak dibenarkan di Malaysia.

Badan kawal selia itu menegaskan bahawa sehingga kini pihaknya telah campur tangan dan mengambil beberapa tindakan terhadap Hap2py, termasuk menyenaraikan platform tersebut dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.

SC menjelaskan walau bagaimanapun, Hap2py didapati tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara, termasuk melalui variasi laman webnya serta iklan di media sosial

“Di samping itu, didapati terdapat banyak pertanyaan dan aduan terhadap entiti ini daripada orang ramai. SC memandang serius ketidakpatuhan ini, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan/atau sebarang tindakan lain yang wajar, termasuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

SC memaklumkan bahawa Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan dan ia kini mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO, yang merupakan satu kesalahan mengikut bawah Seksyen 7(1) (e) yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007.

Jika sabit kesalahan, individu atau entiti tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali, tambah SC.

“Oleh itu, SC menggesa pelabur dan mereka yang ingin mengumpul dana untuk tidak berurusan atau melabur melalui Hap2py,” tegas badan kawal selia itu.

SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

SC mengingatkan bahawa pelabur yang berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak dibenarkan terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan, dan sekiranya berlaku pertikaian, pelabur tidak akan mendapatkan bantuan undang-undang.

“Pada ketika ini, terdapat 12 RMO berdaftar untuk pembiayaan P2P. Hanya mereka yang tersenarai merupakan pengendali platform yang dibenarkan untuk mengendalikan P2P di Malaysia.

“Pelabur digesa untuk mengesahkan kesahihan dan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko, melalui Senarai Peringatan Pelabur SC,” tambah SC.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian