Boleh Beli Rumah Tanpa Slip Gaji? Ini Caranya

Bila kita bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji boleh dikatakan amat susah untuk membeli rumah yang diidam-idamkan. Tetapi, siapa sangka sebenarnya walaupun tidak mempunyai slip gaji, anda juga boleh membeli rumah idaman anda.

Betul ke ni? Ya, betul ada caranya.

Kini, pelbagai jenis program yang ditawarkan oleh pihak kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

Dengan pelbagai program perumahan yang ditawarkan, pasti sedikit sebanyak membuatkan kita yang bergaji rendah ini boleh menarik nafas lega untuk memiliki rumah yang kita idam-idamkan sejak dari dulu lagi. 

Jika anda ingin mengetahui bagaimana untuk beli rumah tanpa slip gaji, jom baca entri ini sehingga habis. 

Cara Beli Rumah Tanpa Slip Gaji Melalui SJKP

Apa Itu SJKP?

Skim Jaminan Kredit Perumahan atau nama singkatannya SJKP adalah merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 6 Disember 2007. SJKP dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan ini ditubuhkan bertujuan untuk membantu mereka yang ingin membeli rumah tetapi tidak mempunyai pendapatan tetap dan penyata gaji. Untuk makluman anda, SJKP sama sekali tidak mengeluarkan sebarang pinjaman perumahan.

Namun apa yang dilakukan oleh SJKP adalah hanya membantu mereka dengan memberi jaminan pembiayaan kepada bank yang mengeluarkan pinjaman bagi skim ini. 

Selain itu, pembelian rumah tanpa slip gaji melalui SJKP juga boleh dimohon oleh mereka yang berpendapatan tetap tetapi tertakluk kepada had maksimum dana RM200 juta tersebut.

Jumlah Dan Syarat Pinjaman Melalui SJKP

Bagi anda yang ingin meminjam melalui SJKP, ini adalah antara jumlah dan juga syarat-syarat yang perlu dipatuhi:

  • Pembelian dengan harga maksimum berjumlah RM100,000 (termasuk MRTA/MRTT).
  • Menjamin 100 peratus daripada harga belian.
  • Tempoh pinjaman selama 40 tahun.

Syarat Untuk Memohon SJKP

Bagi anda yang memohon pembelian rumah melalui SJKP, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti. Berikut adalah syarat yang telah ditetapkan untuk membeli rumah tanpa perlu slip gaji melalui SJKP:

  • Tiada mempunyai pendapatan tetap.
  • Mempunyai pendapatan kasar purata berjumlah RM1,000.
  • Warganegara Malaysia.
  • Berumur 18 tahun ke atas.
  • Harga kos pembelian rumah berjumlah di bawah RM100,000.
  • Pembelian rumah untuk pertama kali.
  • Surat pengesahan punca pendapatan daripada pegawai kerajaan kategori A, JKKK, penghulu atau wakil terpilih berserta dengan lesen perniagaan.
  • Kad pendaftaran nelayan (jika pemohon adalah nelayan).
  • Tiada rekod kewangan negatif dalam tempoh 2 tahun (24 bulan) yang lalu.
  • Bermastautin dalam lingkungan 20 kilometer daripada bank tempat permohonan dibuat.
  • Ansuran bulanan pinjaman tidak melebihi 40 peratus daripada jumlah pendapatan kasar.

Cara Memohon SJKP

Langkah Untuk Membeli Rumah Melalui SJKP

Untuk membuat permohonan membeli rumah tanpa memerlukan slip gaji melalui SJKP, anda boleh ikuti langkah di bawah untuk membuat permohonan:

  1. Kenal pasti rumah yang ingin dibeli oleh anda. Selain itu, dapatkan dokumen yang berkaitan seperti draf perjanjian jual beli dan sebagainya.
  2. Dapatkan surat pengesahan pendapatan daripada individu yang diberi kuasa (Pegawai Kerajaan Kategori A, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu atau wakil terpilih).
  3. Pastikan anda sediakan juga dokumen sokongan sumber pendapatan seperti penyata akaun simpanan, lesen berniaga serta dokumen lain yang berkaitan.
  4. Jangan lupa untuk membawa kesemua dokumen yang dinyatakan di mana-mana cawangan institusi kewangan terdekat yang menyertai skim SJKP ini.

