AirAsia X Selesai Ambil Alih AirAsia, AirAsia Aviation Group Daripada Capital A

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd menyelesaikan pengambilalihan AirAsia Bhd (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) daripada Capital A Bhd, menandakan berakhirnya proses penstrukturan semula kumpulan penerbangan itu.

“Urus niaga ini diselesaikan melalui peruntukan dan penerbitan sebanyak 2,307,692,307 saham biasa baharu dalam AirAsia X kepada Capital A dan pemegang sahamnya yang layak, selain pengambilalihan oleh AAX liabiliti berjumlah RM3.8 billion yang sebelum ini terhutang oleh Capital A kepada AAB,” kata Air Asia X dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, AAX turut memperuntukkan dan menerbitkan 606,060,606 saham biasa baharu kepada pelabur pihak ketiga bebas menerusi tawaran saham persendiriannya.

Saham pertimbangan dan saham penempatan tersebut dijadual disenaraikan dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Januari 2026.

Air Asia X berkata, dengan selesainya urusan pengambilalihan ini semua syarikat penerbangan berjenama AirAsia akan bergabung di bawah satu platform penerbangan tunggal iaitu ‘Kumpulan AirAsia’, sementara Capital A beralih bagi mengembangkan portfolio bukan penerbangan.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X, Datuk Fam Lee Ee, berkata penstrukturan semula itu telah mewujudkan platform penerbangan yang lebih kukuh dan cekap, meletakkan kumpulan tersebut di kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pemegang kepentingan.

“Lembaga pengarah yakin penyepaduan ini akan menyediakan sinergi yang signifikan dan memperkukuh penerajuan Kumpulan AirAsia di rantau ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penstrukturan semula tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kewangan, termasuk penggunaan kumpulan pesawat yang lebih baik, perancangan rangkaian lebih bersepadu dan platform operasi lebih kukuh sambil memanfaatkan ekosistem penerbangan dan perjalanan lebih meluas yang dibangunkan melalui kumpulan syarikat Capital A.

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.