HABIB Abadikan Seni Warisan Berzaman, Anyaman Menjadi Simbol Ikatan Rantaian Kasih Di Aidilfitri 2024

Kuala Lumpur – HABIB, jenama barangan kemas tempatan meneruskan legasinya dengan menyanjung khazanah warisan budaya Malaysia. Tahun ini, bertemakan Anyaman, HABIB sekali lagi mengetengahkan ikatan kekeluargaan yang erat sempena kempen Hari Rayanya yang dikenali sebagai Rantaian Kasih. HABIB menjemput para pelanggan untuk menyelami koleksi-koleksi baharu sempena Hari Raya di bilik pameran HABIB serata Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer Habib berkata, “Dalam pada kita meraikan hari lebaran, HABIB memegang tanggungjawab untuk memelihara warisan berzaman dan memupuk orang ramai untuk terus menghargai kehalusan seni masyarakat Melayu. Justeru, kami membawa tema anyaman untuk kempen raya kali ini bagi menghidupkan kembali seni warisan dan memastikan ianya tidak tenggelam ditelan zaman. Silangan rapi dan ketelitian pada setiap sisi anyaman melambangkan ikatan kekeluargaan, tradisi dan kekayaan budaya, dan ianya sangat sinonim dengan Kempen Raya kami, yang dikenali sebagai Rantaian Kasih.”

HABIB membawa kelainan pada Kempen Rantaian Kasih tahun ini dengan penampilan duta-duta daripada latar belakang yang berbeza seperti Amyra Rosli dan keluarganya, Sharifah Rose dan Ezzanie Jasny. HABIB sangat menitikberatkan aura dan karisma sewaktu pemilihan wajah kempen, dan memastikan mereka dapat menggayakan barangan kemas dengan baik. Kesemua duta Raya HABIB merupakan individu yang mempunyai semangat yang tinggi serta personaliti yang baik dan disenangi ramai. Gabungan duta-duta raya pada tahun ini menambahkan kemeriahan dan melengkapi konsep Rantaian Kasih HABIB.

Antara koleksi yang menjadi kegemaran setiap tahun adalah semestinya Koleksi Oro Italia 916, dengan rekaan terbaharu yang lebih moden dan kontemporari. Untuk gaya yang terkini dan lebih berwarna-warni, barangan kemas daripada Koleksi Clara adalah pilihan yang ideal. Menampilkan rona-rona unik seperti ungu, merah jambu, biru dan hijau, koleksi ini pada masa yang sama masih mengekalkan nilai mutu emas 916. Selain itu, koleksi rantai leher labuh juga menjadi kegemaran di Aidilfitri dan sangat sesuai digayakan bersama hijab. Set sepadan ibu dan anak turut ditawarkan, untuk melengkapi gaya sedondon bersama keluarga di Hari Raya.

HABIB juga menampilkan pelbagai koleksi eksklusif berlian, termasuk rekaan yang diinspirasikan seni anyaman yang menitikberatkan daya ketelitian dan sentuhan kehalusan pada coraknya. Koleksi anyaman ini dipadankan bersama mutu emas 750 (18K), untuk memastikan kekukuhan berlian yang ditatahkan memancarkan kilauan yang sempurna di Hari Lebaran. Memenuhi citarasa berbeza, koleksi anyaman ini turut tersedia dengan kombinasi berlian dan batu permata pelbagai berwarna untuk memberikan penampilan yang lebih versatil dan menarik. Istimewa buat Hari Raya juga, HABIB menawarkan Koleksi Jejaka, yang terdiri daripada butang baju Melayu eksklusif HABIB serta cincin perak palladium bertatahkan berlian dan batu permata.

HABIB turut memperkenalkan rekaan baharu Wafer Syiling Emas 999.9 Edisi Anyaman, yang didatangkan dengan lima rekaan unik seberat 0.2gm bagi setiap keping yang berharga RM118 setiap satu atau RM628 untuk satu set yang didatangkan dalam kotak edisi terhad. Wafer Syiling Emas 999.9 ini juga sesuai dijadikan alternatif unik sebagai duit raya ataupun hadiah istimewa untuk yang tersayang.

Tema kempen Rantaian Kasih 2024 menerapkan sentuhan seni anyaman yang melambangkan metafora dalam penceritaan gaya hidup tradisional sejak berabad-abad lalu. Dengan semangat ini, HABIB menciptakan koleksi yang diilhamkan oleh khazanah anyaman yang meraikan seni tradisional klasik ini. Hasil tangan yang bermutu tinggi dan elemen sentuhan kehalusan pada setiap sisi anyaman dapat dilihat indah di keseluruhan kempen ini, termasuk pada koleksi barangan kemas serta pada sampul Raya HABIB.
Kempen ini akan berlangsung di semua bilik pameran HABIB seluruh negara bermula 12 Mac sehingga 9 April 2024. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi www.habibjewels.com dan ikuti sosial media HABIB di Instagram dan TikTok (@habibjewelsofficial) serta Facebook dan LinkedIn (@HABIB).

Previous ArticleNext Article

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings