Pencapaian Pecah Rekod Bagi Industri Hartanah: 74 Anugerah Di National Real Estate Awards 2025

Petaling Jaya, 19 Ogos 2025 – Sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh barisan agensi hartanah dalam pasaran hartanah Malaysia yang bernilai RM232.30 bilion pada tahun 2024, Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (Malaysian Institute of Estate Agents [MIEA]) telah meraikan 74 ahli profesional terbaik pada Majlis Anugerah Hartanah Negara ke-17 (National Real Estate Awards [NREA]) yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya. Majlis tahun ini menerima rekod tertinggi sebanyak 108 penyertaan, merangkumi 25 kategori — jumlah tertinggi dalam sejarah penganugerahan ini — sekali gus mencerminkan dinamisme dan momentum pertumbuhan industri hartanah tempatan.

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan sebagai wakil kepada YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II. “Industri hartanah kekal sebagai tonggak utama pembangunan ekonomi negara, dan pencapaian yang kita raikan malam ini mencerminkan profesionalisme serta dedikasi yang mendorong kemajuan sektor penting ini. Para penerima anugerah telah menetapkan penanda aras kecemerlangan yang mengukuhkan lagi kedudukan pasaran hartanah Malaysia sebagai tonggak utama daya tahan ekonomi serta hala tuju pertumbuhan negara.”

Bertemakan “We Celebrate the Juara”, sorotan utama majlis malam tersebut ialah anugerah pengiktirafan khas – Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2025 dan gelaran berprestij Ejen Hartanah Terbaik Tahun 2025. Selain itu, seramai 24 pengamal industri cemerlang telah memenangi dan dianugerahkan Anugerah ‘MIEA Million Dollar Achiever (MMDA)’ — satu pencapaian rekod dalam sejarah penganugerahan ini yang menyerlahkan prestasi luar biasa dan daya ketahanan profesional pasaran hartanah Malaysia. Tidak ketinggalan, penerima anugerah lain, sama ada daripada kategori individu mahupun firma di peringkat Kebangsaan atau Negeri, turut merupakan pemenang yang benar-benar layak dan telah berjaya menetapkan penanda aras yang lebih tinggi dalam pencapaian dan prestasi mereka.

“Apa yang menjadikan sambutan tahun ini lebih istimewa adalah penyertaan luar biasa yang telah kami terima,” kata Encik Ahmad Zamzuri Kamarudin, Pengerusi Penganjur NREA 2025. “Sambutan yang menggalakkan ini jelas mencerminkan semangat daya saing dalam industri kita serta usaha bersama yang berterusan untuk mencapai kecemerlangan. Pertandingan tahun ini amat kompetitif, dengan tahap prestasi peserta yang melonjak jauh mengatasi pencapaian pada tahun-tahun sebelumnya.”

Beliau menambah, “Tahun ini, NREA dengan bangganya memperkenalkan dinding foto Hall of Fame yang memaparkan pemenang kategori individu sejak edisi pertama dari tahun 2009 hingga 2025. Sehingga kini, sebanyak 547 penerima anugerah telah diberi penghormatan. Pencapaian ini bukan sahaja meraikan kejayaan individu, malah turut memperkukuhkan industri hartanah, meningkatkan standard profesion ini di seluruh negara dan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencapai kecemerlangan dalam industri hartanah.”

Proses penjurian telah dijalankan oleh panel juri seramai sembilan orang yang terdiri daripada tokoh industri, diketuai oleh Ketua Juri Datuk Seri Dr. Michael Yam, yang telah meluangkan masa selama dua hari untuk meneliti dan menilai setiap penyertaan. Para juri mengakui terdapat peningkatan yang ketara dalam kualiti, kejelasan dan penyediaan penyertaan yang lebih sistematik pada tahun ini – jelas mencerminkan evolusi berterusan profesion ini.

Encik Erick Kho Ying Tian daripada IQI Realty Sdn Bhd, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2025, menyatakan penghargaan beliau atas pengiktirafan yang diterima: “Saya berasa amat berbesar hati apabila usaha saya dihargai, dan perjalanan yang telah saya lalui terbukti penuh makna dan berbaloi.” Mengimbas kembali perjalanan beliau dalam industri ini, Kho menambah, “Industri hartanah adalah ibarat maraton seumur hidup. Untuk mencapai kejayaan, para pengamal mesti gigih, rajin berusaha dan memiliki daya ketahanan yang tinggi. Slogan saya: Keep Going. Just Do It.

