Dilema Emas Tulen: Simpan Sendiri Atau Dipantau Secara Digital?

Secara tradisinya, instrumen pelaburan emas sering dikaitkan dengan pemilikan barangan kemas yang disimpan sebagai aset warisan keluarga. Namun, seiring dengan perkembangan teknologi kewangan, emas 999 (emas tulen) kini bukan lagi sekadar aset yang disimpan di dalam peti besi, malah telah berevolusi menjadi instrumen digital yang mampu diakses melalui peranti pintar serendah RM10. Persoalan kritikal yang timbul dalam kalangan pelabur runcit kini bukan lagi tentang keperluan menyimpan emas, tetapi keberkesanan antara pemilikan fizikal di tangan atau pemantauan secara digital melalui aplikasi perbankan.

Kenapa Emas Masih Relevan?

Emas 999 atau emas tulen 24 karat kekal sebagai aset penyimpan nilai yang paling dipercayai dalam sejarah ekonomi. Apabila pasaran global menghadapi ketidaktentuan seperti inflasi yang meningkat atau kelemahan mata wang, emas berfungsi sebagai aset safe haven untuk memelihara kekayaan. Berbeza dengan instrumen berisiko tinggi seperti saham, nilai intrinsik emas tidak bergantung sepenuhnya kepada prestasi sesebuah syarikat atau ekonomi negara tertentu, menjadikannya pilihan utama pelabur yang mementingkan perlindungan modal.

Trend Harga Emas di Malaysia

Pergerakan harga emas menunjukkan trend yang dinamik dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor global dan domestik. Berdasarkan data harga emas pelaburan 999 yang diperoleh daripada program simpanan emas (Gold Accumulation Program, GAP), harga emas telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tempoh yang singkat. Pada 4 September 2025, harga emas berada pada paras RM526 segram, manakala pada 5 Januari 2026, harga tersebut meningkat kepada RM630 segram.

Peningkatan sebanyak RM104 segram, iaitu kira-kira 20 peratus dalam tempoh empat bulan, mencerminkan minat yang berterusan terhadap emas sebagai aset perlindungan nilai. Trend ini turut mengukuhkan pandangan bahawa emas masih relevan sebagai instrumen pelaburan, sama ada dalam bentuk fizikal atau digital, khususnya dalam kalangan pelabur runcit.

Emas Fizikal: Kepuasan Aset di Tangan

Secara tradisinya, pelaburan emas dilakukan melalui pemilikan fizikal seperti jongkong emas, syiling emas dan barang kemas. Di Malaysia, bentuk pelaburan ini telah lama diamalkan dan sering dikaitkan dengan kedai emas serta skim Ar-Rahnu. Kelebihan utama emas fizikal ialah pemilikan sebenar di mana ia menawarkan kepuasan psikologi dan rasa selamat kepada pelabur.

  • Kelebihan: Tiada risiko pihak ketiga kerana aset berada sepenuhnya dalam kawalan pemilik. Ia tetap mempunyai nilai walaupun berlaku gangguan sistem perbankan atau ketiadaan akses internet.
  • Risiko: Cabaran utama adalah aspek keselamatan simpanan dan kos tambahan seperti sewaan peti simpanan selamat (safe deposit box) yang boleh mengurangkan margin keuntungan bersih.

Emas Digital: Mudahnya Melabur Cara Moden

Perkembangan teknologi kewangan telah membawa kepada kemunculan pelaburan emas digital melalui akaun simpanan emas yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan platform pelaburan dalam talian. Melalui kaedah ini, pelabur boleh membeli emas dengan jumlah yang kecil dan menguruskan pelaburan mereka secara mudah melalui aplikasi mudah alih.

Akaun emas digital melalui platform seperti Public Gold GAP, Maybank MIGA-i, atau Bursa Gold Dinar merupakan manifestasi kemahiran digital yang perlu dikuasai pelabur moden.

  • Kelebihan: Menawarkan aksesibiliti yang luas dengan modal permulaan serendah RM10, menjadikannya inklusif untuk golongan pelajar. Selain itu, ia mempunyai kecairan yang sangat tinggi di mana urusan jual beli boleh dilakukan secara real-time mengikut pergerakan harga pasaran.
  • Risiko: Pelabur terdedah kepada risiko platform dan keselamatan siber. Adalah kritikal bagi pelabur untuk memastikan platform digital tersebut mempunyai sandaran emas fizikal yang sah dan patuh syariah.

Mana Lebih Untung untuk Pelabur Runcit?

Untuk membuat keputusan yang bijak, pelabur runcit perlu membezakan antara matlamat pelaburan mereka.

Dari Sudut Keuntungan:

  • Emas digital: Ideal untuk trading atau pelaburan jangka pendek. Kos spread rendah dan jual beli pantas membolehkan pelabur ambil kesempatan atas turun naik harga harian. Fleksibiliti ini penting bagi pelabur yang aktif memantau pasaran.
  • Emas fizikal: Sesuai untuk simpanan jangka panjang, 5–10 tahun. Kenaikan harga dalam tempoh lama biasanya cukup untuk tutup kos spread tinggi. Pilihan ini lebih kepada pelaburan “slow and steady”.

Dari Sudut Keselamatan

  • Emas fizikal: Selamat dari risiko sistemik seperti gangguan internet atau masalah institusi kewangan, tetapi risiko kecurian dan kos simpanan tetap wujud.
  • Emas digital: Selamat dari kecurian rumah, tapi terdedah kepada risiko penggodaman dan kebergantungan pada sistem digital penyedia platform.

Perbandingan Ringkas

AspekEmas FizikalEmas Digital
PemilikanFizikal dan nyataRekod digital
KosSpread dan simpanan tinggiSpread lebih rendah
KecairanLebih perlahanSangat pantas
RisikoKecurian dan kehilanganRisiko platform dan siber
Modal permulaanTinggiRendah dan fleksibel
Spread (susut nilai)Tinggi sekitar (6% – 10%)Rendah sekitar (2% – 5%)

Pilihan Bergantung kepada Matlamat Pelabur

Emas fizikal dan emas digital masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam portfolio pelabur runcit. Bagi mereka yang mengutamakan pemilikan aset sebenar dan pelaburan jangka panjang, emas fizikal kekal relevan. Manakala bagi pelabur yang mahukan fleksibiliti, kecairan dan kos lebih rendah, emas digital menawarkan kelebihan yang sukar dinafikan. Kesimpulannya, tiada jawapan mutlak tentang mana yang lebih untung dan selamat. Pilihan terbaik bergantung kepada matlamat kewangan, tahap toleransi risiko dan gaya pelaburan setiap pelabur runcit.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Nur Aina Najwa binti Sharuddin dan Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah bin Mohd Dali, Universiti Sains Islam Malaysia.

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840