PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 dan 4.75 Sen Bagi ASM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024. 

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah pembayaran pengagihan sebanyak RM670 juta itu bakal memanfaatkan 552,297 pemegang unit.

Pengurus dana itu juga mengumumkan pengagihan pendapatan 4.75 sen bernilai RM1.33 bilion untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024, yang bakal memanfaatkan 699,807 pemegang unit.

Menurut PNB, sehingga 25 Mac, 2024, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta manakala ASM sebanyak RM1.42 bilion.

“Kedua-dua dana memperoleh pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik dan antarabangsa dalam persekitaran inflasi yang tidak menentu serta kebimbangan terhadap peningkatan kemelesetan ekonomi.

“Kedua-dua dana juga menjana hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil,” katanya. 

PNB berkata pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.25 peratus dan 4.75 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras deposit tetap 12-Bulan Maybank pada 2.84 peratus sebanyak 241 mata asas bagi ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2024,” katanya.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan semula urus niaga di portal myASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 April 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Hyundai Bakal Labur RM2.16 Bilion Di Malaysia Menerusi Perkongsian Strategik Bersama INOKOM

SEOUL, 26 Nov (Bernama) — Hyundai Motor akan memulakan perkongsian strategik bersama INOKOM bagi pemasangan automotif beberapa model baharu di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.

Pelaburan ini termasuk usaha menaik taraf kapasiti pemasangan INOKOM sedia ada bagi memenuhi keperluan automotif Hyundai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia merupakan pelaburan terbesar syarikat berkenaan di Malaysia untuk tempoh enam tahun (2025-2030) yang bakal menawarkan beratus peluang pekerjaan berteknologi dan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.

Katanya pelaburan itu membabitkan pemasangan dan pengeluaran sebanyak enam model kereta termasuk model HEV serta sebuah kilang pemasangan pek bateri EV di Kulim, Kedah. 

Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan.

Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama beberapa konglomerat Korea Selatan termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO. 

Perdana Menteri dan delegasi tiba di Seoul pada Ahad untuk lawatan selama tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.

Malaysia dan Korea Selatan bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan.

— BERNAMA