PMB Investment Umum Agihan 2.52 sen Seunit Untuk Dana Al-Aiman

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — PMB Investment Bhd (PMB Investment) telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 2.52 sen seunit untuk PMB Dana Al-Aiman bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mei 2025, mencecah nilai pengagihan kasar sebanyak RM4.46 juta.

PMB Investment merupakan syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan Mara Bhd.

Katanya, nilai aset bersih (NAV) seunit sebelum agihan adalah RM0.4046 dan telah diselaraskan kepada RM0.3794 selepas agihan. “Agihan ini, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 31 Mei 2025, mewakili hasil sebanyak 5.01 peratus berdasarkan NAB penutupan dana.,” katanya melalui satu kenyataan.

Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment Hang Tuah Amin Tajudin ketika mengulas mengenai dana ini berkata PMB Dana Al-Aiman terus memberikan pendapatan yang stabil sambil mengekalkan modal, dengan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 16.76 peratus atau purata pulangan tahunan sebanyak 5.56 peratus setakat 31 Mei 2025. “Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, piawaian tadbir urus yang kukuh serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan untuk para pelabur kami.” katanya lagi.

Dilancarkan pada 1968, PMB Dana Al-Aiman merupakan dana pertama yang diperkenalkan oleh PMB Investment.

Untuk maklumat lanjut mengenai dana PMB Investment, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.