Proton Rancang Keluar Kenderaan Elektrik Menjelang 2027

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Pembuat kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) sedang berusaha mengukuhkan keupayaan kenderaan elektrik (EV) dan merancang untuk menghasilkan EV sendiri menjelang 2027, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah. 

Roslan menjelaskan Proton telah berbincang dengan rakan kongsi yang berpotensi bagi memulakan usaha itu kerana ia tidak boleh tergesa-gesa berbuat demikian tanpa memahami teknik penjualan serta pemasaran kenderaan tersebut.

Pelan hala tuju EV Proton telah bermula semenjak 10 tahun lepas tetapi ia terbantut disebabkan permintaan pasaran dan teknologi semasa.

“Jadi, lima tahun akan datang (sehingga 2027) akan memberi kami masa yang mencukupi untuk menentukan teknologi mana yang paling mudah diterima, senang diselenggara dan mampu dimiliki oleh kami serta pengguna,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel pada acara Invest Malaysia Siri 2, bertajuk ‘The Road to EV’ di sini hari ini. 

Sebelum memajukan EV sendiri, Roslan berkata Proton akan menimba lebih banyak pengalaman melalui kerjasama dengan Smart Automobile Co Ltd sebagai pengedar baharu Proton di Malaysia dan Thailand.

“Kerjasama dengan Smart Automobile dan pengedaran kereta pintar ini akan mengajar kami (Proton) bagaimana untuk memasang EV di dalam negara termasuk memberi kami pengalaman serta pengetahuan mengenai proses pemasangan,” katanya. 

Smart Automobile adalah usaha sama yang ditubuhkan oleh Mercedes-Benz AG dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd. 

Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi kenderaan tenaga baharu (NEV) dalam menembusi pasaran Malaysia, Roslan memberitahu penyelesaian itu memerlukan sokongan yang lebih kukuh daripada kerajaan, kesediaan industri yang lebih baik dan peralihan minat pelanggan terhadap EV.

Beliau berkata jualan EV meningkat kepada 3.4 peratus atau 13,800 unit tahun setakat ini, dengan EV hibrid lebih popular berbanding EV berkuasa bateri. 

“Terdapat cabaran utama yang perlu diatasi, masa dan usaha kolektif.

“Cabaran ini termasuk Malaysia tidak mempunyai banyak kereta EV mampu milik, penerimaan pengguna masih perlahan, kurang kejelasan dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV, pembangunan bakat dalam segmen EV selain kekurangan pelaburan dalam teknologi berkaitan,” katanya.

Roslan berkata, lebih banyak pembangunan dan sokongan kepada industri EV diperlukan untuk bergerak ke hadapan. 

“Ini termasuk program penyelidikan dan pembangunan, pelaburan dalam rantaian bekalan, teknologi serta penyediaan infrastruktur EV yang lebih baik,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/proton-rancang-keluar-kenderaan-elektrik-menjelang-2027/

Previous ArticleNext Article

EPMB Bakal Keluarkan Kereta Elektrik Pintar XPENG Di Melaka

KUALA LUMPUR: EP Manufacturing Bhd (EPMB) dan XPENG menjalin kerjasama strategik bagi menubuhkan pengeluaran setempat kenderaan elektrik (EV) pintar di Melaka.

Melalui kerjasama ini, XPENG yang juga syarikat mobiliti dipacu kecerdasan buatan (AI) akan memanfaatkan kepakaran pembuatan tempatan EPMB yang meluas.

Selain itu, ia akan menyokong kapasiti pengeluaran yang terbukti serta pengetahuan pasaran yang mendalam untuk menghasilkan EV pintar canggih yang disesuaikan dengan keperluan pengguna di Malaysia dan ASEAN.

Pengeluaran setempat itu juga akan membolehkan XPENG memperkukuh integrasinya dalam pasaran serantau, meningkatkan keupayaan tindak balas serta mengukuhkan daya saingnya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah, berkata kerjasama itu sejajar dengan visi kerajaan untuk membangunkan ekonomi hijau dan memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi.

Beliau berkata, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan ekosistem industri kenderaan tenaga baharu (NEV) negara serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di peringkat tempatan.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan XPENG, peneraju global dalam teknologi EV pintar. Pakatan strategik ini menggabungkan kecemerlangan EPMB dalam pembuatan automotif selama lebih empat dekad serta kefahaman tempatan kami dengan inovasi kecerdasan dan elektrifikasi termaju XPENG.

“Kedua-dua pihak komited untuk membekalkan EV pintar berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia serta menyokong aspirasi perindustrian mampan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden XPENG, James Wu, berkata penubuhan pengeluaran setempat di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam strategi global XPENG.

Beliau berkata, ia turut mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan terhadap rantau ASEAN.

“Keupayaan terbukti EPMB serta perkongsian visi yang sama menjadikan mereka rakan strategik yang ideal. Inisiatif ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan, mempercepatkan keupayaan tindak balas pasaran serta memperkenalkan teknologi pintar secara sistematik, sekali gus memacu misi ‘Pendemokrasian Teknologi’ di peringkat global,” katanya.

XPENG kini giat memperluaskan kehadiran global apabila dari Januari hingga November 2025, penghantaran luar negara mencecah 39,773 unit, meningkat 95 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Rangkaian jualan dan perkhidmatannya kini merangkumi 52 negara dan wilayah di seluruh dunia dengan 321 cawangan luar negara.

Projek pengeluaran di Malaysia ini akan bersinergi dengan operasi sedia ada XPENG di Eropah dan pasaran Asia Pasifik lain, membentuk ekosistem bersepadu yang merangkumi pengeluaran setempat, jualan, perkhidmatan pengecasan serta operasi pengguna bagi mempercepatkan penembusan pasaran secara mendalam.

— Berita Harian