Pemenang peringkat Kebangsaan bagi kategori Ejen Hartanah Terbaik Tahun 2025, Encik Teh Young Khean daripada Knight Frank Malaysia, berkongsi pandangannya tentang pencapaian tersebut: “Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi dan kerja keras saya selama bertahun-tahun dan komitmen saya untuk sentiasa mengutamakan pelanggan. Saya berkongsi penghargaan ini dengan mentor saya, rakan sekerja dan para pelanggan yang telah memberi kepercayaan kepada saya, dan khususnya dengan isteri saya, Grace, dan ibu saya, yang nilai-nilai murni mereka sentiasa membimbing setiap keputusan yang saya ambil.” Beliau menambah, “Saya menceburi bidang hartanah dengan sepenuh hati – bukan hanya untuk menyempurnakan urusan jual beli, tetapi untuk membuka pintu kepada pelbagai peluang dan kemungkinan.”

Cik Joyce Low daripada iSpace Realty Sdn Bhd, pemenang Anugerah Transaksi Jualan Terbaik Tahun 2025 – Kategori Tanah (Peringkat Kebangsaan) dan juga pemenang Anugerah MMDA dengan pencapaian tertinggi turut berkongsi rasa bangganya atas kejayaanya meraih dua anugerah tersebut: “Kemenangan ini merupakan satu penghormatan. Ia mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami, serta dedikasi pasukan kami dalam setiap transaksi, tanpa mengira besar atau kecil. Industri ini mempunyai ruang untuk semua orang – dengan kesabaran, konsistensi dan kesediaan untuk terus belajar, sesiapa sahaja boleh berkembang dalam bidang ini. Terutamanya bagi golongan wanita, jangan takut untuk membina laluan sendiri. Anda tidak perlu menjadi orang yang paling lantang untuk membawa perubahan yang penting.”

Acara ini telah dijayakan dengan sokongan daripada penaja utama United Overseas Bank Malaysia Berhad, PropertyGuru, Triterra Sdn Bhd, Central Spectrum Malaysia Sdn Bhd, PCM Group, dan BOVEAP, serta sokongan daripada firma guaman, institusi perbankan, cawangan-cawangan MIEA di negeri-negeri, dan organisasi lain yang turut menyumbang.

Mewakili lebih 9,134 profesional hartanah di seluruh Malaysia, MIEA telah berkembang daripada titik permulaan yang sederhana pada tahun 1974 sehingga muncul sebagai persatuan tertua dan terbesar yang mewakili pengamal profesional pasaran hartanah di negara ini. Organisasi ini terus berada di barisan hadapan dalam mempersiapkan komuniti hartanah menghadapi transformasi pasaran melalui peluasan program pembangunan profesional dan pengukuhan usaha advokasi.

Presiden MIEA, Encik Kelvin Yip Kwong Wai, menekankan kepentingan anugerah ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen bersatu untuk kecemerlangan industri. “Malam ini, kita meraikan satu lagi tahun yang luar biasa bagi pasaran hartanah Malaysia. Para Juara yang kita raikan malam ini menjadi penanda aras kepada standard yang kita ingin capai untuk seluruh sektor,” katanya. “Sebagai ahli MIEA, anda bukan sekadar pengamal industri, tetapi juga duta kepada profesion kita. Komitmen anda terhadap standard tertinggi, amalan beretika dan pembelajaran berterusan secara langsung membantu meningkatkan kedudukan industri hartanah di mata masyarakat.”

Sektor hartanah Malaysia sedang mengalami perubahan pesat, daripada penerapan transformasi digital hinggalah penyesuaian terhadap keadaan ekonomi yang sentiasa berubah. Dalam arus perubahan ini, para pemenang NREA 2025 menjadi bukti ketahanan industri — menunjukkan bahawa ia mampu menyesuaikan diri, mencapai kecemerlangan, dan terus mengekalkan standard profesionalisme serta integriti yang tertinggi.

Institut Ejen Hartanah Malaysia berhasrat untuk terus melaksanakan misinya dalam menyokong para profesional yang bergiat dalam pasaran hartanah serta membina sebuah sektor yang boleh dibanggakan oleh Malaysia, dengan NREA 2026 dijangka menampilkan lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan yang mengagumkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai MIEA, sila layari https://www.miea.com.

