Bursa Malaysia Lantik Azizan Abd Aziz Sebagai Ketua Pegawai Kewangan Baharu


KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd melantik Azizan Abd Aziz sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharunya, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata pengalaman luas Azizan dalam bidang kewangan akan memainkan peranan penting bersama pasukan kepimpinan dalam membantu mengukuhkan kecekapan operasi dan usaha strategik Bursa Malaysia bagi mengemudi landskap pasaran yang semakin dinamik.

“Menerusi kapasitinya sebagai CFO, beliau akan menyelia keseluruhan fungsi kewangan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat dan belanjawan,” kata Fad’l dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan merupakan CFO kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Bhd.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index