Scoot Dijangka Tambah Kekerapan Penerbangan Ke Sarawak Guna Pesawat Baharu Embraer

KUCHING, 12 Mac (Bernama) — Scoot Pte Ltd (Scoot), anak syarikat Singapore Airlines yang menyediakan perkhidmatan penerbangan tambang rendah dijangka dapat meningkatkan kekerapan penerbangannya antara Singapura dan Sarawak bermula Mei ini selepas menambah pesawat baharu Embraer kepada kumpulan pesawatnya.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata beliau dimaklumkan oleh Pengurus Besar Scoot Malaysia, Yeo Kaijie bahawa inisiatif syarikat penerbangan itu merangkumi penerbangan ke Miri, Kuching dan Sibu menggunakan pesawat baharu Embraer E190-E2 dengan kapasiti 112 penumpang.

“Pada masa ini, Scoot hanya menawarkan penerbangan dari Singapura ke Kuching tujuh kali seminggu dan ke Miri tiga kali sehari menggunakan pesawat Airbus a320.

“Syarikat penerbangan itu dijangka menambah penerbangan yang dijadualkan kepada lima kali seminggu ke Miri dan ke Sibu tiga kali seminggu menggunakan pesawat Embraer pada Mei dan Jun tahun ini,” kata Lee dalam satu kenyataan hari ini selepas pertemuan dengan delegasi Scoot yang diketuai Yeo di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Yeo, Scoot menyediakan perkhidmatan ke 18 destinasi di China dan akan menyediakan platform kepada lebih ramai pelancong China yang mencari destinasi percutian dan penerbangan sambungan melalui Singapura.

Beliau berkata Scoot juga telah menempah sembilan pesawat Embraer E2 untuk meningkatkan kapasitinya.

Sementara itu Lee berkata jumlah pelancong dari Singapura ke Sarawak meningkat daripada 38,743 orang pada 2010 kepada 46,812 pada 2019 dan mencatatkan lonjakan ketara kepada 60,760 pada tahun lepas.

Menurutnya, sekarang masa yang sesuai untuk Scoot menawarkan penerbangan ke bandar utama lain di Sarawak, seperti Sibu, dan mencadangkan syarikat penerbangan itu menambah penerbangan berjadualnya ke Miri kepada penerbangan harian memandangkan ia telah bertukar kepada pesawat dengan kapasiti lebih kecil.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian