Pelancaran Dron EduKit Meraque, Dron Pendidikan Mesra Bilik Darjah Untuk Si Genius Masa Hadapan

Individu, Organisasi Komuniti dan Sekolah dijemput untuk sama belajar bersama

26 Oktober, 2022, Kuala Lumpur – Digemari ramai sebagai salah satu permainan yang terbaik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dron telah mendapat tempat di hati kanak-kanak dan tidak kurang juga buat mereka yang berjiwa muda.

Melihat minat yang semakin berkembang dalam arena ini, Meraque, yang tersenarai sebagai salah satu daripada 20 Syarikat Dron Terbaik dunia, telah melancarkan Dron EduKit Meraque serba unik yang akan memberi inspirasi kepada kanak-kanak di Malaysia untuk memasang, mengekod dan menerbangkan dron mereka – semuanya dalam masa 15 minit sahaja.

“Dron EduKit Meraque direka oleh bekas pendidik dengan kerjasama pakar pembangunan kanak-kanak. Malah ia turut diuji oleh golongan kanak-kanak,” kata Md Razalee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Meraque.

“Ia memberi peluang untuk kanak-kanak agar dapat belajar lebih lanjut tentang litar ringkas dan kompleks, pengekodan dan pemprograman dalam persekitaran yang selamat. Amat mengujakan setiap kali melihat dron mereka terbang dan ‘beraksi’ apabila diterbalikkan 360 darjah!” ujar Razalee, menjelaskan tentang sesi ini yang direka dan disesuaikan untuk menarik minat kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur.

Dron EduKit Meraque kini merangkumi sessi 3 jam percuma dan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan untuk menawarkan sedikit cabaran. Modul pembelajaran turut meliputi peraturan, keselamatan, komponen dan kawalan, teknologi dalam pelbagai dron, dan aplikasi dalam industri dron.

“Kami komited untuk mencetuskan rasa ingin tahu kepada bakal jurutera dan pencipta masa hadapan kita – memberi si cilik bahan binaan asas untuk memasang dan menyesuaikan dron mereka, sambil mereka mempelajari konsep STEM seperti aerodinamik, pengagihan berat, toleransi kenaikan dan banyak lagi,” kata Razalee.

Membentuk sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Meraque melancarkan Program Pembangunan Kerjaya Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia pada Februari tahun ini untuk melatih 500 belia dengan set kemahiran yang diperlukan dalam teknologi dan perkhidmatan dron menjelang 2023. Selain itu, Meraque juga bekerjasama dengan Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM) bersama sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), serta Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk merealisasikan program ini.

Kini, sesi pembelajaran akan diperluaskan ke Selangor mulai November, menggabungkan amalan terbaik daripada sesi rintis yang telah diadakan di tiga sekolah di Johor pada bulan April baru-baru ini. Di samping itu, Kelab Udara Malaysia akan menggunakan Dron EduKit Meraque di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. 

“Kami ingin meneroka dan membentuk bakat muda dalam bidang teknologi di seluruh negara memandangkan potensi pasaran global untuk dron adalah amat besar; di mana Malaysia mampu bersaing. Berjinak-jinak dengan dron adalah cara terbaik untuk mencetuskan minat dan keyakinan mereka sambil mereka ‘belajar dengan melakukan’,” kata Razalee lagi.

Tambahan lagi, Rangka Dron Quadcopter Do-It-Yourself Meraque juga serasi dengan jenama permainan binaan blok lain yang terkemuka di pasaran. Setelah dipasang dan dikonfigurasikan, dron ini boleh diterbangkan ke mana-mana sahaja. Ini kerana ia mempunyai kawalan berkadar digital dan giro 6 paksi, sekaligus membolehkan penerbangan yang lancar. Semua bahagian diperbuat daripada plastik ASB tahan lasak, agar terselamat sekiranya terkena impak atau terjatuh secara tidak sengaja.

Dron EduKit Meraque mempunyai spesifikasi berikut:-

  • Jarak Kawalan: 100 meter
  • Masa Penerbangan: 10 minit
  • Motor: 1020 diberus
  • Berat: 128g
  • Jarak roda: 148mm
  • Komponen: 4 motor, 4 kipas, 4 kipas tambahan, hab dron dengan kamera atas-papan, bateri dan pengecas bateri.

Kit yang mudah dipasang ini menawarkan nilai yang cukup berbaloi, di mana ibu bapa atau penjaga juga boleh turut serta. Dron EduKit Meraque sesuai sebagai hadiah untuk hari lahir, dibawa ke destinasi percutian, atau buat peminat yang baru menceburi dunia dron – memberikan sebuah pengalaman dron yang boleh dimain berulang kali.

Sesi pembelajaran akan dijalankan di Makerslab MRANTI Park di Bukit Jalil dan EduCity di Iskandar, Johor yang menawarkan kemudahan penuh. Sesi tersebut disesuaikan untuk anak-anak dari umur 7 hingga 18 tahun dan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah Meraque dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Program ini juga boleh dijalankan di sekolah, kolej dan kelab komuniti dengan 15 hingga 20 orang setiap kumpulan. Untuk pertanyaan dan tempahan, sila hubungi Farah (+60187736947 / [email protected]) atau Suria (+60193515596 / [email protected]).

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.meraque.com/

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.