Top 10 Startup Paling Bernilai Di Dunia

Ada yang tak tahu startup ni apa? Kalau mengikut Wikipedia, startup adalah syarikat atau projek yang dimulakan oleh seorang usahawan untuk mencari, membangun, dan mengesahkan model perniagaan yang boleh diskalakan.

Sebab itulah konsep startup dan keusahawanan adalah serupa.

Walaubagaimanapun, keusahawanan merujuk kepada semua jenis perniagaan dan tidak bertujuan untuk berkembang besar; manakala startup merujuk kepara perniagaan baru yang bertujuan untuk berkembang, mempunyai pekerja dan menjadi gergasi dalam bidang yang diceburi.

Startup berdepan dengan kadar kegagalan yang sangat tinggi, dan hanya sebilangan kecil yang berjaya dan mempunyai potensi untuk menjadi peneraju dan berpengaruh. Dan ada juga startup yang berkembang menjadi unicorn, iaitu syarikat yang dipegang secara persendirian dengan nilai lebih daripada $1 bilion.

Menurut CB Insights, terdapat 395 buah startup berstatus unicorn dengan nilai terkumpul $1.2 trilion di seluruh dunia setakat September 2019.

Dan inilah senarai top 10 startup yang paling bernilai di dunia.

Sumber: Statista

1. Bytedance (Toutiao)

ByteDance atau Beijing ByteDance Technology Co Ltd. adalah merupakan syarikat teknologi berasal dari Beijing yang mengusahakan beberapa platform AI.

Toutiao adalah merupakan platform terkemuka mereka di China dan seluruh dunia.

2. Didi Chuxing

Kalau di Malaysia kita ada Didi and Friends, tapi di China kita ada Didi Chuxing. Ianya merupakan syarikat pengangkutan yang berpangkalan di Beijing, yang menyediakan perkhidmatan berasaskan aplikasi.

Di antaranya adalah perkhidmatan memanggil teksi, memanggil kereta persendirian, perkongsian kereta dan motosikal, penghantaran barangan; termasuklah perkhidmatan kereta seperti jualan, sewaan, pembiayaan, penyelenggaraan, pengecasan kenderaan elektrik dan banyak lagi.

3. JUUL Labs

Juul Labs, Inc. adalah sebuah syarikat e-rokok yang berasal dari California, Amerika Syarikat. Ianya mengeluarkan e-rokok berjenama Juul.

4. WeWork

WeWork merupakan syarikat hartanah yang menyediakan perkongsian tempat kerja untuk startup, dan perkhidmatan untuk syarikat. Ditubuhkan pada tahun 2010 dan berpangkalan di New York City, WeWork mengurus hartanah seluas 46.63 juta persegi.

WeWork juga merekabentuk dan membina pejabat maya (virtual office) dan fizikal, dan kini mempunyai lebih daripada 5,000 pekerja di lebih 280 lokasi, merentasi 86 bandar di 32 buah negara seluruh dunia.

5. Airbnb

Airbnb, Inc. merupakan laman yang mengurus dan menawar tempat penginapan, iaitu homestay. Paling menarik, syarikat yang berasal dari San Francisco, California ini tidak memiliki sebarang homestay pun.

Mereka membuat keuntungan dengan menjadi broker atau orang tengah, dan menerima komisyen daripada setiap tempahan yang dibuat.

6. Stripe

Stripe merupakan syarikat teknologi kewangan yang berpangkalan di San Francisco, California. Perisian mereka membenarkan individu dan perniagaan untuk membuat dan menerima bayaran melalui Internet.

Stripe juga menyediakan kepakaran teknikal, pencegahan penipuan, dan infrastruktur perbankan yang diperlukan bagi mengendali sistem bayaran secara online.

7. SpaceX

Space Exploration Technologies Corp. atau dikenali sebagai SpaceX, adalah syarikat aeroangkasa dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan angkasa yang berpangkalan di Hawthorne, California.

Ianya diasaskan oleh Elon Musk pada tahun 2002 dengan sasaran untuk mengurangkan kos pengangkutan angkasa lepas bagi membolehkan kita tinggal di planet Marikh.

8. Epic Games

Epic Games, Inc. (sebelum ini dikenali sebagai Potomac Computer Systems dan kemudiannya Epic MegaGames, Inc.) adalah sebuah syarikat permainan video dan pembangunan perisian yang berpangkalan di Cary, Carolina Utara. Syarikat ini diasaskan oleh Tim Sweeney pada tahun 1991.

Epic Games membangunkan Unreal Engine, sebuah enjin permainan yang memacu permainan video popular seluruh dunia. Di antara permainan video yang dibangunkan mereka sendiri adalah Fortnite, Unreal, Gears of War dan Infinity Blade.

9. Grab

Grab Holdings Inc., yang dulunya dikenali sebagai MyTeksi dan GrabTaxi, pada mulanya berasal dari Malaysia; dan kemudiannya berpindah ke Singapura. Ianya merupakan syarikat pengangkutan yang juga menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dan pembayaran digital.

Ia kini beroperasi di kebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Kemboja. Ianya merupakan syarikat decacorn pertama di Asia Tenggara, dengan penilaian lebih daripada $10 bilion.

10. DoorDash

DoorDash Inc. ditubuhkan pada tahun 2013 dan berasal dari San Francisco adalah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan.

DoorDash adalah salah sebuah syarikat teknologi yang menggunakan perkhidmatan logistik bagi menghantar makanan dari restoran. Ia kini telah berkembang ke 56 buah pasaran dan lebih daripada 600 buah bandar di seluruh Amerika Syarikat.

Kredit: Statista

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut. Jika majikan hanya membayar sebahagian kos, jangan terus anggap baki perbelanjaan itu automatik layak, semak dahulu dengan syarat HASiL.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.