Bekas Ketua Polis Negara Acryl Sani Dilantik Pengerusi PUNB Berkuat Kuasa Hari Ini

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) — Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai pengerusinya berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Ahmad Nazlan Idris yang telah melepaskan jawatan berkenaan pada 20 Dis 2022. 

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Izwan Zainuddin berkata, ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB mengucapkan tahniah susulan pelantikan tersebut dan mengalu-alukan kehadiran Acryl Sani di PUNB.

“Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan Acryl Sani dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan bumiputera di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini Acryl Sani juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Bhd.

Ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, Acryl Sani yang menjadi Ketua Polis Negara ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023 pernah memegang pelbagai jawatan lain antaranya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), Ketua Polis Perak pada 2013 dan Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Beliau adalah pemegang Sarjana Sains (Pengurusan) Universiti Utara Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.