Ringkasan Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP

Penstrukturan Semula Akaun KWSP Untuk Menangani Keperluan Kitaran Hayat Ahli

KWASA DAMANSARA, 25 APRIL 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli. 

Akaun ahli akan distruktur semula daripada dua (2) akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga (3) akaun seperti berikut: –
•  Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan;
•  Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan; dan
•  Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Encik Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang. Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak.”

Mekanisme Penstrukturan Semula Akaun KWSP

Pada 11 Mei 2024, semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga (3) akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. 

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut:

  • 75% ke dalam Akaun Persaraan
  • 15% ke dalam Akaun Sejahtera
  • dan 10% ke dalam Akaun Fleksibel

Ringkasan Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP

  1. Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP adalah bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pendapatan persaraan ahli di samping memenuhi keperluan kitaran hidup semasa mereka.
  1. Di bawah inisiatif ini, akaun ahli KWSP akan distruktur semula daripada dua (2) akaun
    iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga (3) akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera
    dan Akaun Fleksibel di mana caruman baharu yang diterima selepas tarikh kuatkuasa
    akan diagihkan seperti berikut: 75% kepada Akaun Persaraan, 15% kepada Akaun
    Sejahtera dan 10% kepada Akaun Fleksibel.

  1. Akaun Fleksibel merupakan akaun baharu yang diperkenalkan untuk memenuhi
    keperluan jangka pendek
    ahli. Simpanan dalam Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh
    ahli pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum
    pengeluaran sebanyak RM50.

  1. Pada tarikh kuat kuasa struktur akaun baharu, Akaun Fleksibel ahli akan bermula dengan
    baki sifar. Ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan
    yang ada dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini Akaun 2) sebagai amaun
    permulaan dalam Akaun Fleksibel. Tujuan ahli diberikan pilihan pindahan amaun
    permulaan ke Akaun Fleksibel ini adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran
    daripada Akaun Fleksibel tanpa perlu menunggu caruman baharu.

  1. Tempoh bagi ahli membuat pilihan pindahan amaun permulaan ini akan dibuka mulai 11 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024, di mana pilihan ini boleh dibuat sebanyak satu (1) kali sahaja dalam tempoh tersebut dan pilihan itu tidak boleh dibatalkan. Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.

  1. Contoh pindahan simpanan bagi ahli yang memilih untuk mempunyai amaun permulaan
    dalam Akaun Fleksibel adalah seperti berikut:

  • Senario 1: Ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera:
    • Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel;
    • Lima per tiga puluh (5/30) daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan; dan
    • Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.
  • Senario 2: Ahli yang mempunyai simpanan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera:
    • Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
    • Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.
    • Tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera yang kurang dari RM3,000.
  • Ringkasan pindahan amaun permulaan adalah seperti di bawah:

  1. Ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

  1. Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP iAkaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

  1. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Soalan Lazim di www.kwsp.gov.my atau aplikasi KWSP
    i-Akaun.

Akaun 55 dan Akaun Emas

Seperti amalan sediakala, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55. Caruman baharu yang diterima oleh ahli mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas. 

Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun.
 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
25 April 2024

Kredit: KWSP

Soalan Lazim Penstrukturan Semula Akaun KWSP

  • Mengapakah KWSP melaksanakan penstrukturan semula akaun KWSP?
    • Penstrukturan semula akaun ini dibuat bertujuan untuk:
      • Meningkatkan kecukupan simpanan untuk menjamin pendapatan persaraan yang bermakna untuk ahli;
      • Mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang selaras dengan keperluan kitaran hidup dan jangka hayat ahli;
      • Membangunkan Skim KWSP yang relevan dengan perubahan lanskap pekerjaan, perubahan demograft dan keperluan ahli di masa kini dan masa hadapan; dan
      • Memenuhi keperluan kewangan jangka pendek yang boleh menjejaskan kesejahteraan semasa persaraan sekiranya tidak dipenuhi.

  • Adakah penstrukturan semula akaun KWSP yang baharu melibatkan semua ahli KWSP?
    • Penstrukturan semula akaun KWSP terpakai kepada semua Ahli KWSP termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun pada 11 Mei 2024.

  • Adakah Akaun 55 dan Akaun Emas masih wujud selepas penstrukturan semula akaun KWSP ini dilaksanakan?
    • Ya, bagi ahli yang telah mencapai umur 55 tahun, kesemua baki simpanan dalam ketiga-tiga akaun akan dipindahkan ke Akaun 55. Caruman baharu yang diterima mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke Akaun Emas.

  • Apakah yang akan berlaku sekiranya ahli tidak membuat pilihan pindahan amaun permulaan?
    • Sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki dalam Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel sedia ada akan kekal.
    • Manakala, caruman baharu akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Pengeluaran daripada akaun tersebut adalah tertakluk kepada terma dan syarat pengeluaran semasa.

  • Bilakah pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel akan diluluskan?
    • Pilihan pindahan amaun permulaan akan berkuat kuasa apabila tindakan pindahan ke Akaun Fleksibel dibuat dalam tempoh 3-5 hari.

  • Bagaimanakah kaedah permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?
    • Ahli boleh memohon Pengeluaran Akaun Fleksibel melalui saluran berikut:
      • Secara online melalui KWSP i-Akaun; atau
      • Kunjungi mana-mana kaunter KWSP

  • Adakah ahli boleh membatalkan permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?
    • Permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak boleh dibatalkan apabila permohonan telah diluluskan. Ahli disarankan untuk membuat keputusan yang tepat sebelum mengemukakan permohonan.

  • Apakah jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan selepas pelaksanaan penstrukturan semula akaun KWSP?
    • Jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan adalah seperti berikut:
      • Sebelum Umur 55 Tahun:
      • Akaun Persaraan: Skim Pelaburan Ahli
      • Akaun Sejahtera: Pengeluaran Perumahan, Pendidikan, Kesihatan, Haji, 50 tahun dan Pelan Perlindungan Ahli (PPA
      • Akaun Fleksibel: Pengeluaran Akaun Fleksibel (baharu)
      • Kesemua Akaun: Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Meninggalkan Negara dan Pengeluaran Pekerja Berpencen
      • Pengeluaran Melebihi RM1 Juta
      • Selepas Umur 55 Tahun:
      • Akaun 55: Pengeluaran 55 Tahun
      • Akaun Emas: Pengeluaran 60 Tahun
      • Kesemua Akaun: Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Meninggalkan Negara

  • Adakah ahli beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas Pengeluaran Akaun Fleksibel?
    • Sekiranya Pengeluaran Akaun Fleksibel dibuat oleh ahli yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau yang terjejas sumber pendapatannya bagi menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungannya seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan, maka zakat tidak diwajibkan.
    • Selain daripada sebab-sebab di atas, Pengeluaran Akaun Fleksibel yang dibuat tertakluk kepada zakat pada kadar 2.5% tanpa perlu menunggu haul setahun, sekiranya mencapai nisab (setelah mengambil kira semua pendapatan dalam tempoh haul setahun).
    • Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri masing-masing berhubung apa-apa perkara berkaitan zakat.

  • Adakah ahli beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel yang tidak dikeluarkan?
    • Ya. Baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada zakat simpanan pada kadar 2.5% setiap tahun berdasarkan Haul sekiranya mencapai Nisab setelah diambil kira semua baki simpanan ahli yang lain.
    • lni adalah kerana simpanan di dalam Akaun Fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa telah memenuhi salah satu syarat wajib zakat iaitu pemilikan sempurna.
    • Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri masing-masing berhubung apa-apa perkara berkaitan zakat.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.