Kesimpulannya, SJKP hanyalah platform untuk membeli rumah kos rendah yang sedia ada. Sekiranya anda ingin membina rumah di atas tanah sendiri, SJKP tidak akan memberikan jaminan pembiayaan perumahan kepada anda.

Semoga entri ini dapat membantu anda dalam memiliki rumah sendiri dengan skim SJKP ini.

Rujukan

  1. https://mypermohonan.com

Nak Tahu Anda Layak Dapat Pinjaman / Pembiayaan atau Tidak? Semak Laporan CCRIS Terlebih Dahulu. Pastikan Cantik!

Memiliki rekod CCRIS yang bersih sangat penting untuk kita semua. Kalau rekod CCRIS kita tak cantik, maka susahlah untuk kita mendapatkan apa sahaja pinjaman / pembiayaan daripada bank. Namun rekod CCRIS hanya sebuah laporan skor kredit, bukan rekod blacklist yang sering jadi salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berapakah harga untuk Laporan CCRIS?

Anda boleh dapatkan di laporan CCRIS secara online di MyCreditInfo daripada EXPERIAN serendah RM 19.50 RM 15.60.

Dengan EXPERIAN My Credit Info (nama lama dia RAMCI), mereka ada produk bernama Personal Credit Report Plus (PCRP) yang boleh digunakan untuk mendapatkan laporan lengkap mengenai status kewangan anda.

Laporan ini mengandungi maklumat seperti CCRIS;

  • Kemudahan kredit anda dengan bank / institusi kewangan di Central Credit Reference Information System (CCRIS), Bank Negara Malaysia.
  • Kemudahan kredit peribadi, secara bersama atau diperolehi oleh hak milik tunggal di mana anda adalah pemilik.
  • Nama bank atau institusi kewangan yang memberi kemudahan kredit/pinjaman, cawangan institusi kewangan di mana kemudahan kredit/pinjaman yang anda diperolehi.
  • Jumlah pinjaman/had kredit, baki tertunggak daripada kemudahan kredit anda dan tarikh terakhir untuk jumlah belum dijelaskan akan dilaporkan oleh bank / institusi kewangan.
  • Jenis cagaran atau jaminan yang dicagarkan untuk kemudahan kredit.
  • Pembayaran yang kerap untuk setiap kemudahan, seperti setiap bulan atau mingguan.
  • Permohonan kredit yang diluluskan selama 12 bulan terakhir dengan ahli CCRIS yang mengambil bahagian.
  • Pelbagai kemudahan kredit anda dipantau khas oleh bank atau institusi kewangan di bawah Akaun Perhatian Khas

Selain itu, ada juga maklumat SPGA (Skim Potongan Gaji ANGKASA – baki potongan & sejarah pembayaran), PTPTN, maklumat bukan berkaitan perbankan dan banyak lagi.

Maklumat yang TIDAK termasuk dalam laporan ini adalah:

  • Akaun Deposit atau Simpanan
  • Rekod pekerjaan
  • Status perkahwinan
  • Kesihatan
  • Rekod jenayah
  • Butiran gaji
  • Agama

Contoh Laporan Kredit:

Dapat gred (i-Score) 10 kira dah terbaik, bermaksud kurang risiko untuk pembiayaan tidak dibayar atau default. Agak-agak ada ke bank nak bagi pembiayaan kalau kita berisiko tinggi? Paling teruk sekali dapat skor 1 – 3 (WEAK), bank pasti akan terus tolak bulat-bulat je permohonan korang tu tanpa cakap banyak.

Maklumat yang digunakan bagi mengira skor kredit ini termasuk:

  • Pinjaman yang anda ada (kad kredit, pinjaman / pembiayaan perumahan, kereta, pinjaman peribadi, dan lain-lain.);
  • Sama ada anda membayar pinjaman / pembiayaan tepat pada masanya;
  • Jumlah hutang anda yang belum dijelaskan;
  • Sama ada anda telah secara aktif memohon kredit baru;
  • Sama ada anda mempunyai apa-apa tindakan undang-undang;
  • Usia akaun anda

Skrol bawah sikit akan ada bahagian Banking Credit Information. Dekat sini akan disenaraikan segala pinjaman / pembiayaan / kredit kad dan sejarah pembayaran.

Menarik bukan? Cepat check dan DOWNLOAD sekarang.

Previous ArticleNext Article

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian