Harga MSM Diunjurkan Kekal Tinggi Pada Separuh Pertama 2025


KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) — Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan kekal tinggi pada separuh pertama 2025, dengan dagangan antara RM4,400 hingga RM4,800 satu tan, sebelum sederhana pada separuh kedua kepada antara RM4,000 hingga RM4,400 satu tan ketika kemuncak musim.

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata unjuran itu disokong oleh gabungan faktor iaitu paras pengeluaran dan stok yang rendah di Indonesia tahun lepas, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia tahun ini, serta bekalan minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi yang terhad pada 2025.

“Ini akan menyebabkan kekurangan minyak dan lelemak global yang lebih ketara tahun ini seterusnya menyebabkan harga minyak sayuran menjadi lebih tinggi, dengan nisbah stok berbanding penggunaan bagi 17 minyak dan lelemak susut kepada paras terendah dalam tempoh 15 tahun iaitu 12.6 peratus pada 2025,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, risiko negatif yang utama meliputi ketegangan geopolitik yang berterusan, perubahan ketara harga minyak mentah, cuaca yang janggal, situasi pekerja yang semakin buruk di Malaysia, dan kemungkinan semakan ke atas struktur cukai dan dasar perdagangan Indonesia.

RHB IB mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor perladangan, memandangkan harga MSM yang lebih tinggi dan berterusan pada 2025 dijangka mendorong semakan penilaian sektor tersebut.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dan CIMB Securities Sdn Bhd juga mengulangi saranan “overweight” masing-masing terhadap sektor itu.

Saranan Kenanga IB adalah berdasarkan unjuran harga MSM yang tinggi serta defisit bekalan semakin lebar.

Menurut bank pelaburan itu premium harga MSM berbanding minyak kacang soya mula mengecil baru-baru ini.

“Bagaimanapun, harga minyak makan keseluruhannya termasuk MSM dijangka kekal tinggi pada 2025. Setelah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan pada November 2024, indeks harga minyak makan 2024 Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) meningkat sebanyak 33 peratus tahun ke tahun, walaupun terdapat sedikit penurunan bulan ke bulan,” tambahnya.

Daripada empat minyak makan utama — minyak sawit, minyak kacang soya, minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari — minyak sawit kekal sebagai peneraju harga.

Sementara itu, CIMB Securities pula mengunjurkan bekalan minyak sawit meningkat 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 1.73 juta tan pada Januari 2025, didorong oleh penggunaan domestik dan eksport yang rendah.

“Pengeluaran MSM dijangka berkurang 8.0 peratus bulan ke bulan kepada 1.37 juta tan disebabkan faktor musim,” jelasnya.

Eksport minyak sawit juga dijangka turun sebanyak 16 peratus bulan ke bulan kepada 1.13 juta tan, kerana premium harga MSM yang tinggi berbanding minyak kacang soya dan minyak biji sesawi mendorong pengguna beralih kepada alternatif yang lebih murah, jelasnya.

Harga minyak kacang soya diunjurkan kekal lemah berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan langkah pengurangan daalam dasar biodiesel AS.

Bagaimanapun, rancangan Indonesia untuk melaksanakan biodiesel B40, yang dijangka pada penghujung suku pertama 2025, mungkin meningkatkan permintaan domestik terhadap minyak sawit.

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan unjuran harga purata MSM pada RM4,200 satu tan bagi 2025.

— BERNAMA

Nak Mula Trade FCPO?

Kami faham, pembaca yang beginner mesti ada banyak soalan.

Nak tahu strategi terbaik untuk trade FCPO? Nak dapatkan pulangan yang baik, tak kira pasaran menaik atau menurun?

Belajar dulu.

Kemudian mula dengan modal yang paling minimum. Bukan trade dulu kemudian baru belajar.

Sesi PERCUMA kini dibuka!!
⏳ Tempat TERHAD Kepada 50 Peserta Sahaja!
Daftar Sekarang Sebelum Penuh!

Klik link di bawah untuk daftar sebelum sold out 👉 👉 SAYA NAK TRADE FCPO

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Sekali Lagi

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan fasa mendatarnya pada hari Isnin apabila ia menurun MYR63 untuk ditutup pada paras MYR4,534. Ia membuka sesi dagangan pada harga MYR4,620 dan tindakan pengambilan untung mengheretnya ke paras terendah intrahari pada MYR4,531. Komoditi ini kemudiannya ditutup pada harga MYR4,534, dengan menyasarkan paras sokongan MYR4,500 selepas menembusi paras sokongan sebelumnya pada MYR4,550. Meskipun penurunan berlaku, struktur trend kenaikan secara meluasnya masih bertahan, dengan garisan SMA 50 hari masih bergerak ke atas.

RSI pula terus bergerak lebih rendah, sekali gus mencerminkan rentak kenaikan yang mereda. Paras sokongan terdekat sekarang adalah pada MYR4,500, yang mungkin membataskan pergerakan menurun lanjut dan membuka ruang untuk lantunan teknikal ke arah paras rintangan MYR4,680. Melainkan FCPO jatuh bawah paras sokongan MYR4,400, penurunan yang berlaku baru-baru ini akan dianggap sebagai fasa koreksi yang baik dalam kerangka kenaikan. Pada ketika ini, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,800