Previous ArticleNext Article

Sime Darby Property: Strategi Pemilikan Aset Rendah Untuk Kembangkan Portfolio Aset

Saranan BELI dan harga sasar (TP) sebanyak MYR2.15 dikekalkan, harga saham berpotensi menaik 51% dengan kadar hasil dividen kira-kira 3% untuk FY26F

Kami memandang baik akan pelancaran New Economy Venture Fund (NEVF) oleh Sime Darby Property yang bernilai MYR1.25bn. Dengan adanya dana ini, SDPR akan mempunyai platform lebih besar untuk mempercepat usaha-usaha pembangunan pusat data (DC) dan aset-aset industri dan logistik yang lain tanpa membebankan kunci kira-kiranya. Dengan jangka hayat dana selama lima tahun, kami ramalkan SDPR akan mencapai pulangan lebih besar selepas penutupan dana tersebut, dan mungkin dengan menyuntik aset-aset yang dipegang dalam dana tersebut ke dalam aset REIT-nya yang akan datang.

Melonjakkan keyakinan

Dibangunkan dengan struktur patuh syariah secara menyeluruh, platform pelaburan bukan keperluan utama, NEVF mempunyai dana sehingga MYR1.25bn (dana utama: MYR1bn, dana sampingan: MYR250j). Dana ini menyaksikan pelibatan menggalakkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) (GELM).

Makluman: GELM juga pernah terlibat dalam Dana Pembangunan Perindustrian (IDF) milik SDPR pada tahun 2022. SDPR selaku rakan kongsi dan penaja am kepada NEVF, telahpun mengesahkan pelaburan bernilai MYR500.1j sebagai pelabur bersama pada penutupan pertama. Komitmen modal lain masing-masing ialah MYR100j + MYR250j (dana sampingan) daripada KWSP, MYR200j daripada LTAT, dan MYR199.9j daripada GELM.

Tumpuan pada aset-aset DC dan industri

Penubuhan NEVF dirangkakan dengan penuh strategik dan ia akan membuat pelaburan dalam bangunan DC yang dibina mengikut kehendak pelanggan untuk tujuan pajakan, dan juga pembangunan industri dan logistik dalam projek-projek SDPR. Pada pandangan kami, dana ini merupakan satu pencapaian penting lebih-lebih lagi apabila Taman Perniagaan Elmina (EBP) semakin mendapat keuntungan sementara pihak pengurusan mengutamakan model pembinaan yang sesuai dengan kehendak penyewa untuk tujuan pajakan bagi pembangunan-pembangunan industri yang akan datang untuk mengembangkan portfolio pendapatan berulangnya.

SDPR juga giat membangunkan taman-taman perindustrian lain seperti Bandar Bukit Raja, Vision Business Park, Bandar Universiti Pagoh, maka ada banyak peluang untuk ia mengembangkan portfolio asetnya. Semakin banyak pemain dan syarikat multinasional dilihat membina fasiliti penyimpanan di taman-taman perindustrian milik SDPR. Selain DC2, kami fikir pusat pengedaran automatik milik Mydin yang bernilai MYR450j (kawasan binaan: 786,000kps) di EBP mungkin akan dimasukkan dalam NEVP ini.

Lebih banyak suntikan aset akan dilaksanakan

Walaupun NEVP bernilai MYR1.25bn ini akan membentuk bahagian “ekuiti” dalam pelaburan aset, berdasarkan nisbah hutang berbanding ekuiti sebanyak 70:30, NEVP mungkin akan membuat hutang berjumlah MYR2.9-3bn. Hal ini sekali gus menjadikan jumlah saiz dana selepas hutang (atau modal) mencecah sekitar MYR4.25bn. Dengan ini, ia akan berupaya menyerap lebih banyak aset industri (yang akan dibangunkan) kelak. IRR untuk dana ini adalah sekitar 10-15%.

Kesan minimum pada perolehan jangka dekat

Kami meramalkan SDPR akan mengiktiraf keuntungan penjualan aset sebaik sahaja aset-aset berkaitan disuntikkan ke dalam dana ini. Pendapatan berasaskan bayaran semasa jangka hayat NEVP sepatutnya agak rendah.

Asas Penilaian

Penilaian SOP kami melibatkan:
i. Diskaun 30% pada RNAV untuk segmen hartanah
ii. DCF untuk pelaburan pusat datanya.

Faktor Pemacu Utama

Pemilikan bank tanah yang besar

Risiko Utama

Keadaan pasaran lebih lemah daripada jangkaan

Profil Syarikat

Sime Darby Property ialah pemilik tanah tebesar antara semua pemaju yang tersenarai, dengan pelbagai perbandaran, dan juga pembangunan komersial dan bersepadu.

Carta Saranan

Penganalisis
Loong Kok Wen, CFA +603 2302 8116 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.