Kebanyakkan Tambang Penerbangan Berkurang Bagi Tempoh PRU15 – MAVCOM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) — Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati kebanyakan tambang penerbangan melibatkan tempoh perjalanan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berkurang selepas berlaku lonjakan pada awalnya berikutan pengumuman tarikh PRU.

Dalam kenyataan hari ini, katanya ia telah melengkapkan semakan tambang penerbangan domestik yang akan beroperasi pada 16-20 Nov 2022 (tarikh perjalanan penerbangan PRU15) sempena hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, katanya.

Berdasarkan semakan suruhanjaya, purata tambang penerbangan domestik sehala merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan udara di Semenanjung ialah RM185, katanya.

Menurut kenyataan itu, purata tambang penerbangan bagi laluan udara dalam Malaysia Timur pula sebanyak RM188, manakala RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

Bagaimanapun, analisis MAVCOM turut menunjukkan terdapat beberapa laluan udara sehala mengenakan tambang melebihi harga purata.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan menggesa syarikat penerbangan untuk menambah lebih banyak kapasiti di laluan tersebut memandangkan permintaan yang tinggi semasa PRU15.

MAVCOM memaklumkan, ia turut meminta syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti bagi laluan yang beroperasi semasa tempoh tarikh perjalanan penerbangan PRU15 bagi memastikan penerbangan yang mencukupi ke pelbagai destinasi domestik dengan harga yang berpatutan.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan, MAVCOM komited untuk meluluskan semua permohonan laluan untuk PRU15 dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan kepada suruhanjaya demi kepentingan negara,” katanya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata syarikat penerbangan telah memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun tambang penerbangan untuk memudahkan pengguna.  

“Malah, terdapat skim diskaun sedia ada yang ditawarkan syarikat penerbangan untuk pelajar, dan langkah ini dapat membantu pengundi muda untuk keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata industri penerbangan telah menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab tanpa terkesan dengan tambang penerbangan yang tinggi.

“Bagaimanapun, banyak lagi yang boleh ditambah baik dan syarikat penerbangan perlu memainkan peranan masing-masing untuk negara dalam tempoh kritikal ini,” katanya.

Berdasarkan data yang dikemukakan kepada MAVCOM, semua syarikat penerbangan tempatan telah bercadang menambah penerbangan bersempena PRU15 mulai bulan depan dengan memanfaatkan sumber sedia ada.

“Penerbangan tambahan itu termasuk 45 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke lokasi terpilih di Semenanjung. Bagi penerbangan dari Subang, 30 penerbangan tambahan telah dirancang ke destinasi terpilih di Semenanjung.

“Selain itu, 68 penerbangan tambahan telah dirancang untuk penerbangan antara Semenanjung dan Malaysia Timur. Malah, Malaysia Airlines turut berhasrat meningkatkan kapasiti ke destinasi utama di Semenanjung dan Malaysia Timur menggunakan pesawat Airbus A330 berbadan lebar,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kebanyakkan-tambang-penerbangan-berkurang-bagi-tempoh-pru15-mavcom/

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA