Wang Dan Dominasi Dunia

“Lebih banyak mereka kawal kewangan digital atau elektronik, lagi mudah untuk mereka kawal dunia.”

– David Icke

Kalau zaman dulu mungkin siapa yang lebih kuat daripada segi ketenteraan, maka mereka akan menakluki dunia. Tetapi zaman kini sudah berubah, siapa yang lebih banyak wang akan mendominasi dunia.

Tapi Sebelum Itu, Apa Yang Dimaksudkan Dengan Wang?

Wang adalah jambatan pertukaran barang dan perkhidmatan. Tapi dari mana datangnya wang tersebut?

Sebagai contoh, bank bagi kita pinjam RM500,000 dan ada rekod di paparan skrin dan dicetak di atas kertas sebagai kredit. Persoalannya, dari mana kredit itu datang?

Ianya dari hutang pencetak wang iaitu bank. Itulah sebabnya kita ada bank dunia. Untuk monitor nilai kredit tersebut.

Bila kita pinjam duit dari bank, kita kena bayar semula pokok bersama dengan faedah. Bila kita tak mampu nak bayar semula, bank berhak mengambil aset yang kita ada dan dan melelongnya (rumah, tanah, kereta).

Lihat apa yang terjadi pada tahun 2008 yang lalu apabila berlakunya Krisis Subprime. Banyak rumah dan tempat perlindungan yang tergadai akibat kegawatan ekonomi.

Dan semua hasil kekayaan ini jatuh ke tangan mereka yang di atas. Mereka yang mempunyai wang yang banyak, sebab itulah ‘Cash is king’.

Hutang Semakin Bertambah, Wang Semakin Berkurang Nilainya

Apa yang menarik tentang pinjaman, kita bayar duit pokok bersama faedah dari duit yang mempunyai nilai hutang. Dengan kata lain, duit kertas ini semakin kurang nilainya kerana terlalu banyak di cetak untuk membayar semula hutang dan bunga. Jadi ada wang pun tidak akan cukup untuk membayar semula hutang yang ada.

Sekiranya hutang terlalu banyak dan wang tiada lagi nilainya, lihat apa yang terjadi di Zimbabwe. Nak beli barang perlu bawa wang berjuta-juta atau berbilion-bilion.

Begitu juga halnya dengan wang baru (wang digital). Sekiranya pembeli dan penjual percaya akan nilai dan kewujudannya, maka transaksi akan berjaya dilakukan.

Wang digital ini dibina bagi menggantikan wang kertas yang lama.

“Semakin berkembang wang digital ini, semakin mudah mereka dapat mengawal dunia, ekonomi dan diri anda.”

– David Icke

Sebagai contoh, kita pergi ke kedai nak beli tepung atau susu. Apabila nak bayar menggunakan wang digital, kemudian juruwang berkata “Maaf, sistem ini tak boleh baca kad anda”. Dengan kata lain, tak dapatlah nak beli apa-apa atau makan apa-apa pada hari tersebut.

Contoh lain, hari ini kita ada RM100 dalam akaun. Bila berlaku kesilapan atau ada orang scam duit kita secara atas talian, dengan sekelip mata ia akan jadi RM0.

David Icke ada mengutarakan pelan mereka, iaitu dengan mengeluarkan wang tunai sedia ada dalam peredaran, kemudian wujudkan wang dan digital. Kenapa?

Dengan mengawal sistem ini, mereka mampu mengawal anda sama ada anda boleh makan atau tidak, boleh ada tempat perlindungan atau tidak, dan sebagainya.

Siapa saja yang mengawal sistem digital ini, akan mengawal dunia.

David Icke ada mencadangkan dalam bukunya pada awal tahun 1990-an, untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan pertahankan wang kertas dan sistem barter.

Sekiranya terjadi apa-apa seperti situasi pertama atau kedua di atas, kita masih ada pilihan lain untuk menggunakan wang kertas untuk membeli barang.

Siapa David Icke Ini?

DAVID Vaughan Icke adalah seorang teori konspirasi profesional dan beliau juga bekas pemain bola sepak. Beliau telah menulis lebih 20 buku dan telah memberi ceramah di lebih daripada 25 negara.

Beliau percaya peristiwa memanipulasi global untuk mengekalkan manusia dalam ketakutan mencipta ‘tenaga negatif’ yang berterusan sehingga ke hari ini.

Di antara buku tulisan beliau adalah:

  • The Rigger: The lie that changed the world
  • The Biggest Secret: The book that will change the world
  • Everything You Need To Know: But have never been told
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.