CBP Agih Dividen Tertinggi Berjumlah RM60.91 Juta

KUALA LUMPUR, Julai 6 (Bernama) — Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan pembayaran dividen tertinggi sejak penubuhannya berjumlah RM60.91 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata peningkatan jumlah bayaran itu berbanding RM58.94 juta pada 2021, akan memberi manfaat kepada 91,133 anggota CBP yang layak.

“Jumlah syer keseluruhan CBP adalah RM985.43 juta setakat 31 Dis 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) CBP bagi tahun kewangan berakhir 2022 seperti yang dimohon. 

“Kadar dividen bersih bagi tahun 2022 adalah sebanyak 6.88 peratus bagi syer iRCPS dan 6.30 peratus bagi syer biasa dan ini juga adalah setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia,” kata Khairil Anuar.

Pengeluaran dividen secara dalam talian boleh dibuat melalui laman web e-Semakan CBP bermula 7 Julai 2023 manakala penyata dividen boleh disemak mulai 11 Julai 2023 di https://dividen.cbp.com.my.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM103.43 juta iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus daripada tahun 2021 yang berjumlah RM86.14 juta, didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Sekali Lagi

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan fasa mendatarnya pada hari Isnin apabila ia menurun MYR63 untuk ditutup pada paras MYR4,534. Ia membuka sesi dagangan pada harga MYR4,620 dan tindakan pengambilan untung mengheretnya ke paras terendah intrahari pada MYR4,531. Komoditi ini kemudiannya ditutup pada harga MYR4,534, dengan menyasarkan paras sokongan MYR4,500 selepas menembusi paras sokongan sebelumnya pada MYR4,550. Meskipun penurunan berlaku, struktur trend kenaikan secara meluasnya masih bertahan, dengan garisan SMA 50 hari masih bergerak ke atas.

RSI pula terus bergerak lebih rendah, sekali gus mencerminkan rentak kenaikan yang mereda. Paras sokongan terdekat sekarang adalah pada MYR4,500, yang mungkin membataskan pergerakan menurun lanjut dan membuka ruang untuk lantunan teknikal ke arah paras rintangan MYR4,680. Melainkan FCPO jatuh bawah paras sokongan MYR4,400, penurunan yang berlaku baru-baru ini akan dianggap sebagai fasa koreksi yang baik dalam kerangka kenaikan. Pada ketika ini, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,800