Air Selangor Selesai Terbit Sukuk SRI Bernilai RM1.5 Bilion

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) — Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjaya menyempurnakan terbitan tranche ketujuh dan terbesar sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah program Sukuk Kelestarian Air Selangor bernilai RM1.5 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata terbitan tersebut merangkumi lima siri sukuk dengan tempoh matang antara tujuh hingga 25 tahun.

Ia merupakan terbitan kelapan di bawah Program Sukuk Murabahah Air Selangor yang dinaikkan hadnya kepada RM20 bilion bagi menyokong keperluan infrastruktur jangka panjang dan matlamat kemampanan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata sambutan yang menggalakkan terhadap sukuk SRI sebelum ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan kewangan syarikat serta komitmen bersama ke aras kemajuan mampan.

Beliau berkata untuk terbitan kali ini, ia menerima permintaan tinggi daripada pelabur, dengan lebihan langganan sebanyak 2.51 kali dan jumlah nilai perolehan kontrak mencecah RM3.77 bilion, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Air Selangor dalam pasaran sukuk mampan.

“Program Sukuk Murabahah itu turut menerima pengukuhan semula penarafan kredit AAA jangka panjang dengan tinjauan stabil oleh RAM Rating Services Bhd pada 28 Ogos 2025, membuktikan asas kredit program yang kukuh,” katanya.

Air Selangor berkata hasil daripada penerbitan sukuk SRI ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek layak yang sejajar dengan keutamaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) syarikat serta Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan.

Antara projek utama yang bakal menerima pembiayaan termasuk inisiatif bekalan air mampan dan pengurusan sumber air seperti Skim Bekalan Air Rasau serta program penggantian paip, yang mencerminkan komitmen Air Selangor dalam memastikan jaminan bekalan air jangka panjang untuk generasi akan datang, kata syarikat itu.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.