Bursa Malaysia Lantik Azizan Abd Aziz Sebagai Ketua Pegawai Kewangan Baharu


KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd melantik Azizan Abd Aziz sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharunya, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata pengalaman luas Azizan dalam bidang kewangan akan memainkan peranan penting bersama pasukan kepimpinan dalam membantu mengukuhkan kecekapan operasi dan usaha strategik Bursa Malaysia bagi mengemudi landskap pasaran yang semakin dinamik.

“Menerusi kapasitinya sebagai CFO, beliau akan menyelia keseluruhan fungsi kewangan Bursa Malaysia, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat dan belanjawan,” kata Fad’l dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum menyertai Bursa Malaysia, Azizan merupakan CFO kumpulan bagi Bank Islam Malaysia Bhd.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Dan Teraju Berkolaborasi Memacu Syarikat Bumiputera Ke Arah IPO

Kuala Lumpur, 11 Februari 2026 – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) telah memeterai Memorandum Kolaborasi (“MoC”) dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (“TERAJU”) bagi menyokong dan memudah cara penyertaan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal Malaysia melalui penyenaraian tawaran awam permulaan (“IPO”).

Sebagai bursa nasional, Bursa Malaysia berperanan sebagai jambatan penting yang menghubungkan perniagaan, modal dan pelabur. Selaras dengan aspirasi ini, kolaborasi tersebut bertujuan memperkasa syarikat Bumiputera serta meningkatkan kepelbagaian pasaran, sekali gus membuka peluang baharu untuk penglibatan pelabur dan pertumbuhan ekonomi.

Di bawah MoC ini, Bursa Malaysia akan bekerjasama dengan TERAJU untuk membimbing dan melengkapkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi agar mematuhi keperluan penyenaraian IPO serta bersedia untuk disenaraikan. Ini termasuk menyediakan sokongan nasihat berkaitan IPO, memudah cara peluang rangkaian dengan perantara pasaran modal, serta melaksanakan program pembangunan kapasiti yang bersasar.

Sementara itu, TERAJU akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk menyertai program kesiapsiagaan IPO, memudah cara akses kepada pembiayaan dan insentif yang diperlukan bagi menyokong peralihan ke pasaran awam, serta menyelaras dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan dan pakar industri bagi menyediakan sistem sokongan menyeluruh sepanjang proses penyenaraian.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Kami menantikan kerjasama dengan TERAJU bagi memperkukuh perwakilan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi nasional di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang menyasarkan 30% pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang 2035, sekali gus mencerminkan masa depan ekonomi yang lebih inklusif. Terdapat potensi besar yang belum diterokai dalam kalangan syarikat Bumiputera, dan kami komited untuk menyokong mereka melangkah ke peringkat seterusnya sebagai syarikat tersenarai.”

Beliau menambah, “Kolaborasi ini mencerminkan pendekatan proaktif Bursa dalam membina saluran paip IPO yang kukuh melalui penglibatan berterusan dan strategik dengan bakal penerbit, dengan kerjasama rakan ekosistem seperti TERAJU.”

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, “MoC ini menandakan komitmen strategik dan tegas untuk menyokong syarikat Bumiputera dalam perjalanan ke arah IPO yang berjaya satu proses yang memerlukan bimbingan, perancangan dan disiplin yang tinggi. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada jurang ‘missing middle’ iaitu syarikat Bumiputera bersaiz sederhana yang berpotensi tinggi tetapi sering terlepas daripada rangka kerja sokongan sedia ada. Melalui kerjasama dengan Bursa Malaysia, kami membuka laluan untuk lebih banyak syarikat Bumiputera menyertai dan berkembang dalam pasaran modal menerusi pelaksanaan program dan inisiatif yang bersasar.”

Selain MoC ini, anak syarikat Bursa Malaysia, Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (“BR Capital”), turut memeterai Surat Kolaborasi berasingan dengan TERAJU bagi menyokong inisiatif pemudahcaraan pembiayaan dan kesiapsiagaan pasaran modal untuk perusahaan Bumiputera yang layak. Inisiatif ini melengkapkan objektif ekosistem yang lebih luas di bawah MoC tersebut, sekali gus membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan skala perniagaan dan membina saluran paip yang lebih kukuh serta bersedia untuk IPO di Bursa Malaysia.

Bursa Malaysia juga telah menyertai siri jelajah (roadshow) IPO bersama TERAJU di seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai jelajah akan datang, termasuk bagi syarikat Bumiputera yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai IPO dan perkara berkaitan, syarikat boleh menghubungi Bursa Malaysia di [email protected].